Laman-laman blog pro-UMNO sekali lagi cuba mengungkit-ungkitkan sentiment perkauman apabila mereka menulis tentang kemalangan yang melibatkan ADUN Sekinchan, YB Ng Suee Lim dengan seorang mahasiswa UiTM bernama Mohd Bakri, 20 tahun di Seksyen 7, Shah Alam pada 7 Februari 2010.
Semalam, Suee Lim telah melawat Mohd Bakri di Hospital Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) pagi semalam dan telah bertemu dengan bapanya, Encik Mohd Bazli dan dilaporkan bahawa keadaan Sdr Mohd Bakri telah semakin pulih tetapi masih perlu menerima rawatan di Hospital sebelum keadaannya kembali stabil.
Suee Lim juga telah membuat laporan polis dan tuduhan bahawa Suee Lim melarikan diri selepas terlanggar Sdr Mohd Bakri adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
Malahan semasa Suee Lim membuat laporan polis, polis telah merangkam keteranganya dan polis yang perlu menentukan sama ada beliau perlu manjalankan ujian nafas alcohol dan ujian-ujian yang lain mengikut pertimbangan polis.
Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa kemalangan-kemalangan yang melibatkan wakil-wakil rakyat bukanlah perkara yang baru, lebih-lebih lagi untuk wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat yang selalunya memandu sendiri dan jarang-jarang ada yang mengupah pemandu peribadi atas sebab kekurangan dana.
Saya sendiri yang memandu kereta Proton Wira 1.5 Manual juga pernah terlibat dalam dua kemalangan kecil yang melibatkan penunggang motosikal berketurunan Melayu. Yang pertama berlaku di Shah Alam apabila penunggang motosikal meluru keluar dari satu persimpangan jalan dengan lampu isyaratnya gagal berfungsi pada waktu kejadian.
Yang kedua di kawasan saya di mana penunggang motosikal di belakang kereta saya terjatuh apabila beliau menunggang terlalu dekat dengan kereta saya apabila saya memperlahankan kereta saya untuk membelok ke kanan. Tidak ada pelanggaran dalam insiden ini.
Saya telah membuat laporan polis untuk kedua-dua kes ini dan dalam kes yang pertama saya telah membayar penuh kos pembaikan motosikal penunggang Melayu yang berasal daripada Kampung Padang Jawa, Klang.
Apa yang mengesalkan, perkara seperti ini pun juga diguna oleh penulis-penulis blog pro-UMNO untuk memainkan sentiment-sentimen perkauman. Saya mengecam sepenuhnya tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.
No comments:
Post a Comment