Monday, December 01, 2014

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2015 Di Peringkat Bacaan Kedua Peringkat Jawatankuasa

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2015 Di Peringkat Bacaan Kedua Peringkat Jawatankuasa oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 26 November 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Maksud Bekalan (VOT):   B01 Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan
Butiran Program:               505000
Kod:                                      29000 Perkhidmatan Iktisas Dan Perkhidmatan Lain Yang Dibeli Dan Hospitaliti – Jawatankuasa Tetap Pelaburan

Malaysia mengalami kemerosotan pendapatan apabila harga komoditi-komoditi utama seperti petroleum, gas asli, minyak kelapa sawit dan susu getah di pasar antarabangsa merosot. Ini mendedahkan kelemahan ekonomi dan pendapatan Malaysia dan ianya telah dilapor dalam Asia Wall Street Journal baru-baru ini. Setelah lebih 30 tahun Malaysia mengerakkan dasar perindustrian dan pembuatan sejak zaman Mahathir, ekonomi Malaysia kini masih bergantung kepada komoditi. Walaupun begitu, kita tidak boleh menoreh ke belakang lagi.

Saya bangga dengan pecapaian pelaburan di Selangor yang sudah mencecah RM118 bilion dalam masa 15 tahun yang lepas. Semalam kita dimaklumkan bahawa Selangor State Investment Corporation (SSIC) akan dijenama semula sebagai “Invest Selangor Berhad”. Pihak Kerajaan melalui Invest Selangor harus mengadakan promosi yang lebih kerap di dalam dan di luar negara untuk mempromosi Selangor sebagai destinasi pelaburan yang terbaik di rantau Asia Tenggara, khususnya pelaburan yang melibatkan teknologi tinggi. Invest Selangor boleh merangka beberapa pakej untuk menarik pelaburan asing.

Umum diketahui bahawa faktor pertimbangan terpenting untuk mana-mana pelaburan ialah kos. Sekiranya kos pelaburan di Selangor boleh diminimumkan, maka mereka akan datang ke Selangor. Justeru itu, saya menggesa kerajaan untuk melihat sama ada untuk pelaburan melebihi RM1 bilion, kerajaan melalui agensi atau anak-anak syarikat sama ada boleh membina bangunan kilang yang kemudian disewa kepada para pelabur, atau kerajaan memberi potongan premium sebanyak 10%.

Maksud Bekalan (VOT):   B01 Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan
Butiran Program:               505000
Kod:                                      29000 Perkhidmatan Iktisas Dan Perkhidmatan Lain Yang Dibeli Dan Hospitaliti – Jawatankuasa Tetap Perumahan

Pembinaan rumah mampu milik dan pengurusan projek rumah terbengkalai seringkali menjadi isu dan topik perbahasan Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Perbincangan ini tidak akan ke mana sekiranya Dewan tidak dapat memantau perkembangannya. Maka saya mencadangkan agar EXCO yang berkenaan untuk menyediakan satu laporan atau kertas putih ke Dewan Negeri Selangor setiap kali kita bersidang supaya kita boleh mengukur perkembangan yang dikecapi oleh kerajaan.

Maksud Bekalan (VOT):   B01 Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan
Butiran Program:               505000
Kod:                                      29000 Perkhidmatan Iktisas Dan Perkhidmatan Lain Yang Dibeli Dan Hospitaliti – Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar

Perubahan cuaca telah mendatangkan masalah kepada rakyat Selangor. Selain daripada masalah kemarau di luar jangkaan awal tahun ini, kini Selangor berdepan dengan penurunan air hujan yang mencatat rekod tertinggi. Selangor juga menghadapi masalah tanah runtuh di tempat yang tidak pernah berdepan dengan masalah ini. Puting beliung yang melanda Pandamaran tidak lama dahulu juga ialah satu bencana alam yang tidak pernah berlaku. Semua ini menuju ke satu petanda, iaitu suka atau tidak, cuaca seluruh dunia sedang berubah dan ianya berlaku pada kadar yang lebih cepat dan drastik daripada jangkaan kita.

Sediakan payung sebelum hujan, kerajaan mesti bersiap sedia dengan mengadakan sebuah jawatankuasa di peringkat MMKN untuk menangani masalah perubahan cuaca ini.

Modern Pig Farming – more details needed. help

Maksud Bekalan (VOT):   B02 Pelbagai Perkhidmatan
Butiran Program:               505000 Pentadbiran dan Kewangan    
Kod:                                      42000 Pemberian Dalam Negeri – Tourism Selangor Sendirian Berhad (TSSB)

Tahun 2015 ialah Tahun Melawat Selangor 2015. Dengan berbekalkan kepada warisan kebudayaan dan sejarahnya yang tersendiri, kerajaan harus cekal mempromosi Bandar Klang sebagai destinasi pelancongan warisan di Selangor, bahkan di Malaysia. Setahun yang lalu, saya telah mencadangkan kepada Kerajaan Selangor untuk mewujudkan Bas Pelancongan Hop-On-Hop-Off (HOHO). Barangkali perkhidmatan ini boleh disediakan di kawasan sekitar Heritage Walk di Bandar Klang. Soalannya ialah di mana bus HOHO ini?

Satu lagi produk pelancongan yang boleh diadakan di Selangor ialah Pesta Makanan. Malaysia dan Selangor memang kaya dengan sajian makanan yang berbeza-beza dan ini ialah kekuatan kita yang harus diketengahkan dalam promosi pelancongan kita. Program seperti ini pernah diadakan di PBT yang lain seperti di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Maksud Bekalan (VOT):   B02 Pelbagai Perkhidmatan
Butiran Program:               505000 Pentadbiran dan Kewangan    
Kod:                                      42000 Pemberian Dalam Negeri – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)

Berbanding dengan beberapa Tahun Melawat Malaysia yang telah diadakan begitu banyak dan kerap sebelum ini, yang berorientasikan penjanaan sumber ekonomi, kerajaan persekutuan masih tidak begitu beria-ia untuk menganjurkan Tahun Pembaca. Saya masih ingat kerajaan pernah menjadikan tahun 1989 sebagai Tahun Pembaca, Menteri Pendidikan pada masa itu ialah Encik Anwar Ibrahim.

Mambaca itu satu-satunya cara untuk mempertingkatkan sahsiah, jati diri dan pengetahuan insan. Maka dengan itu, saya mencadangkan agar kerajaan untuk menukar sebahagian daripada Hadiah Masuk Universiti ke dalam bentuk voucher buku kepada mahasiswa. Karajaan juga harus maklum bahawa terdapat NGO, orang perseorangan, usahawan-usahawan muda untuk mengerakkan budaya membaca di masyarakat. Contohnya Mobile Book Café, mereka mengubahsuai pick-up van untuk dimuatkan buku-buku dan dibawa ke setiap pasar malam untuk mendekatkan buku dengan rakyat. Alangkah ironinya ini berlaku apabila Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengadu bahawa tiada orang minat dengan perpustakaan bergerak.

Maksud Bekalan (VOT):   B05 Caruman Kepada Kumpulan Wang Berkanun
Butiran Program:               505000 Pentadbiran dan Kewangan    
Kod:                                      42000 Pemberian Dalam Negeri – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

Kerajaan juga harus memperkemaskan garis panduan komuniti berpagar dan berpengawal yang sedia ada. Perbincangan harus dipulih semula untuk mencara cara penyelesaian yang paling bagus untuk mengatasi masalah ini. Isu hangatnya ialah penutupan jalan tertutup dan ini selalu menimbulkan ketegangan di kalangan penduduk. Justeru itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat semula Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang sudah ketinggalan zaman. Walaupun ini ialah Akta Parlimen, tetapi kerajaan negeri harus menggunakan segala saluran yang sedia ada untuk mendesak kerajaan persekutuan membawa pindaan kepada Seksyen 46 Akta ini mengikut kesesuaian semasa.

Kerajaan juga harus mengadakan satu garis panduan pusat-pusat jagaan warga emas dan retirement village khususnya di kawasan-kawasan perumahan yang semakin ramai warga usia emas.

Tindakan tegas terhadap iklan haram perlu diadakan. Saya mencadangkan agar skop kerja ini dimasukkan dalam kontrak pembersihan PBT, iaitu kontraktor akan dibayar bukan sahaja untuk mengutip sisa pepejal domestik, sampah pukal dan sampah kebun malahan termasuk juga pembersihan bunting-bunting haram ini.

Maksud Bekalan (VOT):   B09 Pejabat Tanah dan Galian Selangor
Butiran Program:               505000 Pentadbiran dan Kewangan    
Kod:                                      11000 Gaji dan Upahan

Tentang salah guna tanah.

Saya memuji usaha murni kerajaan untuk memutihkan kilang haram di Selangor tetapi kerajaan harus realistik. Memang terdapat kilang-kilang haram yang tidak dapat diputihkan, sama ada mereka ini ingkar ataupun ianya memang tidak boleh diputihkan langsung. Adakah kerajaan akan tetap tunggu dan lihat sahaja? Pada saya kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan yang pasif.

Maksud Bekalan (VOT):   B14 Jabatan Agama Islam Selangor
Butiran Program:               505000 Pentadbiran dan Kewangan    
Kod:                                      10000 Emolumen

Dalam satu perbincangan dengan masyarakat Muslim di kawasan saya, saya telah ditanya bertubi-tubi tentang garis panduan Lembaga Zakat Selangor yang tidak telus dan terlampau ketat. Saya tidak dapat menjawab kerana saya tidak dimaklumkan secara rasmi prosidur permohonannya. Oleh itu, saya memohon supaya pihak berkenaan untuk tidak mengecualikan wakil rakyat bukan Muslim di Selangor kerana di kawasan kami pun terdapat ramai penduduk Muslim yang memerlukan bantuan. Bukan begitu sahaja, saya juga memohon agar JAIS dan MAIS untuk turut melibatkan wakil rakyat bukan Muslim di Dewan negeri Selangor dalam apa-apa perbincangan dan forum yang akan memberi kesan kepada rakyat Selangor, khususnya yang beragama Islam.

JAIS dan MAIS harus bahawa kuasa dan peruntukannya datang daripada Dewan Negeri Selangor. Contohnya JAIS akan diperuntukkan wang hampir RM 240 juta untuk tahun 2015. Perbelanjaan ini mesti mendapat kelulusan Dewan sebelum JAIS boleh menggunakannya pada tahun 2015. Begitu juga dengan MAIS, di mana ianya beroperasi di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang juga diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini. Begitu juga dengan Enakmen-enakmen lain yang sedang digunapakai oleh JAIS dan MAIS. Maka saya menyeru supaya semua wakil rakyat termasuk pembangkang di Dewan Yang Mulia ini dilibatkan bersama untuk kesejahteraan dan keharmonian umat Islam dan bukan Islam di Selangor.

Semasa Selangor dilanda dengan pelbagai jenis kemelut agama, saya memuji tindakan Jabatan Dakwah JAIS di mana mereka telah hadir dan melawat ke beberapa rumah beribadah bukan Islam di sekitar Shah Alam dan Klang pada bulan Oktober yang lalu berikutan satu kursus perbandingan agama anjuran jabatan berkenaan. Perkara ini telah dilapor dalam beberapa media Bahasa Malaysia.

Saya menyanjung tinggi usaha murni pegawai-pegawai JAIS ini dan saya yakin ini pasti akan membantu memerlihara keharmonian kaum di Selangor.

Maksud Bekalan (VOT):   B18 Pejabat Daerah Dan Tanah Petaling
Butiran Program:               505000 Pentadbiran dan Kewangan    
Kod:                                      10000 Emolumen
                                                                  
1.    Merombakan semula Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dan ditubuhkan semula Jawatankuasa Tanah di setiap Daerah yang akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk membenarkan setiap ADUN, termasuk ADUN pembangkang untuk memantau perjalanan dan pentadbiran PTD dari aspek pemprosesan hal ehwal tanah seperti pemberimilikan hakmilik tanah, pelanjutan tempoh hakmilik, permohonan pecah bahagian dan pecah sempadan

2.    Mesyuarat  yang sama juga perlu diadakan untuk Jabatan Kerja Raja (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di setiap daerah mengikut modus operandi yang sama seperti Jawatankuasa Tanah Daerah yang disebut di atas kerana cara ini adalah lebih berkesan dan lebih fokus untuk pada ADUN memantau perjalanan Jabatan-jabatan yang di peringkat daerah.
3.    Aduan KSSB mengenai lombong pasir haram kurang mendapat kerjasama daripada pihak PTD dan PTG dan KSSB terpaksa bergantung kepada pegawai “on-site” KSSB untuk memantau aktiviti pengektrakan pasir di lombong GLC dan lombong persendirian. Surat yang dihantar kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) adalah seperti berikut: Taman Perindustrian Puchong - Dua surat dan Tapak Puchong Prima - Empat surat. Apakah perkembangan terhadap aduan daripada KSSB ini?
                                                                                                                         

Lau Weng San

No comments: