Monday, July 08, 2013

Kerajaan Selangor harus memelihara kepentingan rakyat dan PKNS dalam urusniaga Gapurna-MRCB

Ucapan Pencadang ADUN Kampung Tunku semasa mencadang usul di bawah Peraturan-peraturan Tetap 26(1) pada 8 Julai 2013 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

1. Tuan Speaker, saya selaku ADUN Kampung Tunku dengan ini ingin mencadangkan satu usul di bawah Peraturan-peraturan Tetap 26(1), di mana usul adalah seperti yang berikut:
“Bahawa Dewan Yang Mulia ini meminta kerajaan Selangor memastikan kepentingan anak syarikat kerajaan Selangor, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta rakyat Selangor sentiasa terpelihara dalam urusan pembelian aset Kumpulan Gapurna, khususnya dalam projek PJ Sentral Development Sdn. Bhd. di mana PKNS memegang tiga puluh peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat ini.”
2. Baru-baru ini, saya tergempar dengan cadangan Kumpulan Gapurna yang ingin menjual semua aset, anak syarikat dan kepentingan ekuitinya kepada Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB).

3. Malangnya, perkara ini tidak diberi perhatian khusus oleh media secara umum dan orang ramai. Seringkali ianya mungkin dilihat sebagai transaksi komersial yang biasa.

4. Sekiranya kita melihat kepada butiran-butirannya, kita akan mendapati ianya akan menjejaskan salah satu projek usahasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan Nusa Gapurna Sdn. Bhd. (NGSB), iaitu Projek PJ Sentral di Seksyen 52, Petaling Jaya.

5. Projek PJ Sentral ini penting bagi kerajaan negeri Selangor dan rakyat Petaling Jaya kerana kedudukannya yang strategik dan potensi pembangunan semula yang begitu luas.

6. Tanah seluas 12 ekar ini dahulunya menempatkan ibu pejabat PKNS dan merupakan tempat yang berpotensi tinggi. Nilai Pembangunan Kasar atau Gross Development Value (GDV) dijangka mencecah RM 3 bilion.

7. Projek ini telah diswastakan kepada NGSB semasa zaman Barisan Nasional (BN) dan diusahakan oleh syarikat PJ Sentral Development di mana 70% ekuitinya dimiliki NGSB manakala 30% ekuiti yang lain dimiliki PKNS.

8. Penjualan aset dan ekuiti Kumpulan Gapurna kepada MRCB akan menjejaskan kepentingan PKNS dalam projek PJ Sentral ini. Terdapat berita bahawa pihak MRCB bercadang untuk membeli kesemua 30% ekuiti yang dipegang oleh PKNS dalam projek pembangunan ini.

9. Sementara itu, PKNS dilaporkan telah membantah tindakan penjualan aset NGSB kepada MRCB. Dilaporkan bahawa PKNS yang memegang 30% ekuiti dalam PJ Sentral Development Sdn. Bhd. berpendapat kepentingannya tidak terpelihara dalam seluruh transaksi ini.

10. Malahan PKNS bercadang untuk membeli kepentingan 70% ekuiti NGSB dalam PJ Sentral Development Sdn. Bhd. Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha PKNS untuk menjadi pemimpin utama dalam projek pembangunan semula bandar (urban redevelopment) ini.

11. Saya ingin membawa perhatian Dewan Yang Mulia ini bahawa pembangunan semula bandar ialah salah satu daripada pakej rangsangan ekonomi Selangor yang dilancarkan pada tahun 2009. Keseluruhan pakej ini akan dijalankan di tiga buah bandar, iaitu Klang, Petaling Jaya dan Kajang dan dijangka akan menjana pelaburan sebanyak RM 10 bilion.

12. Di bandar Petaling Jaya, kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti ialah Seksyen 52, Seksyen 51 dan Seksyen 51A. Untuk pengetahuan Dewan Yang Mulia ini, kawasan PJ Sentral dan ibu pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini terletak di tengah-tengah Seksyen 52, sekaligus menjadikan sebarang projek pembangunan semula di kawasan Seksyen 52 sesuatu yang akan melibatkan kepentingan orang ramai.

13. Saya membawa usul ini ke Dewan Yang Mulia ini kerana kerajaan perlu memastikan bahawa kepentingan PKNS, kerajaan dan rakyat Selangor terpelihara dalam projek pembangunan semula bandar yang bakal berlangsung di PJ Sentral ini.

14. Cara yang paling bagus untuk memelihara kepentingan kerajaan dan rakyat Selangor adalah dengan memastikan kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, iaitu PKNS, mempunyai kata putus terhadap halatuju projek pembangunan semula bandar ini.

15. Kampung Tunku khuatir sekiranya PKNS kehilangan kepentingan ekuitinya dalam PJ Sentral Development Sdn. Bhd., maka rakyat Selangor amnya dan Petaling Jaya khasnya tidak dapat menikmati hasil pembangunan semula ini.

16. Kita juga tidak harus lupa bahawa model pembangunan semula bandar di tapak PJ Sentral, Seksyen 52 akan diguna sebagai model untuk pembangunan semula bandar di tempat-tempat lain. Oleh itu, adalah amat penting untuk keseluruhan projek ini berada di pangkuan kerajaan Selangor.

17. Apapun sekali, berikutan kedududan PKNS sebagai pemegang ekuiti minoriti dalam PJ Sentral Sdn. Bhd., saya khuatir PKNS tidak mampu melakukan apa-apa signifikan dalam urusan NGSB – MRCB, apatah lagi menentukan halatuju pembangunan projek PJ Sentral.

18. Dewan Yang Mulia ini ingin tahu apakah perkembangan terkini perkara ini? Apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan Selangor untuk melindungi hak dan kepentingan PKNS dan rakyat Selangor? Siapakah yang menandatangani perjanjian usahasama dengan NGSB suatu ketika dahulu?

19. Dengan itu, saya memohon ahli-ahli Dewan Yang Mulia ini untuk menyokong usul ini dan meminta kerajaan memberi penerangan yang sewajarnya.

Kampung Tunku mohon mencadang. Sekian, terima kasih.

Post a Comment