Friday, July 05, 2013

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San Semasa Membahas Rang Undng-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2013 (Peringkat Dasar) di Shah Alam pada 4 Julai 2013

Pengiktirafan terhadap kaum Ibu yang bekerja

1. Kampung Tunku memulakan perbahasan dengan memberi tumpuan khusus kepada kaum wanita bekerja sekali lagi.

2. Semalam semasa sessi soal jawab, saya telah bertanya kepada Yang Berhormat EXCO yang bertanggungjawab tentang hal ehwal wanita sama ada kerajaan akan menetapkan dasar yang lebih ketat terhadap pasaraya-pasaraya besar dan kawasan komersial untuk menyediakan tempat penyusuan ibu dan kemudahan taska, taski, tadika dan sebagainya? Sekiranya ada, Kampung Tunku juga bertanya bilakah ianya akan dilaksanakan?

3. Jawapan yang diterima ialah ianya telahpun dicadangkan ke setiap PBT untuk pertimbangan. Tindakan ini masih tidak mencukupi kalau hanya setakat cadang-mencadang sahaja kerana untuk sesuatu idea itu diterjemahkan ke dalam dasar kerajaan, kerajaan harus mengambil pendirian yang lebih tegas dengan membawa cadangan ini ke peringkat MMKN dan dijadikan satu pekeliling kepada semua PBT.

4. Sebagai satu peningkatan kepada dasar wanita yang sedia ada, Kampung Tunku menggesa kerajaan untuk segera merangkakan dasar menggalak penyusuan susu ibu bagi kaum ibu yang bekerja untuk membina keluarga dan masyarakat yang sihat.

5. Mungkin perkara ini kecil dan remeh-temeh tetapi Kampung Tunku berpendapat masyarakat yang sihat bermula generasi muda yang sihat dan kuat. Adalah menjadi saranan Kampung Tunku agar kerajaan perlu menonjolkan kepimpinan dan komitmennya dalam perkara ini seperti segera merangka dasar yang memberi tumpuan khusus dalam aspek ini seperti memberi rebet cukai pintu atau cukai tanah kepada mana-mana majikan yang menyediakan kemudahan-kemudahan asas seperti yang disebut di atas.

6. Selain itu, PBT juga harus menyediakan ruang awam yang sesuai kepada kaum ibu untuk menyusu bayi dan mengepam susu. Perkara ini diboleh dijadikan sebagai salah satu syarat dalam memberi kebenaran merancang.

7. Justeru itu, saya meminta pihak MMKN untuk segera menerjemah cadangan ini kepada dasar kerajaan dan dijadikan sebagai satu syarat dalam memberi kelulusan Kebenaran Merancang (KM)

Peruntukan untuk Maksud B04 (Perbendaharaan Negeri) – pertanyaan-pertanyaan tentang pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)

8. Kampung Tunku juga tertarik dengan peruntukan sebanyak RM517.44 juta di bawah Maksud B04 – Perbendaharaan Negeri untuk menambah siling Tabung Kumpulan Wang Amanah Pinjaman Kepada Badan-badan Berkanun dan Badan Lain.

9. Sebanyak RM423.3 juta diperuntukkan sebagai pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

10. Untuk perkara ini, telah dilaporkan bahawa KDEB telah menawarkan harga sebanyak 76 sen seunit saham untuk membeli 56.57% saham (254.56 juta saham) kepunyaan Kumpulan Perangsang Selangor. Jumlah wang tunai yang perlu dibayar ialah RM193.47 juta.

11. Juga dilaporkan bahawa harga ini mungkin akan dianjak 10% lagi, menjadikan harga akhir 83.6 sen sesaham. Perkara ini berlaku sekiranya penilaian semula aset dan harta KHSB yang akan dilaksanakan oleh sebuah jurunilai yang bebas mendapati Nilai Aset Bersih Yang Dinilai Semula atau Revalued Net Asset Value (RNAV) melebihi 10% daripada Audited Consolidated Net Assets (NA).

12. Jika ini berlaku, maka KDEB perlu membayar wang sejumlah RM212.81 juta untuk melengkapkan urusniaga ini.

13. Soalan pertama daripada Kampung Tunku: jikalau kerajaan akhirnya perlu meminjam wang tunai sejumlah RM212.81 juta kepada KDEB untuk menyelesaikan urusniaga ini, mengapakah kerajaan pula wang sebanyak RM423.3 juta disediakan di mana wang ini ialah lebih kurang dua kali ganda daripada RM212.81 juta?

14. Soala kedua ialah berapa banyak pula liabiliti KHSB yang turut diambil alih oleh KDEB? Melalui laporan The Edge, KHSB menghadapi kerugian sebanyak RM39.73 juta dan RM39 juta untuk tahun kewangan 2011 dan 2010 masing-masing. Bagaimana dengan prestasi KHSB untuk tahun-tahun kewangan yang sebelumnya? Adakah KHSB juga mengalami kerugian? Adakah kerajaan akan juga mengambil alih kerugian ini? Kampung Tunku juga menuntut kerajaan negeri memberi perangkaannya di Dewan Yang Mulia ini.

15. Soalan ketiga: Dalam sebuah laporan The Edge Malaysia bertarikh 10 Jun 2013, dilaporkan KHSB mempunyai aset tanah untuk pembangunan hartanah sebanyak RM214.6 juta manakala hartanah pelaburannya bernilai RM1.1 juta. Carian melalui internet menunjukkan KHSB juga mempunyai tanah seluar 9.6 ekar di Petaling Jaya. Apakah rancangan kerajaan Selangor tentang semua harta dan aset yang diambil alih oleh KDEB? Bolehkah kerajaan memberi Dewan Yang Mulia ini satu senarai penuh aset dan hartanah yang akan diambil alih oleh KDEB ini?

16. Soalan keempat: Dilaporkan KDEB telah menandatangani Perjanjian Jual Beli untuk membeli saham tersebut pada 29 April 2013 iaitu 25 hari selepas Penggal Ke-12 DUN Selangor dibubarkan. Kerajaan Selangor pada masa itu ialah kerajaan caretaker. Persoalan tertimbul tentang apakah keperluannya untuk kerajaan caretaker pada masa itu untuk menandatangani perjanjian yang melibatkan jumlah yang begitu besar?

17. Saya berharap kerajaan boleh memberi penjelasan terhadap perkara ini. Jika tidak ianya akan menjadi satu contoh yang tidak bagus untuk kerajaan-kerajaan yang akan datang.

Pinjaman RM80 juta kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)

18. Kampung Tunku juga menarik perhatian Dewan terhadap satu pinjaman sebanyak RM80 juta yang akan diberi kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi tujuan pengambilan tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk tujuan Pembanguan Projek Datum In-City.

19. Projek Datum In-City ini merupakan satu projek pembangunan bercampur yang sebelum ini dipanggil sebagai PJ Elevated City. Projek pembangunan ini pernah seketika dahulu dihangat-hangatkan oleh puak-puak UMNO/BN kerana dilaporkan kerajaan akan membina asrama pekerja di sini sedangkan rakyat Malaysia sendiri tiada peluang untuk memiliki rumah sendiri.

20. Mesyuarat MTES pada 16hb September 2009 telah memutuskan pembangunan di tanah milik Kerajaan Negeri dan MBPJ seluas 20 ekar perlu dibangunkan dengan mengambil kira keperluan Western Digital (unit asrama yang dapat menampung 10,000 orang pekerja dan 3000 tempat letak kereta) dan MBPJ (bengkel dan pejabat).

21. Konsep pembangunan yang telah diluluskan oleh MTES pada 15hb Jun 2010 merangkumi komponen-komponen berikut :-
a. Hostel penginapan bagi 10,000 pekerja
b. Tempat letak kereta tambahan sebanyak 5,000 petak untuk kegunaan industri sedia ada
c. Kegunaan perdagangan (pejabat, retail, service apartment) dan
d. Perumahan jenis apartmen

22. Yang pertama ialah dalam kategori perumahan jenis apartmen ini, adakah kerajaan akan membangunkan perumahan sosial di tempat ini? Jika ya, berapa banyak unit yang akan dibangunkan nanti? Jika tidak, apakah sebab-sebabnya?

23. Kedua, apakah kos pengambilan tanah yang sebenarnya untuk PKNS membeli tanah ini daripada MBPJ dan pemilik-pemilik swasta? Siapakah pemilik-pemilik swasta yang tanahnya akan diambil untuk pembangunan ini?

24. Ketiga, adakah kos pengambilan tanah ini lebih tinggi atau lebih rendah daripada kos yang sebenarnya? Jika ianya lebih rendah, apakah rasional kerajaan meminjam melebihi amaun yang diperlukan?

25. Keempat, adakah PKNS dan KDEB mampu membayar balik pinjaman ini dalam tempoh yang ditetapkan? Apakah prestasi aliran tunai untuk kedua-dua GLC ini? Soalan ini penting memandangkan kerajaan negeri sebelum ini pernah memberi pinjaman wang yang agak besar kepada KDEB khususnya untuk membiayai program air percuma.

26. Selain daripada pinjaman Kerajaan Negeri, KDEB dan PKNS juga boleh meminjam daripada bank swasta. Apakah rasional untuk KDEB dan PKNS meminjam daripada kerajaan negeri dan bukannya bank swasta?

27. Diharap kerajaan dapat memberi jawapan yang memuaskan untuk soalan-soalan di atas.

Post a Comment