Monday, December 01, 2014

Penyelarasan Saraan Menteri Besar, Anggota-anggota EXCO, Speaker dan Timbalan Speaker – Patut Atau Tidak?

Ucapan Perbahasan RUU Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2014 oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 26 November 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Daripada kita bertanya berapa banyak gaji yang harus dipotong melalui pindaan ini, lebih penting kalau kita bertanya apakah yang kita inginkan daripada Menteri Besar, Anggota-anggota EXCO, Speaker dan Timbalan Speaker kita?

Mengikut pindaan yang dijalankan terhadap Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013, saraan Menteri Besar berjumlah RM 14,175.15 bakal meningkat kepada RM 29.250 iaitu pada kadar 106.4 peratus, Speaker Dewan (RM 6.109.29 meningkat 268 peratus kepada RM 22,500) dan Timbalan Speaker (RM 3,327.50 kepada RM 15,570).

Bagi saraan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN atau EXCO) pula, saraan bulanan sebanyak RM 6,109.29 bakal meningkat kepada RM 20,250, iaitu peningkatan sebanyak 231 peratus. Saraan bagi setiap ADUN mengikut Seksyen 3 juga dipinda, daripada RM6,000 kepada RM11,250 atau kenaikan sebanyak 87.5 peratus.

Jawatan
Gaji sebelum 2014 (RM)
Gaji selepas 2014 (RM)
Peratusan kenaikan (%)
Cadangan Pindaan
Peratusan Kenaikan (%) baru
Menteri Besar
14,175.15
29.250.00
106
25,000.00
76
Speaker
6.109.29
22,500.00
268
15,000.00
146
EXCO
6,109.29
20,250.00
231
15,000.00
146
Timbalan Speaker
3,327.50
15,570.00
368
10,000.00
201
ADUN
6,000.00
11,250.00
88
tiada
88

Institusi Speaker dan Timbalan Speaker

Pertama sekali, Speaker dan timbalannya merupakan satu institusi yang harus diberi penghormatan dan layanan yang lebih tinggi daripada EXCO sejajar dengan tradisi Demokrasi Berparlimen ala Westminster yang diwarisi daripada British.

Prinsip pengasingan kuasa menuntut agar kuasa sesebuah kerajaan dibahagi kepada tiga cabang, iaitu cabang Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Ketiga-tiga cabang ini mempunyai peranan dan kuasa masing-masing yang tidak boleh dicampur tangan oleh cabang-cabang yang lain.

Walaupun begitu, hakikatnya di Malaysia ialah Eksekutif telah menjadi jauh lebih berkuasa daripada kedua-dua cabang yang lain. Sehingga institusi Speaker dilihat sebagai rubber stamp sahaja. Speaker harus diberi kuasa penuh untuk menguruskan hal ehwal DUN kerana pengurusan Dewan di Parlimen dan semua DUN di Malaysia adalah terletak di bawah pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu sebuah jabatan di bawah Eksekutif.

Speaker yang mengetuai sesebuah Dewan Undangan itu harus menyemak dan memantau Eksekutif. Peranan ini sama penting dengan tugas dan peranan Eksekutif sendiri.

Untuk itu, Selangor telah mengorak langkah pertama pada tahun 2008 apabila DUN Selangor menubuhkan tiga buah JP Khas yakni:
1.    Jawatankuasa Pilihan Khas tentang Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan  Anak-anak Syarikat (JPK-ABAS),
2.    Jawatankuasa Pilihan Khas tentang Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT), dan
3.    Jawatankuasa Pilihan Khas tentang Pejabat Tanah dan Daerah (JPK-PADAT).

DUN Selangor juga menjalankan saringan terhadap penggubalan undang-undang baru. Satu contoh yang bagus ialah penggubalan Enakmen Kebebasan Maklumat di mana enakmen ini ialah enakmen yang pertama digubal di Malaysia.

Walaupun Rang Undang-undang (RUU) ini mempunyai kebaikan untuk seluruh rakyat Selangor, tetapi DUN Selangor tidak tergesa-gesa untuk meluluskannya. Sebaliknya, satu Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan untuk meneliti setiap satu fasal rang undang-undang tersebut. Pendengaran awam dijalankan terhadapnya. Orang ramai dijemput untuk memberi pandangan mereka terhadap RUU ini. Pandangan-pandangan ini dikumpul dan diteliti oleh ahli-ahli JPK. Cadangan-cadangan pindaan diserah kepada pihak Eksekutif untuk pertimbangan seterusnya. Pihak Eksekutif akan mempersembahkan RUU ini kepada DUN untuk bacaaan kedua. Pihak ADUN akan mempunyai peluang yang lebih banyak untuk membahasnya sekali lagi sebelum ianya dibaca untuk kali ketiga dan seterusnya menjadi undang-undang.

Melalui sistem JP yang saya sebutkan tadi, pegawai-pegawai kerajaan perlu menjadi lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas harian mereka. Zaman silam di mana mereka boleh menjalankan tugas secara tutup sebelah mata atau sambil lewa telah berlalu dan tidak dibenarkan sama sekali di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Bukan sahaja pihak Eksekutif perlu memantau kualiti kerja kakitangan di bawah mereka, malahan sekiranya sesuatu buruk berlaku dalam bidang yang diuruskan mereka, maka mereka juga perlu menjawab kepada JP yang berkenaan nanti.

Semua ini diselaras oleh Speaker dan Timbalan Speaker di sebalik tabir.

Rasional dan garis panduan untuk menetapkan saraan penggubal undang-undang

Saya juga ingin membawa satu penyelidikan yang dijalankan oleh Majlis Perundangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (The Legislative Council of Hong Kong Special Administrative Region) (Sila rujuk: http://www.legco.gov.hk/yr11-12/english/sec/library/1112in14-e.pdf)

Saraan bagi Speaker dan Timbalan Speaker tidak harus terlalu jauh berbeza dengan ahli yang memegang jawatan eksekutif di dalam kerajaan. Begitu juga dengan saraan mereka tidak harus lebih rendah daripada kakitangan kanan kerajaan.

Penambahbaikan yang boleh dijalankan

Saya secara peribadi bersetuju dengan bahagian yang kedua di mana memang penyelarasan kali ini dilakukan tanpa perbincangan yang terperinci. Saya bercadang agar Jawatankuasa Pengurusan Dewan diberi tugas untuk menyemak semua saraan dan keraian di bawah Enakmen ini setahun sekali. Kemudiaan cadangannya boleh dibentangkan ke Dewan dalam bentuk laporan atau penyata untuk konsultasi umum sebelum diterima, ditolak atau dipinda untuk kelulusan Dewan. Cara ini adalah lebih demokratik dan telus berbanding dengan cara lama.

Saraan Ahli Dewan Negeri, Menteri Besar, Speaker, EXCO dan Timbalan Speaker harus diselaras pada secara berkala.

Lau Weng San


Post a Comment