Thursday, May 04, 2017

Memohon Air Selangor memberi penjelasan terhadap insiden paip pecah yang berlaku seminggu yang lalu di Rawang

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 4 Mei 2017 di Petaling Jaya:

Saya memohon kepada pengurusan Air Selangor untuk menyiasat segera punca insiden paip pecah bersaiz 2050mm berdekatan ELC International School, Jln Sierramas Barat Sungai Buluh yang menyebabkan gangguan bekalan air sementara 318 kawasan di Wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam bermula 27 hingga 29 April 2017.

Hal ini sedemikian kerana sehingga sekarang orang ramai dan media masih belum dimakumkan tentang punca berlakunya insiden tersebut.

Harus diingatkan bahawa insiden yang berlaku pada minggu lepas, biarpun berlaku pada skala yang jauh lebih kecil berbanding dengan gangguan bekalan air yang berlaku pada akhir bulan Disember 2016, ialah gangguan yang berlaku ke atas sebuah paip yang berdiameter melebihi dua meter, iaitu paip yang cukup besar dengan ketebalan dinding paip yang cukup besar untuk menampung tekanan air yang tinggi.


Seperkara lagi ialah insiden ini berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda awal berbanding dengan insiden yang berlaku pada akhir bulan Disember 2016 di mana pada masa itu, gangguan bekalan memang dijangka berlaku apabila bekalan elektrik ke loji rawatan air terpaksa diputuskan untuk kerja-kerja elektrik oleh TNB.

Untuk insiden pada minggu lepas pula, seharusnya sudah ada perkakas-perkakas tertentu yang boleh diguna untuk mengesan sebarang tanda awal kebocoran untuk paip perkhidmatan yang begitu besar, melainkan paip itu pecah dan rosak akibat kemalangan atau tindakan sabotaj.

Sekiranya ianya disebabkan oleh kemalangan atau sabotaj, maka apakah Air Selangor belum mengambil ikhtibar daripada beberapa insiden yang berlaku sebelum ini sehingga Air Selangor masih belum mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya untuk mengelakkan masalah yang sama daripada berulang? Adakah Air Selangor menghadapi kekangan kewangan untuk pemasangan alat-alat penggera ini?

Saya mengambil maklum bahawa insiden ini berlaku semasa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berada di Taiwan dan Jordan sejak 26 April yang lalu untuk lawatan rasmi ke luar negara. Saya akan memaklumkan perkara ini kepada beliau apabila beliau pulang ke Selangor nanti supaya beliau boleh memberi perhatian peribadi terhadap perkara ini dan memberi arahan yang sewajarnya kepada Air Selangor untuk tindakan susulan.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku
Post a Comment