Tuesday, November 22, 2005

Tsu Koon - tunjukkan keikhlasanmu!!

Koh Tsu Koon harus menunjukkan keikhlasannya kerana beliau perlu menyatakan dengan jelas kepada semua media dan bukannya secara selektif kepada media Bahasa Mandarin sahaja, bahawa beliau menyokong kajian semula dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Tsu Koon juga harus memperjelaskan kepada media bahawa pendirian beliau itu adalah berasaskan sudut pandangan dari segi pendidikan, dan bukannya berdasarkan mana-mana pertimbangan chavaunisme. Dengan itu, Tsu Koon perlulah memberanikan diri untuk menjelaskan kepada media dan bukan sebaliknya tunduk kepada sebarang tekannan, khususnya tekanan daripada bekas Perdana Menteri Tun Doktor Mahathir dan Timbalan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, sehingga beliau terpaksa melarikan diri daripada prinsip dan pendirinya ataupun mengelakkan daripada menyinggung perasaan pemimpim-pemimpim UMNO dengan hanya membuat kenyataan kepada media secara selektif.

DAP Selangor juga amat kecewa dengan pendirian keseluruhannya MCA, Gerakan dan SUPP dalam perkara ini. Perlu diingatkan bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris berkait rapat dengan kualiti pendidikan yang bakal diterima oleh generasi-generasi yang akan datang. Ianya tidak seharusnya diperbincangkan secara “tutup-pintu” atau secara dalaman, tetapi perlu dibawa untuk diperbincangkan secara terbuka dan rasional. Pemfokusan harus diberi kepada pelbagai kesan terhadap kepentingan orang ramai, masa depan dan daya saingan antarabangsa negara.

Perbincangan terbuka harus diadakan dengan semua rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, sama ada kaum, agama, pendidikan dan budaya dan bukannya secara tertutup seperti yang diperlihatkan dalam stail BN dan Pemuda BN.

Tindakan UMNO untuk menakut-nakutkan orang lain daripada membincangkan isu ini adalah amat tidak rasional dan tidak wajar kerana kita perlu berfikir secara rasional wajarkah dasar ini diteruskan dan apakah kesan-kesan negatifnya yang akan dibawamya terhadap taraf pendidikan negara kita.

Lau Weng San
22hb November 2005

No comments: