Thursday, October 22, 2015

Menggesa Kerajaan Selangor memaklumkan hasil perbincangan dengan GLC yang memegang saham dalam syarikat konsesi lebuhraya

Kenyataan Media (2) oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 22 Oktober 2015 di Petaling Jaya:
  
Saya menggesa Kerajaan Selangor untuk memaklumkan hasil dan keputusan perjumpaan dengan kedua-dua Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) berkaitan dengan isu kenaikan tol yang telah berkuatkuasa pada 15 Oktober 2015.

Perjumpaan dengan KPS adalah lebih penting kerana KPS memegang 20% saham dalam Syarikat Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn. Bhd., iaitu pemegang konsesi Lebuhraya SPRINT dan Ahli Parlimen PKR untuk kawasan Subang, Encik Sivarasa Rasiah ialah seorang daripada tiga orang Pengarah syarikat berkenaan. Beliau dilantik sebagai wakil KPS, anak syarikat Kerajaan Selangor dalam SPRINT. Pada masa yang sama, tol untuk Lebuhraya SPRINT telah dinaikkan daripada RM1.50 ke RM2.50. Oeh sebab itu, hasil perjumpaan antara Kerajaan Selangor dengan KPS dalam mesyuarat MTES yang diadakan pada 15 Oktober adalah amat penting.

Ini bukan kali pertama Kerajaan Selangor menggunakan pegangan ekuitinya untuk mengurangkan beban rakyat akibat kutipan tol lebuhraya. Insiden yang masih di dalam ingatan kita ialah pembukaan jalan keluar masuk yang menyambung Bandar Mahkota Cheras ke Lebuhraya Cheras-Kajang pada tahun 2008 di mana KPS mempunyai pegangan saham sebanyak 20% dalam Taliswork Corporation Berhad (TCB) yang memegang 55% saham dalam Cerah Sama Sdn Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Kajang-Cheras. Peristiwa itu turut dibantu dengan fakta di mana tanah yang digunakan oleh Cerah Sama Sdn Bhd untuk menutup jalan pada masa itu ialah tanah kerajaan.

Kerajaan Selangor sebagai pemegang saham minoriti dalam syarikat SPRINT masih dan perlu bangkit bersuara untuk memastikan kenaikan tol pada masa depan dikawal supaya ianya tidak terlalu membebankan rakyat. Walaupun perkara tentang kenaikan tol ini tidak semestinya dibawa untuk kelulusan Lembaga Pengarah, seperti yang dinyatakan oleh Encik Sivarasa Rasiah, wakil induk kerajaan Selangor dalam SPRINT, namun ini tidak bermakna kerajaan negeri tiada hak untuk melakukan sesuatu.

Contohnya, KPS sebagai pemegang saham minoriti masih boleh mengemukakan resolusi dalam Mesyuarat Agung Tahunan syarikat berkenaan agar semua kenaikan tol pada masa depan mesti dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah sebelum dikuatkuasa. Perkara ini adalah diperuntukkan dalam Seksyen 145 Akta Syarikat.

Sebenarnya, Kerajaan Selangor boleh mempertimbangkan cara ini untuk menerap sebarang dasar kerajaan Selangor ke dalam pengurusan syarikat yang dipegangnya tetapi rundingan perlu diadakan dengan pemegang-pemegang saham yang lain supaya ianya boleh diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Selain itu, Seksyen 181 Akta Syarikat juga memperuntukkan hak dan kuasa yang ada pada pemegang saham minoriti sekiranya berlaku penindasan atau diskriminasi terhadap mereka.

Kedua, perlantikan wakil Kerajaan Selangor sebagai Pengarah dalam Lembaga Pengarah syarikat-syarikat pemegang konsesi lebuhraya ini mesti dijalankan dengan telus supaya mereka yang dilantik ini benar-benar mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk melindungi kepentingan syarikat di samping menjaga kepentingan rakyat dan Kerajaan Selangor. Perkara ini juga diperuntukkan dalam Seksyen 132(1A) Akta Syarikat.

Saya berpendapat bahawa ianya akan menjadi satu contoh pentadbiran baik (an example of good governance) sekiranya Encik Sivarasa Rasiah selaku wakil rakyat boleh memaklumkan kepada orang ramai semua elaun yang diterima beliau sepanjang tempoh perlantikannya sebagai Pengarah Syarikat SPRINT.

Ketiga, Kerajaan Selangor harus memaklumkan berapa banyak dividen yang telah diterima daripada syarikat-syarikat konsesi lebuhraya ini dan bagaimana dividen-dividen ini akan digunakan untuk mempertingkatkan kualiti jalan-jalan negeri dan alternatif? Soalan ini penting kerana rakyat Selangor berharap dividen yang dijana daripada keuntungan syarikat-syarikat pemegang konsesi ini boleh disalurkan balik kepada rakyat Selangor dalam pelbagai cara yang bermanfaat.

Saya berharap ketiga-tiga cadangan ini dapat disampaikan kepada wakil KPS dan PKNS dalam perjumpaan MTES yang telah atau akan diadakan.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku


No comments: