Tuesday, December 27, 2005

Ahmad Shabery Cheek wajar meminta maaf.

Saya membaca kenyataan Ketua Penerangan UMNO Terengganu Ahmad Shabery Cheek yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada 25hb Disember 2005 yang bertajuk “Gambar bogel: Teresa wajar bayar ganti rugi aib” dengan perasan kesal dan kecewa kerana Ahmad Shabery terus memutar-belit peristiwa sebenar.

Dalam kenyataannya, Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa Teresa bukan saja perlu memohon maaf tetapi wajar membayar ganti rugi atas aib yang diterima oleh wanita Melayu itu dan keluarganya.

Kenyataan Ahmad Shabery Cheek ini jelas menunjukkan bahawa sehingga sekarang Ahmad Shabery Cheek masih belum dapat membezakan apa itu benar dan silap.

Sebelum ini, Ahmad Shabery Cheek pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Teresa dan Lim Kit Siang yang mendedahkan peristiwa ini di Parlimen bermaksud untuk menjatuhkan maruah polis dan mereka patut dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat kerana tindakan mereka ini telah memesong Dewan apabila wanita dalam klip itu terbukti ialah seorang wanita Melayu dan bukannya seorang wanita China.

Teresa Kok telah menyanggah tuduhan liar ini kerana beliau tidak pernah mengatakan bahawa mangsa video klip itu ialah seorang wanita China atau Melayu.

Polis yang perlu minta maaf, bukan Teresa.

Apa yang memang jelas kepada kita ialah anggota-anggota polis menyalahgunakan kuasa dalam perkara ini secara khususnya dan PDRM secara amnya yang perlu memohon maaf kepada wanita berkenaan (sekiranya kedua-dua pihak ini didapati bersalah oleh Suruhanjaya Siasatan Bebas) berasaskan dua sebab seperti di bawah:

Pertama, polis gagal dalam memastikan prosedur semak badan dipatuhi dengan ketat. Beberapa orang anggota kanan PDRM, sama ada OCPD Petaling Jaya Penolong Komander Mohd Hazam Abdul Halim atau Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Musa Hassan mengatakan bahawa ketuk ketampi hanya dihadkan kepada mereka yang disyaki melakukan jenayah dan kesalahan yang melibatkan dadah sahaja.

Manakala pada masa yang sama, Lans Korporal Wan Zawati alias Zalina Wan Ismail, iaitu anggota polis wanita dalam video klip berkenaan memberitahu Suruhanjaya Siasatan Bebas yang diketuai oleh Tun Dzaiddin bahawa beliau mengarahkan semua tahanan lokap untuk berketuk-ketampi kerana tindakan disiplin akan diambil terhadapnya jika mana-mana tahanan lokap membawa barang larangan ke dalam lokap. Ini setidak-tidaknya menunjukkan ketidak-konsistenan polis dalam menjalankan tugas mereka.

Kedua, pasukan polis gagal menjaga disiplin dalam pasukan polis sehingga ada anggota polis yang boleh mengintai proses semak badan itu, malahan merakamkannya dan menyebarkannya yang mana ini merupakan punca pengaiban mangsa berkenaan.

Hujah Ahmad Shabery tidak bernas.

Oleh itu, hujah-hujah Ahmad Shabery Cheek selama ini adalah tidak bernas berlandaskan dua sebab berikut.

Pertama, Ahmad Shabery Cheek juba mendakwa bahawa Teresa Kok dan ketua Pembangkang Parlimen, Lim Kit Siang telah menjatuhkan maruah polis sedangkan mereka yang menjatuhkan maruah polis dan mengaibkan air muka negara ialah anggota-anggota polis yang tidak profesional. Demi menjaga maruah negara, rakyat dan kerajaan perlu mengetahui kesilapan anggota-anggota polis supaya langkah-langkah pembetulan dapat dilaksanakan dengan pengetahuan dan input daripada orang ramai.

Dalam pada itu, Ahli-ahli Parlimen yang merupakan wakil suara rakyat dalam Parlimen, badan legislatif yang terunggul di negara kita memainkan peranan terpenting dalam pada itu. Adalah tidak sesuai untuk mana-mana Ahli Parlimen untuk cuba menyapu segala masalah ini di bawah tikai.

Kedua, Ahmad Shebery Cheek bukan sahaja gagal mengambil tahu fakta-fakta yang diterangkan tadi, malahan terus meminta Teresa Kok untuk membayar ganti rugi terhadap aib besar yang ditanggung oleh mangsa itu, sedangkan mereka yang merakam dan menyebarkan klip video ini ialah anggota-anggota polis yang jelas telah melanggari peraturan PDRM. Kenyataan Ahmad Shabery ini tidak selari dengan peranannya sebagai wakil rakyat yang mana kenyataan-kenayataan mesti berpandukan fakta yang betul.

Dengan kenyataan-kenyataan beliau yang memesongkan selama ini, Ahmad Shabery Cheek wajar meminta maaf kepada Teresa Kok dan Lim Kit Siang kerana tuduhan-tuduhan liar yang beliau lemparkan terhadap mereka.

No comments: