Monday, November 13, 2017

Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri telah dimaklumkan kepada semua Ahli Dewan Negeri Selangor pada 17 Disember 2014


Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 13 November 2017 di Petaling Jaya: 

Memandangkan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan jalan Negeri telah dimaklumkan kepada semua Ahli Dewan Negeri Selangor melalui satu surat daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bertarikh 17 Disember 2014, maka tuduhan bahawa kerajaan Pakatan Harapan Selangor cuba “menyorok” peruntukan MARRIS daripada kerajaan Persekutuan adalah tidak wujud sama sekali.

Isu ini telah dibangkitkan oleh ADUN BN untuk kawasan Batang Kali, YB Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, pada 6 November 2017 dan telah dijawab oleh YAB Menteri Besar dua hari kemudian pada 8 November 2017. Saya juga mencabar beliau untuk membuat laporan polis dan laporan SPRM sekiranya beliau mempunyai bukti-bukti penyelewengan peruntukan MARRIS dalam ucapan perbahasan saya pada 7 November 2017.


Maka sekarang jelaslah bahawa bukan sahaja isu yang dibangkit oleh YB Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan tidak berasas, malahan beliau telah membazirkan masa dan sumber tenaga Dewan, pegawai-pegawai kerajaan malahan ruang dan usaha pengamal media untuk melaporkan sesuatu yang bukan menjadi isu pun.



Dalam surat berkenaan, semua ADUN telah dimaklumkan bahawa suatu akaun amanah telah ditubuhkan dalam Akaun Amanah Disatukan di bawah Subseksyen 10(1)(b) dan 4(b) Akta Tatacara Kewangan 1957 bagi Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri, seperti mana yang diarahkan oleh Perbendaharaan.

Pekeliling tersebut juga memaklumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pentadbiran Kumpulan Wang yang dipengerusi oleh YB Pegawai Kewangan Negeri dan dianggotai Timbangan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Pengarah JKR, Pengarah JPS, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Bendahari Negeri dan sebagainya.

Juga dilampirkan dalam surat tersebut termasuk Lampiran A yang memberi maksud “penyelenggaraan jalan” yang bukan sahaja dihadkan kepada penyelenggaraan jalan sahaja tetapi juga termasuk kerja-kerja kecemasan seperti pokok, bahu jalan, saliran, cerun dan kerja-kerja lain yang berikatan yang telahpun ditakrifkan dalam Lampiran A.

Maka adalah jelas bahawa tuduhan-tuduhan ADUN Batang Kali dalam DUN berkenaan dengan isu peruntukan MARRIS bukan sahaja tuduhan liar malahan bersangkaan dan niat jahat.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku
Post a Comment