Monday, December 22, 2008

Dua minggu hantar pelan pembinaan menara

PETALING JAYA: Syarikat pemilik menara pemancar telekomunikasi di Jalan SS 3/49, Taman Subang, Kelana Jaya di sini diberikan tempoh dua minggu untuk menghantar pelan pembinaan menara baru kepada Konsortium Jaringan Selangor (KJS) sebelum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk kelulusan permit.

Lokasi menara baru juga ditetapkan mesti mempunyai ketinggian dan berkedudukan 30 meter dari kediaman penduduk selain perlu disiapkan Mac tahun depan.

Keputusan muktamad itu diputuskan dalam mesyuarat sejam setengah antara MBPJ, KJS, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), syarikat telekomunikasi terbabit dan wakil penduduk di sini, semalam.

Ahli Majlis MBPJ, Lau Weng San, yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata kelewatan proses pengalihan menara terbabit sebelum ini disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Sebelum ini ada satu lagi syarikat memohon untuk meletakkan pemancar pada menara baru dan terdapat kekeliruan apabila mereka menghantar pembinaan menara berketinggian 45 meter yang melebihi garis panduan ditetapkan,” katanya.

No comments: