Wednesday, November 02, 2005

Aduan terhadap MPPJ kerana gagal mempertahankan kepentingan para pembayar cukai.

Saya telah pergi ke Biro Pengaduan Awam pada pagi ini dan membuat satu laporan aduan denagn BPA berkenaan dengan kegagalan MPPJ untuk mempertahankan kepentingan para pembayar cukai MPPJ. Surat berkenaan adalah seperti di bawah:

=====================================================================

KETUA PENGARAH,
BIRO PENGADUAN AWAM,
JABATAN PERDANA MENTERI,
ARAS 6, BLOK B1,
PUSAT PENTADBIRAN
KERAJAAN PERSEUTUAN,
62502 PUTRAJAYA. 2hb NOVEMBER 2005

Tuan Pengarah,

ADUAN TERHADAP KEGAGALAN MPPJ UNTUK MENJAGA KEPENTINGAN PEMBAYAR-PEMBAYAR CUKAI.

Kami sebagai pembayar-pembayar cukai Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) ingin membuat aduan rasmi dengan Biro Pengaduan Awam terhadap MPPJ berkenaan dengan kegagalan MPPJ untuk memastikan pegawai-pegawai dan ahli-ahli majlisnya supaya mematuhi undang-undang yang diperuntukkan dalam merancang projek-projek pembangunan di sesuatu tempat

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari Isnin yang lepas memutuskan bahawa MPPJ perlu membayar pampasan kepada sekumpulan 86 penduduk dari Taman Desaria, Petaling Jaya akibat arahan daripada Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin apabila MPPJ mengeluarkan kebenaran pembangunan kepada Mentari Properties Sdn. Bhd untuk membina dua blok rumah pangsapuri kos rendah dan gerai-gerai di Taman Desaria, Petaling Jaya.

Antara keputusan-keputusan penting Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin ialah:

1, Keputusan MPPJ untuk memberi kebenaran pembangunan tanapa mengadakan perjumpaan bantahan (objection hearing) dengan penduduk setempat adalah tidak sah dan perjumpaan-perjumpaan seterusnya tidak boleh digunakan untuk mengesahkan kebenaran ini.
2, Perjumpaan bantahan (objection hearing) bukanlah satu formaliti semata-mata tetapi merupakan satu platform yang penting untuk penduduk-penduduk terjejas untuk menyuarakan pendapat-pendapat mereka.
3, Bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hanya merupakan satu jawatankuasa di bawah kerajaan negeri dan dengan itu tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang pengecualian di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa.
4, MPPJ adalah diarahkan untuk membayar kerugian dan kosnya perlu ditanggung bersamaoleh Mentari Properties Sdn Bhd, defendan yang kedua. Kerugian ini dinilai pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Kami yang juga merupakan pembayar-pembayar cukai kepada MPPJ amat prihatin terhadap kes ini dan kami berpendapat bahawa pampasan MPPJ itu tidak seharusnya datang daripada poket pembayar-pembayar cukai MPPJ, tetapi ianya mesti dibayar oleh mereka yang bertanggungjawab dalam meluluskan projek pembangunan ini.

Dalam satu kolum yang ditulis oleh R.Nadeswaran (The Sun, 25 Oktober 2005), telah dilaporkan bahawa mesyuarat untuk membuat keputusan bagi meluluskan kebenaran pembangunan ini dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MPPJ pada masa itu, Datuk Abdul Karim Munisar dan lima orang lagi ahli-ahli majlis iaitu Dr Wong Chee Yong, Yusoff Hanif, N. Krishnan, Nor Azman Mohd Nor dan Fauziah Mohd Shani. Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Pengawai Undang-undang MPPJ Abdul Mutalib Abdul Ali dan Pengarah Perancangan Bandar Sharpiah Marhaini Syed Ali.

Kami berpendapat bahawa pegawai-pegawai dan ahli-ahli majlis di atas yang perlu memikul tanggungjawab yang paling besar kerana kesilapan mereka telah menyebabkan MPPJ terpaksa membuat pampasan kepada penduduk-penduduk ini, yang mana pampasan yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam itu tidak seharusnya ditanggung oleh para pembayar cukai di Petaling Jaya sekiranya pihak MPPJ ingin menjelaskan bayaran pampasan itu dengan menggunakan duit pembayar-pembayar cukai dan bukannya duit daripada mereka yang melakukan kesilapan ini.

Kejadian ini juga merupakan satu lagi contoh di mana ahli-ahli majlis tempatan yang dilantik tidak kompeten dalam melaksanakan tugas mereka sebagai ahli majlis tempatan. Ini disebabkan mereka ini tidak memikul sebarang mandat daripada rakyat melalui pihanraya majlis kerajaan tempatan.

Berkenaan dengan kes ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapha Mohamed telah mencadangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada 26hb Oktober 2005 bahawa pembayar-pembayar cukai MPPJ boleh membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam dan beliau juga bersetuju akan melihat ke dalam perkara ini.

Dengan itu, kami berharap pihak Biro Pengaduan Awam dapat menjalankan siasatan terhadap perkara ini dan mengarahkan tindakan diambil terhadapmana-mana pegawai atau ahli-ahli majlis yang melakukan kesilapan ini.

Siasatan segera pihak tuan amat dinantikan dan dihargai. Sekian, terima kasih.

Lau Weng San
Pengerusi PJ Action Team, merangkap Setiausaha Publisiti DAP Selangor.

No comments: