Thursday, April 17, 2014

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membawa Usul No. 6 Tahun 2014 di bawah Peraturan Tetap 26(2) di Dewan Negeri Selangor pada 16 April 2014 yang berbunyi seperti berikut:


“Bahawa Dewan Yang Mulia ini menetapkan supaya Kerajaan Selangor tidak memberi kelulusan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina Langat 2 selagi pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air swasta tidak dimuktamadkan dari segi kos, khususnya komitmen tanggungan yang akan dikenakan kepada kerajaan dan rakyat Selangor”

1. Tujuan saya membawa usul ini ke Dewan Yang Mulia ini adalah untuk menunjukkan keprihatinan Dewan Yang Mulia terhadap isu yang penting ini, di mana isu ini telah mendapat liputan yang luas dan menimbulkan banyak khabar angin dan spekulasi.

2. Justeru itu, sememangnya pihak Eksekutif mempunyai kewajiban kepada Dewan Yang Mulia ini untuk bukan sahaja memberi penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan tetapi memaklumkan kepada Dewan Yang Mulia ini, apakah strategi keseluruhan yang akan digunapakai oleh kerajaan untuk memastikan kepentingan rakyat Selangor terjamin dalam seluruh exercise ini?

3. Dalam satu rencana bertajuk “Putrajaya to control S'gor water assets with WSIA” yang diterbit KiniBiz.com dua hari yang lain1, dilaporkan bahawa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, YB Datuk Seri Maximus Ongkili mengatakan bahawa pengurusan dan pengeluaran air di Selangor akan dikuasai oleh Kerajaan Persekutuan selepas Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air diguna.

4. Beliau juga berkata dan saya memetik daripada rencana tersebut yang berbunyi: “Selangor state will participate in the water committee but I will be in control and set the KPIs. We will monitor the finances of the concessionaires but the companies will still be running their business as usual until they can agree on takeover price with state.

According to the minister, the federal government will be in control until the Selangor state government can reach an agreement with the concessionaires on the buyout impasse or upon the first trickle of water supply from Langat 2 plant, which can be as soon as three months or up to another three years.”

5. Kenyataan Menteri ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan orang ramai sama ada ada tersembunyi atau tidak tangan di sebalik batu di pihak Kerajaan Persekutuan yang tidak diketahui dalam seluruh urusan pengstrukturan semula industri air ini.

6. Dalam keadaan yang tidak tertentu, Kerajaan Selangor harus lebih konservatif dan berhati-hati. Kerajaan Selangor mesti menggunakan kelulusan untuk membina loji rawatan air Langat 2 sebagai syarat dalam rundingan tawar-menawar agar rakyat Selangor mendapat yang terbaik dalam urusan ini.

7. Adakah ia tujuan kerajaan Selangor menguasai keempat-empat syarikat konsesi air ini dan sekaligus kembali menguasai industri air di Selangor? Sekiranya ya, untuk makluman umum, bagaimanakah ini boleh dilaksanakan melalui Seksyen 114 WSIA?

8. Untuk Kerajaan Persekutuaan mengguna Seksyen 114 WSIA, kerajaan Selangor perlu menandatangani Perjanjian Awal atau Heads of Agreement (HoA). Apakah itu HoA dan fungsinya? Adakah ianya mengikat (binding) dari segi undang-undang sebelum Perjanjian Utama ditandatangani? Bilakah HoA akan ditandatangani? Adakah kerajaan menerima nasihat undang-undang daripada Kamar Penasihat Undang-undang atau nasihat guaman dari luar? Apa akan berlaku selepas HoA ditandatangani?

9. Difahamkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada tahun 2010. Apakah kelulusan yang lain yang diperlukan dan belum diberi kepada projek pembinaan Langat 2?

10. Adakah projek pembinaan Langat 2 ini melibatkan pengambilan tanah-tanah kerajaan? Sekiranya, berapa banyak dan keluasan tanah yang terlibat dan adakah proses pengambilan tanah telah bermula atau tidak?

11. Walaupun Langat 2 ialah sebuah projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi saya ingin bertanya kepada Menteri Besar sama ada mungkin berlaku keadaan di mana rakyat terpaksa menanggung tarif air yang mahal daripada Langat 2? Jika tidak, kepada siapakah air daripada Langat 2 ini hendak dijual kepada?

12. Semua soalan dan hujah yang dikemukakan ialah soalan-soalan yang benar. Sambil saya mencadang usul ini, saya turut memohon jawapan dan penjelasan diberi terhadap isu-isu yang dibangkitkan, kelulusan untuk membina Langat 2 harus diteliti dan ditangguhkan sekiranya perlu selagi pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air swasta tidak dimuktamadkan. Sekian, Kampung Tunku mohon mencadang.

YB Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

Post a Comment