Friday, April 11, 2014

Perpaduan Kaum Dan Keharmonian Agama Tanggungjawab Bersama Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional

Kenyataan media ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 10 April di DUN Selangor, Shah Alam:

Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor masuk ke hari yang ketiga hari ini di mana isu-isu perpaduan kaum dan keharmonian agama telah dibangkitkan di Dewan pada hari ini.

Saya tertarik dan terharu dengan perbahasan ADUN Taman Templer daripada PAS, YB Zaidy bin Abdul Talib dan ADUN Hulu Kelang, YB Saari Sungib semalam, yang menyeru kerajaan untuk mengkaji semula peraturan dan undang-undang yang digubal semasa zaman Barisan Nasional (BN) dan tidak sesuai lagi untuk memelihara perpaduan kaum dan keharmonian agama.

Perkara yang sama juga dihujahkan oleh ADUN PAS bagi kawasan Bangi, YB Shafie Ngah dalam perbahasannya dua hari yang lalu. Malahan dalam perbahasan hari ini oleh ADUN PAS bagi kawasan Seri Serdang, YB Noor Hanim binti Ismail, beliau meminta JAIS untuk memulangkan kesemua Alkitab kepada Bible Society Malaysia (BSM) sekiranya tiada kes pendakwaan terhadap sesiapa pun.

Saya menyokong baik usaha-usaha murni daripada rakan-rakan seperjuangan di PAS Selangor dan saya semalam mencabar UMNO Selangor untuk melakukan yang sama sekiranya mereka ingin membantu memelihara keharmonian kaum dan agama di negeri Selangor tercinta ini.

Saya juga menyeru UMNO Selangor untuk bersama-sama kita untuk berbincang bagaiaman untuk menyelesaikan masalah ini. Saya percaya usaha ini perlu dijalankan dengan hati yang ikhlas tanpa sebarang agenda politik kerana keharmonian kaum dan agama mengatasi kepentingan mana-mana parti politik. Sememangnya perpaduan kaum dan keharmonian agama merupakan tanggungjawab bersama Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Lau Weng San

Post a Comment