Saturday, October 19, 2013

Ketengahkan Semangat “Middle Malaysia” untuk menangkis percubaan keji memecah-belahkan rakyat Malaysia

Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan pada 14 Oktober 2013 yang lalu bahawa suratkhabar The Herald terbitan gereja Katolik tidak boleh menggunakan perkataan “Allah” untuk menyifat tuhan agama Kristian dalam penerbitan Bahasa Malaysianya.

Keputusan ini dikritik pelbagai pihak khususnya komuniti Kristian di Malaysia. Difahamkan lebih dua pertiga daripada masyarakat Kristian di Malaysia ialah kaum Bumiputera bukan Muslim/Melayu di negeri Sabah dan Sarawak yang menjalankan ibadat mereka dalam Bahasa Malaysia.

Dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu PRU, kedua-dua negeri ini menyumbang 47 kerusi parlimen (22 kerusi di Sabah dan 25 kerusi di Sarawak) kepada Barisan Nasional, iaitu lebih 35% kerusi parlimen daripada jumlah kerusi yang dimenangi BN (BN menang 133 kerusi). Manakala Pakatan Rakyat hanya menang Sembilan kerusi sahaja, iaitu enam kerusi di Sarawak dan tiga di Sabah.

Situasi ini mencerminkan kebergantungan BN yang begitu besar terhadap sokongan kaum Bumiputera bukan Muslim/Melayu di Sabah dan Sarawak. Dalam perkembangan terbaru, kerajaan persekutuan BN nampaknya cuba meredakan kemarahan mereka dengan mengatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tidak menjejaskan penggunaan perkataan “Allah” di Sabah dan Sarawak kerana “larangan hanya dihadkan suratkhabar The Herald dan tidak termasuk terbitan-terbitan yang lain termasuk Al-Kitab Kristian”.

Dalam perkataan ringkas, kerajaan BN membenarkan penggunaan perkataan “Allah” dalam ibadat Bumiputera bukan Muslim/Melayu dalam Bahasa Malaysia tetapi melarang sama sekali penggunaannya di Semenanjung Malaysia.

Para kritis mengatakan ini sebagai dasar “one country two systems” yang telah memecah-belah rakyat Malaysia. Masalahnya ialah, bagaimanakah kaum Bumiputera bukan Muslim/Melayu yang ingin beribadat dalam Bahasa Malaysia dapat beribadat sekiranya mereka berada di Semenanjung Malaysia?

Seterusnya, bagaimanakah rakyat Indonesia yang beragama Kristian dapat menjalankan ibadat mereka di gereja-gereja di Semenanjung Malaysia dalam Bahasa Indonesia/Malaysia jikalau mereka dilarang berbuat demikian? Bukankah ini telah mencaburi hak asasi sejagat mereka?

Biarpun orang luar melihat ini sebagai satu kebuntuan pemikiran parti UMNO dan pengikut-pengikut fanatiknya, tetapi mereka dalam UMNO tidak menganggap ini sebagai satu masalah. Malahan, mereka memang menyukai keadaan ini.

UMNO sudah pasti akan gembira kerana Perkasa masih terus wujud untuk mewarisi dan memperjuangkan “agenda perkauman” UMNO. Berbeza dengan zaman-zaman dahulu, orang-orang UMNO tidak begitu perlu mengotorkan tangan mereka untuk menghasut kaum Melayu/Muslim. Mereka pun tidak perlu menghunus keris lagi di hadapan orang Melayu/Muslim untuk meraih sokongan. Kalau perlu, mereka hanya perlu melakukannya semasa musim pemilihan parti.

Apa yang mereka perlu melakukan ialah memastikan NGO-NGO fanatik seperti Perkasa terus wujud dan berkembang kuat. Ini sebabnya mengapa Perkasa masih wujud dan aktif sehingga kini walaupun rakyat jelas menolak politik sempit mereka melalui peti undi dalam PRU13 yang lepas apabila pemimpin-pemimpin utamanya seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin kalah teruk dalam PRU13.

Apa yang kita boleh lakukan selepas ini? Bermigrasi ke negara asing? Tidak sama sekali. Migrasi atau berpindah ke negara asing tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi negara kita. Malahan ianya dilihat sebagai perbuatan pengecut. Lebih gembira lagi Perkasa ini sekiranya ini berlaku.

Kita harus kekal berada di bumi Malaysia yang tercinta ini dan menegakkan prinsip kebenaran, keadilan sejagat dan kesaksama social dengan hati yang lebih tabah berbanding dahulu. Rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum etnik dan latar belakang politik harus mengembleng tenaga untuk mengukuhkan perpaduan kaum berlandaskan semangat “Middle Malaysia” atau semangat pertengahan dan keserdehanaan.

Dialog antara pemimpin agama harus dijalankan bukan seperti biasa, malahan perlu dijalankan dengan lebih rancak untuk merapatkan jurang perbezaan antara agama-agama yang berlainan. Memang ada program-program komuniti yang boleh dijalankan bersama-sama dan jika ini boleh berlaku, mengapakah kita tidak memulakannya? Alangkah indahnya jikalau kita dapat menjumpai persamaan yang lebih besar antara agama-agama kita.

Kerjasama dan hubungan ini tidak boleh dibina di peringkat pemimpin sahaja tetapi juga perlu dibina di peringkat akar umbi. Kita tidak boleh menunggu kerajaan, pemimpin-pemimpin politik, ketua-ketua komuniti untuk melakukannya kerana kitalah yang perlu memulakannya. Demikianlah makna ayat ini “we have to be the change we want to see”.

Semangat “Middle Malaysia” inilah yang perlu diketengahkan dengan lebih giat lagi untuk menghadapi percubaan keji memecah-belahkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Lau Weng San
Post a Comment