Friday, July 05, 2013

Diskriminasi terhadap rakyat Malaysia apabila warga luar negara yang menyertai MM2H diberi pengecualian cukai eksais dan cukai jualan kenderaan

Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) membenarkan pengecualian cukai eksais dan cukai jualan kepada warga luar negara yang menyertai Malaysia My Second Home (MM2H) tetapi tidak memberi layanan yang sama kepada rakyat Malaysia sendiri ialah satu bentuk diskriminasi yang tidak boleh diterima.

Mengikut laman web MM2H, peserta-peserta program MM2H yang kesemuanya warga luar negara dibenarkan untuk membeli sebuah kenderaan pemasangan tempatan (Complete Knock Down - CKD) tanpa perlu membayar cukai eksais dan cukai jualan.

Isu ini menjadi perhatian orang ramai sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Tuntutan ini juga dimasukkan dalam manifesto PRU13 Pakatan Rakyat (PR). Begitu kuat tuntutan daripada rakyat sehingga Barisan Nasional (BN) turut memasukkan cadangan mengurangkan harga kereta ke dalam manifesto PRU13 mereka walaupun pendekatannya jauh berbeza PR.

Sejurus selepas PRU13, pemimpin-pemimpin BN mengeluarkan pelbagai ulasan tentang isu ini. Antaranya termasuk kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir. Hamim Samuri di Dewan Rakyat bahawa kerajaan BN akan mengurangkan harga kereta secara berperingkat melalui pelbagai galakan kepada pengeluar-pengeluar kereta untuk memasang kereta-kereta di Malaysia untuk mengurangkan cukai eksais.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan BN tetap tidak akan menghapuskan cukai eksais kerana ianya menyumbang cukai sebanyak RM7 bilion setahun.

Soalannya ialah mengapakah kerajaan sanggup memberi pengecualian cukai eksais dan cukai jualan kepada warga luar negara yang mengambil bahagian dalam MM2H sedangkan rakyat sendiri tidak dibenarkan untuk menikmati pengecualian ini?

Bukankah rakyat Malaysia juga membayar cukai kepada kerajaan dan menyumbang kepada pembangunan negara?

Adakah ini bermaksud sumbangan rakyat Malaysia ini masih tidak bebaloi untuk menikmati pengecualian cukai jualan dan cukai eksais berbanding dengan peserta-peserta MM2H yang baru berhijrah ke Malaysia?

Yang kedua ialah diskriminasi ini juga akan dirasai oleh semua wakil rakyat bukan anggota pentadbiran di mana mereka juga tidak dapat menikmati pengecualian yang sedemikian rupa. Ini kerana mereka hanya diberi pengecualian cukai eksais untuk membeli kenderaan pacuan empat roda pemasangan tempatan sahaja.

Walaupun begitu, mereka juga perlu membayar cukai jualan sementara peserta-peserta MM2H tidak perlu berbuat demikian. Selain itu, peserta-peserta MM2H boleh membeli sebarang kenderaan asalkan ianya kenderaan CKD.

Tujuan saya membangkitkan perkara ini adalah untuk menunjukkan ketidakseimbangan (inconsistency) dan kepincangan dasar-dasar kerajaan BN berkenaan dengan industri automobil ini.

Seharusnya rakyat Malaysia yang harus didahulukan dalam mana-mana dasar kerajaan. Apa yang kita perhatikan di sini ialah yang sebaliknya. Diharap perkara ini akan diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan dan harapan saya ialah rakyat akhirnya dapat membeli kereta berkualiti tinggi dengan harga yang lebih murah melalui pengurangan cukai eksais dan cukai jualan demi mengurangkan beban keluarga masing-masing.

Post a Comment