Wednesday, May 24, 2017

Cabaran Rizal Mansor kepada saya disahut dan saya mencabar beliau untuk melakukan yang sama, iaitu memberi butiran terperinci lawatan isteri Perdana Menteri ke London antara 4hb hingga 7hb Mei

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 24 Mei 2017 di Petaling Jaya:

Saya merujuk kepada maklum balas yang diberi oleh pembantu kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor yang diterbitkan pada 11 Mei berhubungan dengan kenyataan saya meminta Pejabat Perdana Menteri untuk memberi butiran terperinci terhadap lawatan Datin Seri Rosmah Mansor ke London antara 4 hingga 7 Mei 2017.

Saya ingin memetik laporan yang diterbitkan oleh Malaysiakini.com yang berbunyi seperti berikut:
Sementara itu, menjawab persoalan Lau, pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor hari ini secara sinis berkata, selaku ADUN, Lau sepatutnya bertanggungjawab berhubung hal ehwal negeri dan bukan berkaitan Pusat.
"Anda seorang ADUN dan tanggungjawab anda adalah berkenaan hal ehwal negeri. Soalan-soalan yang anda tanya itu adalah berkaitan dengan Pusat dan boleh ditanya oleh anggota parlimen di Dewan Rakyat.
"Belajarlah mengenali tugas masing-masing, bukannya main sondol," kata Rizal kepada Malaysiakini.
Justeru, Rizal kemudian melontarkan kembali pertanyaan kepada Lau berhubung lawatan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali ke luar negara seperti Taiwan dan Timur Tengah.
"Bagaimana pula lawatan (menteri besar) MB Selangor ke Taiwan dan Timur Tengah? Adakah mendapat liputan media antarabangsa?" soal Rizal.
Pertama sekali, saya tidak menganggap kedudukan saya sebagai ADUN satu kedudukan yang kerdil sehingga saya tidak berhak untuk bertanya tentang perbelanjaan isteri Perdana Menteri ke London pada tarikh-tarikh tersebut. Sebab-sebab saya menguja soalan ini kepada Pejabat Perdana Menteri telah diperjelaskan dalam kenyataan saya yang pertama.

Kedua, saya telah ditanya tentang lawatan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amin Ali ke Republik China dan Timur Tengah. Pastinya saya akan bertanyakan soalan ini dalam sidang DUN yang akan datang.

Apa yang pasti, saya boleh membekalkan satu salinan jawapan bertulis yang dibekalkan kepada saya pada sidang Dewan pertama tahun 2015 berkenaan dengan kos lawatan dan ekspedisi yang melibatkan portfolio pelaburan di bawah InvestSelangor bermula tahun 2004 hingga 2014, iaitu empat tahun pertama di bawah pentadbiran BN dan enam tahun kemudian di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR). Saya mencabar Rizal Mansor serta mana-mana wakil daripada Pejabat Perdana Menteri untuk melakukan perkara yang sama.


Rizal cuba membuat perbandingan antara lawatan MB Selangor ke Republik China dan Timur Tengah yang berlangsung pada penghujung bulan April dan awal bulan Mei dengan lawatan Rosmah Mansor ke London bermula 4hb hingga 10hb Mei. 

Biarpun begitu, orang ramai sekurang-kurangnya boleh mengikuti perkembangan semasa lawatan MB Selangor sepanjang lawatan beliau melalui fanpage Facebook beliau. Untuk Rosmah Mansor pula, tiada apa-apa gambar atau laporan media terhadap lawatan beliau khususnya bermula 4hb hingga 7hb Mei dan gambar-gambar aktiviti hanya dimuat-atas fanpage kedua-dua orang Menteri yang mengiringi beliau bermula 8hb Mei. Ini sekaligus menimbulkan persoalan apakah berlaku kepada Rosmah Mansor antara 4hb hingga 7hb Mei?

Maka saya menyeru pembantu Rosmah Mansor, iaitu Rizal Mansor untuk memberi penjelasan terhadap persoalan ini dan jawapan yang paling bagus, tidak lain tidak bukan ialah untuk memberi butiran terperinci serta perbelanjaan lawatan isteri Perdana Menteri ke London itu antara 4hb hingga 7hb Mei.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: