Thursday, October 15, 2015

Fadillah Yusuf dan Putrajaya jangan tolak tanggungjawab kepada “legasi kerajaan terdahulu” dalam isu kenaikan tol lebuhraya

Kenyataan Media oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 15 Oktober 2015 di Petaling Jaya:

Kenaikan tol lebuhraya yang akan berkuatkuasa hari ini merupakan satu lagi bukti kegagalan Putrajaya dalam menangani kenaikan kos kehidupan menyebabkan rakyat berpendapatan rendah terus dihimpit kos kehidupan yang semakin meningkat.


Harga runcit bahan api - Sehingga sekarang, Putrajaya masih belum memberitahu cara atau formula pengiraan harga runcit bahan api. Harga bahan api di Malaysia masih mahal walaupun harga pasaran telah lama berada sekitar paras USD 50 seton. Kegagalan Putrajaya mengurus ekonomi telah menyebabkan nilai mata wang Ringgit Malaysia menyusut nilai melebihi 30% sejak 9 bulan yang lalu sehingga menyebabkan harga runcil bahan api di Malaysia naik kerana ianya diperdagangkan dalam matawang USD.

Kenaikan tambang bas dan pengangkutan awam - Rakyat tiada alternatif lagi selain mengayuh basikal apabila telah dilaporkan tidak lama dahulu tambang dan pengangkutan awam akan naik lagi. Tambang bas sekolah dan bas ekspress telah dianjak tidak lama dahulu. Apakah logiknya Menteri Kerja Raya Fadillah Yusuf menasihat rakyat Malaysia lebih menggunakan pengangkutan awam apabila tambangnya juga sama-sama naik seperti tol lebuhraya?


Cukai GST 6% - Tidak boleh dilupakan lagi ialah cukai GST sebanyak 6% yang mula dilaksanakan sejak April 2015. Bukankah Putrajaya telah berjanji bahawa bukan sahaja harga runcit sesetengah barang tidak akan naik, malahan ada juga yang akan menurun?
Tetapi sehingga sekarang, indeks CPI pada Ogos 2015 dicatatkan pada paras 113.9, iaitu yang tertinggi sejak setahun yang lalu mengikut statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Temberang Putrajaya dalam isu kenaikan tol lebuhraya

Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai satu rancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah kenaikan tol di Lembah Klang. Terdapat dua jenis lebuhraya secara kasar, iaitu satu yang telah lama beroperasi (zaman Mahathir) dan satu lagi yang masih baru dan hanya beroperasi tidak sampai sepuluh tahun (Zaman Abdullah dan Najib).

Maka adalah tidak betul sekiranya Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof menyatakan bahawa perjanjian-perjanjian konsesi ini ialah legasi daripada kerajaan yang terdahulu?

Siapakah kerajaan terdahulu? Bukankah kerajaan terdahulu ini juga kerajaan Barisan Nasional (BN)?

Mengapakah kerajaan BN tidak menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk merunding semula semua perjanjian ini?

Sebagai contoh, pemegang konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Litrak Sdn Bhd telah diberi konsesi ini sejak tahun 1998. Kos pembinaannya ataupun lebih tepat lagi, kos naiktaraf beberapa jalan negeri dan persekutuan di antara Damansara dan Puchong, ialah RM1.4 bilion.

Litrak telah lama menjana keuntungan daripada lebuhraya LDP dan SPRINT sehingga telah memulihkan kos pembinaan sepenuhnya. Walaupun perjanjian ini telah ditandatangani, tetapi ini tidak bermakna Putrajaya tidak boleh menjalankan rundingan semula.

Kedua, kalaupun masalah-masalah ini berpunca daripada legasi “kerajaan terdahulu”, tetapi bagaimana pula dengan perjanjian-perjanjian konsesi yang ditandatangani semasa zaman Abdullah dan Najib seperti SKVE, LATAR dan sebagainya?

Mengapakah ianya masih mewarisi ciri-ciri legasi “kerajaan terdahulu”? Apakah Putrajaya tiada daya dan upaya untuk mengubahsuainya demi kepentingan rakyat?

Ketiga, kalaupun syarikat-syarikat ini enggan bertolak-ansur, mengapakah kerajaan tidak menggunakan "expropriation clause" yang terdapat dalam perjanjian konsesi (perjanjian ini telah dibuka kepada tatapan orang ramai pada tahun 2008) untuk mengambil balik lebuhraya-lebuhraya ini? Sekiranya ini berlaku, maka kenaikan tol boleh dikawal, dikurangkan atau dihapuskan sama sekali setakat kemampuan kerajaan.

Harus ditekankan bahawa Putrajaya boleh dan patut menggunakan kedudukannya untuk sekurang-kurangnya berunding semula dengan syarikat konsesi ini, bahawa setelah sesuatu tempoh tertentu di mana mereka telah menjana keuntungan yang secukupnya, konsesi harus dibuka semula untuk ditender dalam pasaran terbuka supaya penender yang menawarkan kadar tol terendah akan diberi hak konsesi untuk sesuatu tempoh. Ini penting untuk memecah monopoli yang sediada.

Sebagai seorang peguam yang terlatih dan bertauliah sebelum menjejak langkah dalam dunia politk, saya pasti Fadillah Yusuf boleh melakukan sesuatu. Sebenarnya, banyak cadangan boleh dilakukan oleh Putrajaya tetapi semuanya bergantung kepada keinginan politik Putrajaya. Saya menggesa Fadillah Yusuf jangan lari daripada tugas dan tanggungjawabnya.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku


Post a Comment