Saya mengucapkan ribuan terima kasih terhadap rakan-rakan yang bertanya khabar tentang apa yang berlaku kepada saya apabila saya ditahan dan ditumbuk oleh seorang anggota polis berpakaian biasa. Saya telah menerima pemeriksaan perubatan pada hari Isnin di mana doktor mengatakan bahawa saya mengalami kecederaan luar.
Saya masih tidak memahami mengapa polis begitu tergamak berlaku sedemikian apabila saya telah menerangkan identiti saya dan tujuan saya iaitu hanya untuk bertanya tentang keadaan mereka yang berada di dalam trak polis. Pada masa itu, perhimpunan telah kelihatan bersurai dan polis masih menangkap orang yang tidak bersalah. Secara teknikal, perhimpunan haram yang dimaksudkan itu sudah tidak wujud lagi.
Sama ada perhimpunan itu haram atau tidak, polis tidak boleh menyalahgunakan kuasa mereka dengan menumbuk orang yang tidak berdosa, inikan pula wakil rakyat yang sudah menerangkan identitinya kepada anggota-anggota polis yang berkhidmat. Bagi kes saya pula, ianya tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan itu kerana samasa saya ditahan, perhimpunan itu sudah bersurai dan saya hanya ingin bertanyakan situasi di dalam trak. Adakah tindakan saya ini menyalahi undang-undang?
Oleh itu, kenyataan dan tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar bahawa mereka hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang adalah langsung tidak berasas.
Saya ingin menggariskan beberapa perkara yang mana anggota-anggota polis yang bertugas pada kejadian itu melanggari peruntukan undang-undang.
Pertama, anggota polis berpakaian biasa yang menumbuk saya tidak memakai tag polis sebagaimana yang dikehendaki terhadap mereka semasa bertugas. Beliau juga tidak memaklumkan identitinya semasa menahan saya. Ini termasuk Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang bertugas pada malam tersebut yang berpakaian seluar panjang jeans dan baju kemeja berlengan pendek berwarna kelabu tanpa memakai sebarang tag pengenalan.
Kedua, pihak polis tidak mengeluarkan sebarang amaran sebelum menyuraikan dan menangkap orang ramai. Dalam mana-mana perhimpunan, apabila polis ingin menyuraikan mereka yang berhimpun secara “haram”, mereka akan pasti mengumumkan melalui pembesar suara: ”Tuan-tuan dan puan-puan diminta bersurai dalam masa xxx minit kerana ini adalah satu perhimpunan haram. Jika tidak pihak polis akan menyuraikan tuan-tuan dan puan-puan dengan menggunakan kekerasan.”
Ketiga, saya tidak diberitahu sebarang sebab-sebab saya ditahan oleh Polis. Saya hanya diberitahu semasa kami dilepaskan daripada trak polis dan berkumpul di hadapan dataran balai polis Petaling Jaya tetapi bukan semasa saya ditahan.
Apa sekalipun, tindakan polis yang tidak bertamadun dan tidak siuman ini adalah tidak diperlukan sama sekali. Saya berharap Ketua Polis Negara dan Selangor berhati-hati dengan hujah mereka sebelum membuat tuduhan bukan-bukan terhadap saya.
No comments:
Post a Comment