Wednesday, December 03, 2014

Ucapan Mansuh Akta Hasutan 1948

Ucapan Pencadang oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa mencadang Usul No. 29. Tahun 2014 pada 2 dan 3 Disember 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

1.    Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin membawa satu usul yang berbunyi seperti berikut:

“Bahawa Dewan Yang Mulia ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan Akta Hasutan yang digubal oleh Kerajaan British pada tahun 1948 demi memulangkan hak kebebasan bersuara kepada rakyat jelata.”

2.    Tuan Speaker, usul ini sebenarnya patut dibahas di Parlimen melalui satu usul Ahli Parlimen Shah Alam tetapi ianya telah ditolak pada 24 November 2014 yang lalu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menolak usul pemansuhan Akta Hasutan 1948 atas alasan teknikal dan kerajaan sedang menyemak berhubung perkara itu.

3.    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan ianya akan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Beliau membuat pengumuman ini pada 11 Julai 2012 semasa berucap pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, iaitu di khayalak para pengamal undang-undang.

4.    Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamim kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.

5.    Antara isi-isi ucapan beliau ialah:
-                “Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.”
-                “Kerajaan akan memastikan peruntukan akta itu tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan seperti mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.”
-               “Ia juga meliputi perbuatan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan mempersoal apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang dilindungi dalam Perlembagaan.”
-               “Kerajaan sedar ada pihak menganggap Akta Hasutan sebagai alat untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan, namun menegaskan anggapan itu tidak berasas sama sekali.”
-               “Lantaran itu, peruntukan baharu ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan. Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan dikendalikan sendiri oleh pihak kehakiman melalui peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah sedia ada.”
-               “Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi.”

6.    Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, YAB Perdana Menteri mengulangi janji yang sama hampir setahun kemudian, iaitu pada 3 Julai 2013. Begitu indahnya janji-janji YAB Perdana Menteri pada masa itu tetapi kini semuanya telah berkecai dengan ucapan terbaru beliau di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

7.    Pendirian Perdana Menteri yang membelakangkan janjinya cukup menunjukkan sikap hipokrit dan munafiknya. Respons parti-parti komponen BN yang lain tentang pendirian terbaru PM ini juga agak menarik. Pemimpin MCA dan MIC berkata keputusan ini tidak pernah dibincang dalam Kabinet seolah-olah perkara ini belum dipersetujui Kabinet. Soalannya ialah bukankah keputusan yang begitu penting ini perlu dipersetujui di peringkat Kabinet terlebih dahulu? Mana satu lebih penting, PAU atau Mesyuarat Kabinet?

8.    ADUN-ADUN UMNO pasti bertanya sama ada usul ini mendapat perkenan Majlis Raja-Raja kerana dikatakan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan menetapkkan bahawa Pindaan Perlembagaan menyentuh Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152 atau 153 tidak boleh dilulus tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

9.    Maka sukacita saya melafazkan sekali lagi di Dewan Yang Mulia ini bahawa usul saya ini tiada kena-mengena dengan Perkara-perkara Perlembagaan di atas. Malahan ianya tiada kaitan dengan pindaan Perlembagaan langsung. Janganlah Pembangkang percaya sekali pun tomahan atau fitnah Pak Lebai Cybertropper UMNO.

10. Pakatan Rakyat telah berkali-kali menegaskan pendirian kami bahawa Perkara dalam PP khususnya Perkara 152 dan 153 akan kekal seperti sedia ada.

11. Jika pun pembangkang ingin bertanya soalan ini, maka saya pun bertanya balik, semasa Perdana Menteri mengisytihar akan memansuhkan Akta Hasutan pada tahun 2012, adakah ADUN-ADUN UMNO Selangor bertanyakan Perdana Menteri sama ada cadangan beliau pada waktu itu telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja?

12. Tepuk dada tanya selera, memang para ADUN UMNO Selangor pada waktu itu tidak pernah dan tidak perlu bertanya Perdana Menteri kerana ianya tidak berkaitan langsung dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan, jauh sekali daripada menyentuh Perkara-perkara yang dimaksudkan dalam Perkara 159(4) PP.

13. Apabila kerajaan persekutuan sudah bersedia untuk mengubal Akta baru bernama Akta Keharmonian Nasional, di mana isi kandungan Akta ini masih tidak diketahui, maka apakah relevan Akta Hasutan ini?

14. Malahan apakah relevannya UMNO mengekalkan undang-undang kuno yang diwarisi daripada penjajah Inggeris ini? Adakah UMNO perlu bergantung kepada Akta zalim ini di mana mereka yang disiasat dan didakwa ialah pembangkang dan ahli-ahli masyarakat madani yang kritikal terhadap Kerajaan Persekutuan?

15. Kezaliman Akta Hasutan itu begitu menonjol dalam Seksyen 3 Kencenderungan Menghasut di mana Subseksyen 3(1) menggariskan kesemua “kecenderungan menghasut” di mana perkataan-perkataan seperti “kebencian”, “penghinaan”, “perasaan tidak setia”, “perasaan tidak puas hati”, “perasaan permusuhan” dan “perasaan niat jahat” adalah terlalu samar, terlampau luas dan tidak khusus.

16. Ini boleh dilihat dalam kes PP v. Dr Ooi Kee Saik & Ors [1971] 1 LNS 113, Mahkamah telah menetapkan bahawa:

“In my view what the prosecution have to prove and all that the prosecution have to prove is that the words complained of, or words equivalent in substance to those words, were spoken by accused No. 1 at the dinner party. Once that is proved the accused will be conclusively presumed to have intended the natural consequences of his verbal acts and it is therefore sufficient if his words have a tendency to produce any of the consequences stated in s.3(1) of the Act. It is immaterial whether or not the words complained of could have the effect of producing or did in fact produce any of the consequences enumerated in the section. It is also immaterial whether the impugned words were true or false. (See Queen Empress v. Ambra Prasad (1898) ILR 20 All 55, 69). And it is not open to the accused to say that he did not intend his words to bear the meaning which they naturally bear. (See Maniben v. Emperor AIR 1933 Bom 65, 67)

17. Ini bermaksud sama ada sesuatu percakapan atau kenyataan itu benar atau tidak adalah tidak penting. Ini juga bermaksud sama ada seseorang itu mempunyai niat untuk menghasut semasa melafazkan sesuatu percakapan atau kenyataan itu tidak penting. Apa yang penting ialah tertuduh telah melafazkan percakapan atau kenyataan ber“kecenderungan menghasut” seperti dalam s.3(1) Akta Hasutan, dengan itu, tertuduh akan disabit bersalah di bawah Akta Hasutan. Inilah sebab utama Akta Hasutan ini zalim, sezalim Akta Keselamatan Dalam Negeri dan ini juga sebab utama saya membawa usul untuk mencadang memansuhkannya hari ini.

18. Agak menarik sekali ialah s.3(1)(a):
“Sesuatu “kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan — (a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;”
           
Adakah ini bermaksud kerajaan Selangor boleh mendakwa mana-mana ADUN pembangkang daripada UMNO dan Barisan Nasional atas tuduhan menghasut? Dari segi undang-undang, memang boleh dan sekiranya mereka didakwa maka mereka memang akan disabit bersalah di bawah s.3(1)(a).

19. Begitu mudah dan senangnya Akta ini disalahguna oleh Barisan Nasional sehingga hampir kesemua mereka yang disabit bersalah ialah pemimpin-pemimpin daripada parti pembangkang dan masyarakat madani yang kritikal terhadap kerajaan Barisan Nasional.

20. Mengikut maklumat Gagasan Hapus Akta Hasutan (GHAH), Peguam Negara dan Ketua Polis Negara pernah bermesyuarat bersama-sama 60 Ketua-ketua Bahagian UMNO pada 14 Ogos lalu. Tidak lama selepas mesyuarat ini, para pengkritik kerajaan satu demi satu disiasat dan didakwa, bermula dengan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran pada 19 Ogos dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada 24 Ogos 2014.

21. Menurut maklumat daripada SUARAM, terdapat sekurang-kurangnya 20 kes sedang disiasat dan 12 kes pendakwaan di bawah Akta Hasutan pada tahun ini. Hanya enam kes siasatan dan empat pendakwaan berlaku lebih awal daripada mesyuarat Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dengan ketua-ketua bahagian UMNO itu. Peningkatan mendadak siasatan dan pendakwaan terhadap pengkritik kerajaan di bawah Akta Hasutan berlaku selepas 14 Ogos dan  ini menimbulkan persoalan sama ada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara kini bertindak sebagai alat politik UMNO?

22. Ada yang akan bertanya, di manakah letaknya perlindungan terhadap Bahagian III, Perkara 152 dan 153 PP jika Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapannya ialah Kanun Keseksaan, di mana Bab VI dan Bab VIA (s.121 hingga130T) memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan terhadap negara dan kesalahan-kesalahan berkaitan keganasan. Begitu juga dengan s.504 “Dengan sengaja mengaibkan dengan niat untuk membangkitkan pecah keamanan”.

23. Selain itu, kita masih mempunyai Akta Fitnah, Akta Komunikasi dan Multimedia dan lain-lain, sekaligus menjadikan Akta Hasutan ini redundant atau berlebihan. Kesimpulannya, Akta Hasutan perlu dimansuh dan perlu diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

24. ADUN-ADUN UMNO yang tidak bersetuju dengan usul ini boleh berhujah di Dewan Yang Mulia ini sebab dan pendirian mereka. Gelanggang di DUN Selangor ini cukup luas untuk mereka melafazkan pandangan mereka. Sekiranya perlu, mereka boleh meminta belah bahagi dan mengundi “tidak bersetuju”, lalu suara mereka yang dicatat dalam Hansard. Bukankah cara ini lebih bermakna daripada keluar dari DUN? Tindakan ADUN-ADUN UMNO yang keluar dari DUN sebagai tanda protes hanya mencerminkan kebudak-budakkan mereka dan ketidaksanggupan serta ketidakberanian mereka untuk berbahas dan berdepan dengan fakta dan kebenaran.


Lau Weng San
Post a Comment