Tuesday, December 02, 2014

Ucapan Perbahasan Belanjawan Peruntukan Pembangunan 2015

Ucapan Perbahasan Belanjawan Peruntukan Pembangunan 2015 oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 2 Disember 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

1.    Kerajaan perlu mempercepatkan langkag-langkah untuk menunaikan semua janji yang termaktub dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor 2013. Maka ucapan saya akan berdasarkan kepada Manifesto ini.

2.    Pusat Kebudayaan - Ada disebut tentang penubuhan ketiga-tiga Pusat Kebudayaan dalam Manifesto Pakatan Rakyat semasa Pilihanraya Umum yang lepas. Kini setahun sudah berlalu tetapi Dewan masih belum dimaklumkan tentang perkembangan terkini. Kali terakhir Dewan dimaklumkan tentang Pusat Kebudayaan ini ialah bahawa terdapat masalah hakmilik tanah yang masih belum diselesai. Maka saya memohon kerajaan memberi maklumat terkini.

3.    Bantukan Pendidikan - Saya juga ingin bertanya tentang peruntukan pendidikan kepada SMJK dan Sekolah Kebangsaan sebanyak RM 2 juta. Apakah sebab-sebab peruntukan ini tidak dapat disediakan pada tahun 2015 sedangkan ianya telah dimasukkan dalam Manifesto Pakatan Rakyat pada tahun 2013?

4.    Masalah keselamatan masih menjadi isu yang penting di Selangor amnya dan Petaling Jaya khasnya. Daripada operasi besar-besaran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap kedai judi haram di seluruh Malaysia, kini aktiviti  haram ini hampir tiada di Selangor, termasuk DUN Kampung Tunku. Ini hanya membuktikan satu fakta, bahawa sememangnya kuasa polis sangat besar dan berkesan. Bak pepatah berbunyi, nak hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dengan mengambil ikhtibar daripada peristiwa Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang, maka saya memohon agar YAB Menteri Besar sendiri untuk terus engage dengan PDRM dan kerajaan persekutuan supaya cadangan untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan di setiap PBT dapat direalisasikan.

5.    River of Life – Kerajaan Persekutuan di bawah Pemandu telah menjalankan banyak usaha untuk membersihkan bahagian Sungai Klang dan Sungai Gombak yang terletak di bawah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur walaupun cadangan untuk membersihkan Sungai Klang sebenarnya berasal daripada Kerajaan Selangor. Saya akur bahawa kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan membenarkan ia menjalankan projek ini secara besar-besaran dan berpanjangan. Biarpun begitu, saya percaya peranan Kerajaan Selangor dan PBT sama penting. Justeru itu, saya meminta kerajaan untuk membekalkan semua maklumat terhadap projek ini dan apakah bentuk kerjasama yang telah dan akan dijalin antara kerajaan negeri dan persekutuan?
                                 
6.    Pemerkasaan kaum ibu yang bekerja – Penyusuan ibu sudah menjadi satu trend masa kini. Sungguhpun saya telah banyak mendesak kerajaan supaya mengadakan lebih banyak program khusus untuk memperkembangkan usaha yang mulia ini tetapi komitmen kerajaan negeri dan PBT dalam hal ini hanya setakat menetapkan syarat supaya semua kompleks membeli-belah menyediakan bilik penyusuan ibu. Walaupun penambahbaikannya semakin kelihatan, tetapi untuk mempopularkan penyusuan ibu ini, kerajaan memerlukan lebih banyak program kesedaran dan untuk itu saya memohon YB EXCO Wanita (merangkap EXCO Kesihatan) bertindak proaktif dan engage dengan Kementerian Kesihatan untuk menjadikan Selangor sebagai negeri mesra penyusuan ibu yang pertama di Selangor.

7.    Pemerkasaan kaum ibu yang bekerja – Maka sudah tiba masanya untuk kerajaan menjalankan pendaftaran dan pemetaan Taska dan Tadika di Selangor untuk memudahkan para ibu bapa untuk mengenalpasti Taska dan Tadika yang terdekat dengan rumah dan tempat bekerja mereka.

8.    Kerajaan juga harus memperkemaskan Garis Panduan Komuniti Berpagar Dan Berpengawal yang sedia ada. Perbincangan harus dipulih semula untuk mencara cara penyelesaian yang paling bagus untuk mengatasi masalah ini. Isu hangatnya ialah penutupan jalan tertutup dan ini selalu menimbulkan ketegangan di kalangan penduduk. Justeru itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat semula Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang sudah ketinggalan zaman. Walaupun ini ialah Akta Parlimen, tetapi kerajaan negeri harus menggunakan segala saluran yang sedia ada untuk mendesak kerajaan persekutuan membawa pindaan kepada Seksyen 46 Akta ini mengikut kesesuaian semasa.

9.    Kerajaan juga harus mengadakan satu garis panduan pusat-pusat jagaan warga emas dan retirement village khususnya di kawasan-kawasan perumahan yang semakin ramai warga usia emas.

Lau Weng San


No comments: