Thursday, May 11, 2017

Pejabat Perdana Menteri mesti menjelaskan kos dan itineri perjalanan isteri Perdana Menteri ke London untuk seminggu yang lepas, khususnya antara 4hb hingga 7hb Mei

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 11 Mei 2017 di Petaling Jaya:


Saya memohon Pejabat Perdana Menteri, untuk memberi penjelasan terhadap kos dan itineri perjalanan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke London untuk seminggu yang lepas, khususnya antara 4hb hingga 7hb Mei kerana dua orang Menteri Kabinet yang sepatutnya mengiringi beliau dalam lawatan ke London ini iaitu Datuk Seri Azalina Othman dan Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Rohani Abdul Karim, TIDAK bersama dengan beliau dalam tempoh empat hari ini.

Selain itu, tujuan saya menimbulkan soalan ini adalah kerana, media Malaysia dan United Kingdom nampaknya kurang melaporkan aktiviti-aktiviti beliau selama seminggu di London. Maka ada keperluan untuk pihak Perdana Menteri untuk memberi penjelasan yang lebih lanjut terhadap kos perjalanan tersebut.


Carian di internet hanya melaporkan kenyataan Kementerian Luar Negara yang dikeluarkan sehari sebelum beliau bertolak ke London, bahawa beliau sebagai penaung program Permata akan melawat ke London bermula 4hb hingga 10hb Mei untuk mengembangkan program berkenaan.

Kenyataan tersebut menyenaraikan tiga program yang akan dihadiri beliau semasa lawatan selama sepuluh hari di London, yakni:
1. Upacara perasmian program Nobelist Mindset yang dianjurkan oleh Permata Pintar dengan Royal Society of London,
2. Majlis penandatanganan dua Surat Tujuan (Letter of Intent) di antara,
a. Permata Pintar dan Universiti Cambridge, serta; 
b. Permata Insan dengan Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.
3. Lawatan ke Mahkamah Pakar Keganasan Domestik dan perbincangan dengan Pasukan Kesalahan Jenayah Rogol dan Kesalahan Seksual Serious daripada Perkhidmatan Pendakwaan DiRaja.

Carian di Internet antara 4hb hingga 10hb Mei hanya memberi satu atau dua hasil carian daripada portal Bernama, sementara itu, carian di laman web The Royal Society of London serta carian di beberapa akhbar dan media UK tidak memberi apa-apa hasil carian.

Selain itu, apa yang dilaporkan oleh media dalam tempoh yang sama ialah tulisan Menteri Komunikasi Said Salleh Keruak di blognya yang mendakwa isteri Perdana Menteri diganggu Sarawak Report sepanjang lawatannya di London. 

Hari ini, terdapat laporan media tentang program yang ketiga tetapi laporan lebih menonjolkan lawatan kerja kedua-dua orang Menteri perihal jenayah seks kanak-kanak.





Kalau setakat itu sahaja yang boleh dilaporkan media dalam dan luar negara sepanjang lawatan seminggu itu, maka ianya adalah sangat sedikit. Seharusnya isteri Perdana Menteri perlu menghadiri sekurang-kurangnya satu program rasmi setiap hari dan semestinya perlu ada laporan atau liputan media hampir setiap hari daripada London berkenaan dengan lawaran tersebut. 

Meskipun tiada berita tentang lawatan isteri Perdana Menteri, sudah pastinya dua orang Menteri Kabinet yang mengiringi akan melaporkan kegiatan harian masing-masing dari London.

Maka saya telah membuat carian di laman Facebook untuk kedua-dua menteri berkenaan dan mendapati gambar aktiviti untuk ketiga-tiga program di atas hanya dimuatnaik dalam Facebook antara 7hb hingga 10hb Mei. 

Malahan melalui lama Facebook kedua-dua menteri, Datuk Seri Rohani Karim barangkali masih belum bertolak ke London sebelum 7hb Mei kerana masih ada program di Malaysia pada 6hb Mei. Bagi Datuk Seri Azalina Othman pula, beliau berada di India untuk lawatan tentang jenayah seks kanak-kanak sekitar 4hb hingga 6hb Mei.

Soalan keramat sekarang ialah, apakah program dan itineri perjalanan Datin Seri Rosmah Mansor antara 4hb Mei hingga 7hb Mei? Berapa banyak wang rakyat yang telah dibelanja untuk membiayai perjalaanan isteri Perdana Menteri, khususnya dalam tempoh empat hari pertama lawatannya beliau ke London?

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: