Tuesday, November 14, 2017

MRT Corp perlu menjelaskan percanggahan kenyataan antara kedua-dua Ketua Pegawai Eksekutif baru dan lamanya tentang model PDP dan model “Kontraktor Turnkey”

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 14 November 2017 di Petaling Jaya: 

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Seri Shahril Mokhtar tidak harus mengganggap kritikan orang luar terhadap pembinaan MRT3 sebagai remeh-temeh, kononnya bahawa kritikan-kritikan ini berbau politik. Sebaliknya, terdapat soalan-soalan yang bernas yang perlu dijawab tetapi tidak dijawab oleh pihaknya.

MRT3 telah menjadi topik perbincangan kerana sebab-sebab di bawah:

1. Pelaksanaannya telah bertukar daripada model "Project Delivery Partner" (PDP atau Rakan Pelaksana Projek) dalam MRT1 dan MRT2 kepada model “Kontraktor Turnkey” dalam MRT3.
2. Tempoh masa pelawaan tender yang terlalu singkat serta cara pembiayaiannya yang berbeza dengan pelaksanaan MRT1 dan MRT2. 
3. Kemampuan syarikat-syarikat tempatan untuk mengambil bahagian dalam model “Kontraktor Turnkey” yang diperketatkan syarat-syaratnya sehingga menyukarkan peluang syarikat tempatan untuk mengambil bahagian dalamnya.
4. Tempoh kerja MRT3 yang diperpendekkan sehingga dikehendak siap pada masa yang sama dengan MRT2. Persoalan timbul tentang apakah rasionalnya walaupun ianya telah diumunkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan Persekutuan 2018?

Melalui model PDP dalam pembinaan MRT1 dan MRT2, banyak syarikat tempatan telah mengambil bahagian dan memastikan projek ini, khususnya MRT1 dilaksanakan dalam kos dan masa yang telah dijangkakan tanpa tambahan kos dan masa, mengikut kenyataan-kenyataan MRT Corp sebelum ini. 

Sekiranya model “Kontraktor Turnkey” diguna mengikut kehendak yang ditetapkan oleh MRT Corp, penganalisa pasaran Nomura Securities Malaysia Sdn Bhd telah menjangkan bahawa kontraktor dan syarikat tempatan barangkali tidak mampu membinanya secara sendiri kerana mereka perlu membiayai hampir 90% daripada kos keseluruhan MRT3 iaitu lebih daripada RM30 bilion untuk waktu sekurang-kurangnya 30 tahun, ditambah lagi dengan satu tempoh moratorium untuk lapan tahun pertama, selain daripada keperluan-keperluan teknikal yang lain yang perlu dipatuhi oleh pembida yang berjaya.



Dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh The Malaysian Reserve pada 12 Februari 2012 (juga dimuat dalam laman web MRT Corp di sini), Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp pada masa itu Datuk Azhar Abdul Hamid telah berkata bahawa, 
“Appointing a turnkey contractor might prove to be costly should there be any variation in plans and cost. The PDP model will prevent this from happening. PDP also provides a single point of accountability to deliver the whole project within the agreed time and cost targets.”
Kenyataan Datuk Azhar Abdul Hamid ini penting kerana kejayaan model PDP dalam memastikan projek MRT1 disiapkan dalam kos dan waktu yang ditetapkan telah menjadi hebahan warga MRT Corp selama ini. 

Walaupun begitu, kenyataan ini bercanggahan dengan kenyataan terbaru Datuk Seri Shahril Mokhtar, yang berkata keputusan untuk menukarkan struktur perlaksana projek MRT3 daripada model PDP kepada model “Kontraktor Turnkey” boleh menjimatkan berbilion-bilion ringgit.

Sinar Harian dalam laporannya memetik percakapan beliau bahawa model “Kontraktor Turnkey” membolehkan MRT Corp mendapatkan opsyen pembiayaan terbaik memandangkan 80 peratus kerja membabitkan kerja-kerja pengorekan dan penerowongan yang menelan belanja yang amat banyak.

Sekiranya model PDP ini berjaya dan terbukti berjaya, maka apakah rasionalnya untuk Datuk Seri Shahril Mokhtar pula berkata bahawa model “Kontraktor Turnkey” ini lebih baik? 

Adakah model “Kontraktor Turnkey” ini akan memastikan projek MRT3 dapat dilaksanakan pada kos dan waktu yang ditetapkan tanpa membebankan kerajaan, pembayar cukai dan orang ramai?

Sememangnya, percanggahan kenyataan kedua-dua Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp yang baru dan lama memerlukan penjelasan yang lebih terperinci daripada Datuk Seri Shahril Mokhtar selaku Ketua Pegawai Eksekutif yang baru. Jawapan beliau yang sekadar meremeh-temehkan kritikan orang ramai dengan alasan bahawa kritikan-kritikan ini berbau politik sekadar jalan muda untuk mengelak daripada menjawab soalan yang penting seperti ini.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: