Tuesday, November 07, 2017

Belanjawan Selangor – biarpun defisit tetapi berisi dan berhemah

Ucapan perbahasan oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San tentang Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2018 pada 7 November 2016 di Shah Alam:

Menyanggal tuduhan-tuduhan liar terhadap Belanjawan Selangor 2018

1. Pertama sekali saya membidas kegagalan pembangkang dalam sidang DUN ini kerana sehingga sekarang masih belum dipilih seorang Ketua Pembangkang. Adalah tidak keterlaluan untuk saya berkata bahawa prestasi pembangkang dalam penggal ini lebih lemah daripada zaman Dr. Khir Toyo dan Datuk Satim Diman sebagai pembangkang.

2. Saya juga ingin menyangkal tuduhan-tuduhan yang tidak tepat daripada ADUN Barisan Nasional. Saya ingin membawa perhatian kepada ADUN Batang Kali tentang tuduhannya tentang peruntukan MARRIS yang tidak dicatat dalam penyata kewangan kerajaan negeri kerana adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 sekiranya sesuatu hasil atau terimaan itu tidak dicatat dalam penyata kewangan kerajaan.

3. ADUN Sungai Panjang mencabar Kajang untuk membantah Belanjawan Selangor 2018 kerana kedua-dua Belanjawan Persekutuan dan Selangor ialah Belanjawan defisit.

4. Memang kedua-dua belanjawan ini defisit tetapi konteks perbincangan kedua-dua belanjawan ini jauh berbeza. Belanjawan BN ialah belanjawan defisit selama 20 tahun berturut-turut sementara Belanjawan Selangor hanya defisit sejak tahun 2015.  

Persekutuan - Defisit 21 tahun, hutang bertambah, rizab merosot, belanja pembangunan 17%;
Selangor - Defisit 4 tahun, hutang berkurang, rizab meningkat, belanja pembangunan 53%

5. Fokus harus diberi kepada penyata kewangan pada akhir tahun. Walaupun sesuatu belanjawan itu dibentangkan sebagai belanjawan defisit tetapi Selangor mampu mencapai lebihan untuk tahun 2015, 2016 dan 2017. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan bukan sahaja membentangkan belanjawan defisit selama 20 tahun berturut-turut malahan mereka tidak selalunya mencapai lebihan mahupun imbangan pada akhir tahun. 

6. Keadaan ini telah menyebabkan rizab Kerajaan Persekutuan merosot, berbeza dengan sama rizab Kerajaan Selangor yang meningkat. Selama dua tahun berturut-turut sejak tahun 2015, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh di bawah paras US$100 bilion. Pada tahun 2013, angka ini pernah mencapai US$150 bilion. Keadaan ini bertambah perit apabila Petronas terpaksa membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan dengan menggunakan wang simpanannya dan bukan keuntungannya! 


7. Sehingga 31 Disember 2016, rizab BNM hanya setakat US$96 bilion, berbanding dengan US$98 bilion setahun sebelumnya. BNM perlu membelanjakan wang sebanyak US$1.9 bilion hanya untuk mempertahankan mata wang Ringgit Malaysia, yang dianggap sebagai mata wang dengan prestasi terburuk di rantau Asia. Pada masa yang sama, rizab Kerajaan Selangor semakin bertambah. Angka terkini pada 30 Oktober 2017 ialah RM3.24 bilion berbanding dengan RM1.25 bilion pada tahun 2008. 


8. Walaupun kedua-duanya belanjawan ini defisit, tetapi fokus perbelanjaan kedua-duanya jauh berbeza. Belanjawan Selangor selalunya menekankan kepada peratusan pembangunan yang lebih tinggi berbanding dengan Persekutuan. Ini hanya berlaku kerajaan mengurangkan ketirisan dan mempertingkatkan sumber pendapatan kerajaan. 

9. Hal ini sedemikian juga kerana agensi kerajaan yang cekap serta pengurangan tunggakan hasil akibat keyakinan pembayar cukai yang tinggi terhadap pentadbiran kerajaan negeri. Maka rakyat lebih rela membayar cukai kepada kerajaan apabila mereka merasakan cukai yang dibayar berbaloi berbanding dengan perkhidmatan yang dibekalkan.  

10. Peratusan sumbangan Selangor kepada KDNK Malaysia pada tahun 2005 hanya sekadar 20.8% tetapi ianya telah bertambah kepada 22.7% pada tahun 2016. Saya menjangka angka akan terus naik pada tahun ini dan tahun depan.  

11. Apa makna mencatat pertumbuhan tinggi, tetapi simpanan kukuh tetapi tidak dikongsi dengan rakyat jelata? Berlandaskan tirai kecemerlangan inilah kerajaan Selangor mampu membentangkan bukan sahaja sebuah belanjawan defisit, malahan sebuah belanjawan dengan peruntukan pembangunan melebihi peruntukan mengurus. Sudah pasti ini ialah sesuatu yang harus diraikan kerana sesudah sekian lama Belanjawan Persekutuan dibelenggu dengan peruntukan mengurus yang terlampau besar. Selangor merintis jalan kepada sebuah Belanjawan yang sihat. 

12. ADUN BN Batang Kali YB Mat Nadzari bin Ahmad Dahlan juga melontar kritikannya terhadap Belanjawan Selangor 2018 di media, di antaranya dan saya memetik daripada laporan media New Straits Times bertarikh 3 November 2017, “It is like a poor university dissertation whose content was merely repeating its old achievements.1” 

13. Saya mengucapkan syabas kepada beliau kerana secara tidak langsung, beliau mengakui apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Selangor sebagai satu “pencapaian”. Terima kasih kerana bercakap benar, akhirnya! 

14. Profesor KS. Jomo baru-baru ini dalam laporan The Edge Financial Daily bertarikh 31 Oktober 20172 berkata bahawa kerajaan tidak harus terlalu terikat dengan pembentangan belanjawan berimbang kerana dalam menghadapi kegawatan ekonomi, kerajaan harus menggunakan rizab yang ada untuk merangsang pembangunan ekonomi melalui belanjawan defisit. Sebaliknya, beliau bercadang supaya kerajaan membayar balik hutang apabila keadaan baik dan membelanja atau berhutang dalam kegawatan ekonomi. 

15. Maka adalah tidak menepati teori ekonomi sekiranya ADUN BN menuduh Belanjawan Selangor 2018 tanpa berlandaskan kepada realiti kerana program-program yang bakal dijalankan ada tahun 2018 merupakan program-program yang telah bermula sekian lama dan akan lebih dirancakkan pada tahun 2018, apatah lagi Selangor mempunyai kemampuan untuk melakukannya.

16. Secara dasar, saya menyambut baik pelbagai inisiatif Peduli Rakyat yang bakal dijalankan dengan lebih rancak pada tahun 2018 tetapi saya akan membangkitkannya pada perbahasan peringkat jawatankuasa atau usul pembangunan nanti. Biarpun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus oleh Eksekutif dalam Belanjawan ini. 

Air

17. Pertama berkenaan dengan penukargantian paip air lama di mana kerajaan di mana wang sebanyak RM248.7 juta telah diluluskan kepada Air Selangor untuk kerja-kerja penggantian paip. Pada tahun 2017, kerajaan hanya membelanjakan RM100.6 juta untuk tujuan ini. Berapakah penurunannya pada tahun 2017 berbanding dengan 2016? Dengan penambahan peruntukan yang begitu besar ini, adakah ini bermakna kerajaan mempunyai cita-cita yang lebih besar untuk mengurangkan NRW pada tahun 2018?

18. Setahun yang lalu, disebabkan aduan daripada penduduk yang semakin serious, saya menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan sekiranya perlu untuk mengatasi masalah seperti tekanan air yang rendah, gangguan bekalan air yang kerap serta pencemaran air yang seringkali mengancam keselamatan sumber air.

19. Setahun telah berlalu dan kita melihat peruntukan ini telah bertambah, sekaligus membukti kemampuan dan keupayaan kerajaan dalam perkara ini telah bertambah. Saya mengakui bahawa penambahan peruntukan tidak akan membantu mengatasi masalah-masalah yang saya sebutkan di atas sekiranya Air Selangor tidak mempunyai kapasiti yang diperlukan untuk melaksanakan projek-projek ini. 

20. Maka dengan itu saya memohon supaya Eksekutif memberi satu penerangan yang terperinci tentang soalan ini, iaitu bagaimanakah peruntukan dalam Belanjawan 2018 boleh membantu mengatasi masalah tekanan air rendah, gangguan bekalan air kerap serta pencemaran sumber air di Selangor berbanding dengan Belanjawan 2017?

Internet of Things (IoT), Waze, SSDU, Bas percuma, Bike-sharing, Aplikasi Mudah Alih Untuk Pengangkutan Awam

21. Saya bangga dan gembira kerana kerajaan bergerak ke arah yang betul untuk merancakkan agenda Internet of Things (IoT) dalam pentadbiran kerajaan. Terbaru ialah cadangan untuk membina infrastruktur Smart Selangor Delivery Unit yang bermula dengan kerjasama dengan Waze. 

22. PBT disaran untuk menggunakan IoT untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian Kerajaan Negeri mencadangkan agar sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan Belanjawan Pembangunan PBT digunakan untuk tujuan ini.

23. Cabaran ini telah disahut oleh MBPJ, di mana MBPJ baru-baru ini membangunkan infrastruktur IoTnya tentang jadual dan laluan bas percuma PJ City Bus. Sebagai seorang pengguna pengangkutan awam, saya difahamkan bahawa SPAD dan RapidKL juga sedang berusaha ke arah itu. Pada waktu yang sama, Moovit, sebuah aplikasi pengangkutan awam yang berasaskan pengguna, juga semakin mendapat sambutan di kalangan pengguna. Maka sudah sampai masanya untuk membangunkan infrastruktur e-wallet yang boleh diguna di seluruh Selangor melalui kerjasama dengan Samsung, WeChat Pay atau AliPay.

24. Harapan dan cadangan saya ialah agar kesemua agensi pelaksana ini perlu diselaras dan jangan sekalipun mereka bekerja secara berasingan. Di Petaling Jaya, MBPJ mempunyai jiwa yang besar untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian melalui basikal. Memandangkan garis panduan program bike-sharing masih dalam kajian di bawah MPSJ, maka saya memohon kajian perlu disiapkan secepat mungkin agar orang ramai dapat menikmati kebaikan bike-sharing demi mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan peribadi.

Perubahan Iklim

25. Kita perlu mengambil ikhtibar daripada angin taufan yang melanda Pulau Pinang beberapa hari yang lepas. Akibat perlepasan kandungan gas karbon dioksida yang banyak ke dalam atmosfera, iklim sedunia telah mengalami perubahan yang semakin mencabar kepada manusia. Kerajaan harus menyediakan satu peruntukan untuk menghadapi segala cabaran yang bakal berpunca daripada perubahan iklim, sama ada peruntukan kepada PBT atau penduduk untuk menjalankan latihan, peruntukan untuk membantu pemuliharaan kehidupan penduduk dan sebagainya.

E-sukan

26. Aktiviti sukan bukan sahaja menjadikan badan kita sihat dan cergas, malahan dapat merapatkan hubungan setiakawan dan etnik. Selain menaiktaraf prasarana sukan komuniti di Selangor, kita harus juga sedar bahawa e-sukan atau e-sport juga sangat popular dalam kalangan anak muda. E-sukan telah muncul sebagai sukan antarabangsa dengan pasukan profesional dan pemain dari setiap pelusuk dunia. 

27. Kerajaan Selangor harus memudahcarakan pembangunan sihat e-sukan dengan peruntukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk membantu pemain dan pasukan di bawah 25 tahun untuk melatih dan bersaing di dalam kejohanan antarabangsa eGames. Saya berharap Kerajaan Selangor melalui Selangor Youth Council akan membantu memadankan pasukan e-sukan di Selangor dengan penaja.

Tanah - tanah kilang Proton, Sapu Tanah 1Malaysia (SAT1M)

28. Isu terakhir ialah tentang tanah. Saya juga tertarik dengan masa depan tanah seluas 250 ekar yang diduduki oleh Proton di Shah Alam sekarang, di mana tanah ini dianggarkan bernilai lebih daripada RM4 bilion sekarang. Pada tahun 1980-an, tanah ini diberi hakmilik kepada Proton untuk tujuan pembangunan industri automobil nasional, hakmilik diberi atas kepentingan awam. Penstrukturan syarikat Proton akan melihat operasi Proton dipindah sepenuhnya ke Tanjung Malim. Soalannya, apakah akan berlaku terhadap tanah yang begitu besar ini? Adakah ianya akan menjadi alat kepada syarikat kroni UMNO untuk mengaut keuntungan atas angin?

29. Dewan Yang Mulia perlu digemparkan dengan tanah-tanah kerajaan yang telah diberi hakmilik kepada parti-parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC sebelum 2008 dengan premium tanah serendah RM1 satu kaki persegi. Kita juga mengambil maklum bahawa sesetengah tanah ini telah dibangunkan untuk tujuan komersial dan parti-parti politik seperti dinamakan di atas telah mengaut keuntungan.

Kaveat Pendaftar Tanah Untuk SAT1M

30. Eksekutif perlu bertindak melindungi hak dan kepentingan rakyat. Maka saya bercadang jikalau tanah-tanah ini masih dipegang oleh parti-parti politik berkenaan, memandangkan pemberian hakmilik tanah-tanah ini dibuat tanpa pertimbangan yang munasabah, kerajaan mendaftarkan sekatan-sekatan kepentingan kerajaan negeri dengan memasukkan Kaveat Pendaftar di bawah s.319 atas sebab-sebab di bawah s.320(1)(a) dan (b)(i) iaitu untuk untuk mencegah penipuan atau urusniaga yang tak patut atau untuk melindungi kepentingan Pihak Berkuasa Negeri, dan menetapkan tanah-tanah ini tidak boleh dipindahmilik tanpa mendapat persetujuan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: