Friday, October 30, 2015

Ulasan sepintas lalu saya terhadap ucapan Belanjawan Selangor 2016

Belanjawan ini telah membangkitkan beberapa cadangan yang pernah dikemukakan sebelum ini tetapi tidak diberi tumpuan berterusan. Saya gembira ianya telah diberi tumpuan dan penekanan yang sewajarnya dalam Belanjawan Selangor 2016, contohnya ialah pembersihan Sungai Klang.

Terdapat beberapa kekuatan dan kelemahan dalam Belanjawan ini. Antara yang paling menarik ialah (1) bantuan yang akan diberi kepada golongan miskin (B40) dalam bentuk pengecualian cukai taksiran, fi, lesen tapak pasar dan sebagainya , (2) pengiktirafan sijil UEC, (3) pembangunan infrastruktur seperti jalan-jalan negeri dan sebagainya serta (4) bantuan kepada kaum ibu yang terpaksa berhenti bekerja untuk menjaga rumahtangga.

Saya juga melihat bahawa terdapat sedikit kelemahan dalam Belanjawan ini di mana golongan M40, iaitu golongan kelas menengah tidak menerima manfaat secara langsung daripada Belanjawan ini kalau dibandingkan dengan golongan B40. Saya pernah bercadang, sekiranya kerajaan dapat menyerap kesemua atau sebahagian cukai GST yang dikenakan oleh PBT, ia akan memberi kesan positif langsung kepada kedua-dua golongan M40 dan B40 ini.

Berkaitan dengan pembangunan infrastruktur, saya bercadang kerajaan perlu menjalankan kajian keberkesanan penyuraian trafik dengan membina lebih banyak jambatan merentasi hilir Sungai Klang bermula dari jajaran selepas Kuala Lumpur sehingga ke Klang. Malangnya perkara ini tidak disebut.

Dalam isu pendidikan, kerajaan semasa membentangkan Belanjawan 2015 pernah mengumumkan akan memperuntukkan RM5 juta sebagai biasiswa pasca ijazah tetapi ianya masih belum dilaksana sehingga sekarang. Maka kerajaan perlu memastikan bahawa semua yang telah dibentangkan sebelum ini dapat direalisasikan.

Kerajaan juga tidak memberi input terhadap beberapa dasar reformasi seperti pemulihan kerajaan tempatan, pengukuhan institusi DUN dengan melalui RUU SELESA serta penyelarasan elaum tetap Ahli Majlis PBT.

Saya akan menghuraikan perkara-perkara ini dengan lebih terperinci dalam ucapan perbahasan saya pada Isnin nanti. Kesimpulannya, Belanjawan ini agak seimbang dan menarik. Saya berharap segala teguran akan diterima dengan baik oleh Eksekutif.

No comments: