Wednesday, April 09, 2014

Ucapan Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 8 April 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam

1. Salam Sejahtera dan Salam Ubah diucapkan kepada semua ahli Yang Berhormat. Terima kasih kepada Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Kampung Tunku untuk turut bersama menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor.
“Menanti cinta di dalam jaga
Tirai sendu pilu sekali
Kelopak mata berkaca juga
Rindu menanti MH370 kembali
Norlizah Mohd Yassin
Gombak Selangor”
2. Kampung Tunku ingin memulakan ucapan saya dengan memberi penghargaan kepada bantuan dan pertolongan daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang sudah kehilangan lebih daripada sebulan. Doa dan harapan saya ialah mudah-mudahan pesawat ini dapat ditemui dan segala misteri akhirnya dapat dijawab.

3. Kampung Tunku amat terharu dan tersentuh dengan titah ucapan Tuanku Sultan Selangor kelmarin, yang menyebut beberapa perkara pokok yang harus diberi perhatian dalam sidang Dewan kali ini.

4. Apakah perkara yang terpenting dalam titah Tuanku semalam? Pada pendapat saya, bahagian yang terpenting telah dititah oleh Baginda dalam permulaan titah ucapan Baginda semalam yang berbunyi:

“Beta berharap semua wakil-wakil rakyat Negeri Selangor dapat hadir pada setiap sesi sidang dan bangun berhujah dengan memberi cadangan dan pendapat yang bernas demi kebaikan rakyat Beta di setiap kampung, mukim, daerah dan di seluruh Negeri Selangor Daruh Ehsan yang kita kasihi.”

5. Dalam pengakhir titah ucapan baginda, Tuanku juga menyebut sekali lagi:

“Beta berharap Dewan Negeri Selangor ini akan berfungsi dengan baik dan sempurna. Semua Ahli Dewan Negeri hendaklah memastikan perjalanan mesyuarat berjalan dengan teraturm mengikuti peraturan semasa perbincangan, dan berhemah serta mempunyai tatasusila yang baik sebagai Wakil Rakyat.

Wakil-wakil rakyat janganlah bercanggah dan berbalah mengenai perkara yang tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah menjalankan tugas-tugas mereka untuk kebaikan serta kesejahteraa rakyat dan Negeri Selangor.

Pada hemat Beta adalah tidak wajar sekiranya terdapat mana-mana Wakil Rakyat ataupun kakitangan awam, yang cuba merosakkan perjalanan pentadbiran Kerajaan Selangor yang berusaha gigih membantu meringankan kos sara hidup rakyat pelbagai lapisan menerusi pelbagai program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.”

6. Dengan rendah dirinya, Kampung Tunku mengajak rakan-rakan seperjuangan di Dewan Yang Mulia ini, khususnya rakan-rakan dari pihak pembangkang untuk bukan sahaja bersama-sama menghayati nasihat daripada Tuanku ini tetapi juga betul-betul mencurahkan bakti dan tenaga dalam memainkan peranan mereka sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor.

Memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam

7. Titah ucapan Tuanku semalam telah menyebut tentang pemulihan prestasi ekonomi beberapa buat negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan rantau kesatuan Eropah yang memperlihatkan tanda-tanda pemulihan pada tahun ini.

8. Berita ini sememangnya sesuatu yang amat memberangsangkan kita semua. Sudah pasti KDNK Selangor yang kebanyakannya didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan akan mendapat manfaat yang besar daripada perkembangan positif ini.

9. Ekonomi negeri Selangor masih amat bergantung kepada pelaburan, baik pelaburan asing ataupun pelaburan domestik. Untuk membantu dan mempermudahkan urusan perniagaan dan pelaburan di Selangor, saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran kedua di semua, PBT, agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan secara beransur-ansur supaya pihak swasta dan pelabur asing selesa dengan iklim pelaburan di Malaysia.

10. Dasar ini sebenarnya masih terpakai di Malaysia walaupun penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran telahpun berhenti sepuluh tahun selepas Merdeka. Contohnya ialah dalam penyediaan Rang Undang-undang dan statut-statut dalam Bahasa Inggeris masih dilakukan untuk kemudahan rujukan.

11. Tuanku juga menyaran kita semua, baik kakitangan kerajaan ataupun pekerja-pekerja di sektor swasta, agar tidak leka dan sambil lewa. Dalam perkataan yang lain, kita harus mengikis mentaliti durian runtuh dan sentiasa bekerja keras untuk kemakmuran negeri Selangor.

12. Selain itu, kerajaan harus berikhtiar untuk memperhebatkan sambungan internet di Selangor. Program WiFi Selangorku perlu diperkukuhkan kerana perkembangannya masih lembap. Dari segi perancangan bandar, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa mesti mengambil kira sambungan internet sebagai satu utiliti yang sama penting seperti bekalan air, elektrik, pembetungan dan sebagainya. Justeru itu, tanah-tanah rizab untuk tujuan komunikasi dan internet mesti disediakan. Sudah sampai masanya untuk anak syarikat kerajaan negeri, iaitu Kumpulan Jaringan Selangor (KJS) memainkan peranaan yang proaktif.

13. Kampung Tunku meminta kerajaan memberi perhatian khusus untuk memperbaiki sistem penyampaian kakitangan kerajaan negeri baik di peringkat SUK, mahupun di peringkat PBT dan Pejabat Tanah khususnya. Walaupun kerajaan telah melaksanakan banyak program kebajikan atas nama Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), tetapi apa yang rakyat lebih menghargai ialah pentadbiran yang telus, bersih, beramanah dan cekap.

14. Seringkali kita mendengar teguran daripada rakyat bahawa tiada gunanya kerajaan mengumpulkan dana yang banyak tetapi tidak dibelanjakan ke atas rakyat. Yang lebih penting ialah, kita bukan sehaja perlu menunjukkan bahawa kita berusaha tetapi usaha kita itu haruslah dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat sendiri.

15. Dengan adanya sokongan padu daripada Tuanku, pihak eksekutif tidak boleh member alasan lagi tetapi perlu mengambil langkah yang tegas dan berani untuk menggantikan mana-mana penjawat awam yang lemah dengan mereka yang lebih cekap.

16. Bukan begitu sahaja, kerajaan dengan berbekalkan majoriti yang kukuh di Dewan ini, juga harus menjalankan kajian dan pindaan terhadap mana-mana enakmen negeri dan bahagian Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor yang sudah ketinggalan zaman. Diharap Penasihat Undang-Undang yang baru boleh memberi nasihat yang bernas dalam perkara ini.

17. Kampung Tunku berasa besar hati kerana pihak eksekutif telah memulakan perubahan ke arah ini. Sidang Dewan kali ini akan membincangkan beberapa perbelanjaan tambahan berkaitan dengan pembinaan jambatan ketiga dan pembinaan rumah mampu milik.

18. Ini ditambah dengan berita baik semalam semasa apabila kerajaan Persekutuan akhirnya bersetuju untuk mengambil-alih keempat-empat buah syarikat konsesi air di Selangor di bawah Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air.

19. Walaupun begitu, pihak eksekutif tidak harus lupa untuk mengotakan kesemua janji dalam manifesto pilihanraya umum yang lepas. Antaranya:

• Biasiswa Menteri Besar kepada pelajar-pelajar cemerlang,
• Bantuan kewangan kepada SMJK dan sekolah-sekolah kebangsaan yang memerlukan,
• Pembinaan lebih banyak lorong-lorong basikal di taman-taman perumahan,
• Mewujudkan lebih banyak tadika dan taska di premis kerajaan negeri,
• Pembinaan ketiga-tiga pusat kebudayaan di Klang, mewujudkan dan
• Mempermudahkan pembinaan tanah-tanah perkuburan dan sebagainya.

20. Saya menggesa agar kerajaan tidak lupa untuk memberi maklumat terkini terhadap perkara-perkara yang disebut di atas semasa penggulungan nanti.

Peluang menerima pendidikan vokasional

21. Dalam beberapa sidang Dewan yang lepas, Kampung Tunku pernah berhujah bahawa kerajaan tidak boleh hanya terus memberi bantuan kewangan kepada rakyat dalam apa jua bentuk sekiranya kerajaan tidak mampu memperbanyakkan dan mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan.

22. Oleh itu, tertimbulnya cadangan bahawa pendidikan merupakan aset dan pelaburan yang penting untuk membangunkan Selangor dalam jangka waktu panjang.

23. Walaupun begitu, saya tidak bercadang untuk memperbanyakkan bantuan kewangan kepada sekolah selain daripada apa yang dijanjikan dalam manifesto, tetapi kerajaan harus menggalakkan pertumbuhan sektor pendidikan vokasional dan teknikal untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada para pemuda-pemudi di Selangor.

24. Sudah sampai waktunya untuk INPENS memanjangkan sayapnya ke tempat-tempat yang lain di Selangor sama ada melalui usaha sendiri ataupun usaha sama dengan pihak swasta. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk menjadikan pendidikan vokasional lebih reachable kepada pemuda-pemudi.

Dasar kerajaan negeri membantu rakyat menghadapi beban ekonomi

25. Semalam Rang Undang-undang Cukai Barangan dan perkhidmatan atau GST telah diluluskan di Dewan Rakyat. Pelaksanaan GST akan menyebabkan rakyat berpendapatan rendah bakal menanggung beban ekonomi yang lebih berat dalam masa setahun dua yang akan datang.

26. Justeru itu, saya menyarankan kerajaan untuk berhati-hati dalam memberi kelulusan kepada mana-mana projek penswastaan Kerajaan Persekutuan yang mungkin akan membebankan rakyat di Selangor, khususnya pembinaan lebuhraya-lebuhraya bertol.

27. Dalam sidang Dewan yang lepas, Kampung Tunku telah membawa satu usul yang telahpun diluluskan Dewan ini dan berbunyi seperti berikut:

Meminta Kerajaan Selangor supaya sentiasa memberi maklumat terkini tentang semua projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan dengan sepenuhnya kepada rakyat dan Dewan Yang Mulia ini.”

28. Tidak lama selepas itu, rakyat Selangor dikejutkan dengan cadangan kerajaan Persekutuan untuk membina beberapa lagi lebuhraya bertol di Lembah Klang. Antaranya ialah pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR).

29. Untuk KLORR, difahamkan bahawa beberapa hutan simpanan perlu diambil dan ianya termasuk Taman Warisan Selangor yang telah diwartakan sebagai hutan simpanan sebelum ini.

30. Kampung Tunku di sini ingin melafazkan kebimbangan saya dan golongan NGO alam sekitar terhadap KLORR ini sekiranya ianya melibatkan kawasan tadahan air. Kebimbangan ini bukannya tidak berasas apabila negeri Selangor sekarang menghadapi masalah paras air yang rendah kawasan empangan. 31. Rakyat di Petaling Jaya dan Puchong juga amat prihatin dengan cadangan membina sebuah lagi lebuhraya yang telah diberi kepada sebuah syarikat kroni UMNO, iaitu Lebuhraya KIDEX. Sehingga sekarang, PBT dan rakyat masih belum menerima apa-apa maklumat selanjutnya tentang cadangan ini. Pihak KIDEX telah dilaporkan oleh media bahawa semua dokumen yang berkaitan telah diserah kepada pihak kerajaan persekutuan dan negeri.

32. Sekiranya apa yang dinyatakan oleh syarikat KIDEX ini adalah benar, maka saya meminta kerajaan negeri atas dasar ketelusan dan keterbukaan mengumumkan maklumat-maklumat tersebut kepada orang ramai.

33. Beberapa hari yang lalu, Kampung Tunku bersama-sama dengan Damansara Utama, Bukit Gasing dan Kinrara telah mengemukakan cadangan alternatif kepada kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan kemungkin untuk mengoptimumkan kegunaan pengangkutan awam di Lembah Klang dengan membina sebuah trek pengangkutan awam di sepanjang koridor KIDEX daripada membina lebuhraya yang tidak semestinya menguntungkan.

34. Kami amat berharap baik kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan boleh memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap cadangan ini. Kesilapan kerajaan dalam pembinaan LDP pada akhir 1990-an yang tidak mengintegrasikan pembinaan LRT yang dijalankan serentak pada masa itu masih dirasai oleh penduduk-penduduk Petaling Jaya sehingga sekarang.

Memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Selangor

35. Akhir sekali, Kampung Tunku melafazkan kekecewaan terhadap sekelompok kumpulan-kumpulan perkauman yang cuba mengungkit-ungkitkan sentimen perkauman dan keagamaan yang sempit di kalangan rakyat Selangor yang berbilang kaum dan agama ini.

36. Kepelbagaian kaum dan agama ialah satu kelebihan di Selangor dan Malaysia di mana ianya telah menjadi warisan kita semua sehingga dunia kagum terhadap Selangor dan Malaysia kerana mampu mengekalkan kepelbagaian ini dalam suasana yang harmon dan aman.

37. Sebenarnya, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum yang lain tidak perlu dipertikaikan dan menjadi isu kerana kedua-duanya adalah terpelihara mengikut Perkara 91(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor tahun 1959 dan saya memetik:
“Adalah menjadi tanggungjawab Duli Yang Maha Mulia untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan-peruntukan Perkara ini.”
38. Begitu jelas dan terang maksud Perkara ini di mana hanya mereka yang yang jahiliyah sahaja yang tidak ingin memahami maksudnya. Kalau tidak faham lagi, maka saya memetik ayat-ayat Sasterawan Negara Usman Awang seperti di bawah:
“Antara kita orang Melayu bukanlah musuh orang Tionghua, bukan juga musuh orang India. Musuh kita ialah orang atau pihak yang menindas kita, musuh kita ialah orang atau pihak yang memeras kita, musuh kita ialah orang atau pihak yang kejam dan menggunakan kuasa melakukan ketidakadilan terhadap kita semua. Inilah musuh kita — musuh kita bersama.”
39. Demikianlah ucapan Kampung Tunku ini. Marilah rakan-rakan saya yang bijaksana untuk sama-sama menghayati tulisan-tulisan yang tersohor ini. Maka Kampung Tunku mohon menyokong usul ini. Sekian, terima kasih.

Lau Weng San
Ahli Dewan Negeri Selangor bagi Kampung Tunku
Post a Comment