Friday, February 24, 2006

Memorandum Bantahan Terhadap Cadangan Pembinaan Stesen Pemindahan Sisa Kg Bohol

Memorandum Bantahan Terhadap Cadangan Pembinaan Stesen Pemindahan Sisa di Kg Bohol Oleh DAP Selangor Pada 24 Februari 2006

DAP Selangor ingin mengemukakan bantahan kami terhadap cadangan pembinaan stesen pemindahan sisa di Kg Bohol kerana kami berpendapat stesen pemindahan sisa di tapak tersebut akan mendatangkan banyak masalah kepada masyarakat tempatan. Alasan kami adalah seperti berikut:


Memanjangkan tempoh bacaan umum Laporan EIA

Adalah amat memeranjatkan apabila laporan EIA projek ini tidak disediakan di Balai Polis Puchong Jaya untuk tatapan umum walaupun telah dilaporkan dalam media bahawa laporan ini juga boleh dibaca di Balai Polis berkenaan.

Ini adalah tidak boleh diterima kerana projek ini selepas selesai akan mempunyai impak yang besar terhadap kehidupan penduduk-penduduk di sekitar Puchong. Mereka ini berhak untuk membaca laporan EIA dan tindakan menidakkan hak mereka untuk membaca laporan EIA ini dengan mana laporan ini tidak disediakan di Balai Polis Puchong Jaya adalah tidak adil bagi mereka.

Oleh itu, DAP Selangor meminta Jabatan Alam Sekitar untuk memperpanjangkan tarikh akhir untuk orang ramai mengemukakan bantahan ini supaya penduduk-penduduk di sekitar Puchong juga mempunyai hak dan tempoh masa yang sama untuk membaca, mamahami laporan ini, dan seterusnya menulis surat bantahan kepada Jabatan Alam Sekitar.

Selain itu, pihak kami juga mendesak supaya laporan ini juga disediakan di tempat yang sering dikunjungi penduduk-penduduk Puchong seperti IOI Mall dan Pasaraya Besar Tesco Puchong.

DAP Selangor juga tidak berpuas hati dengan harga jualan laporan EIA yang dijualkan dengan harga RM1000 senaskah. Kami berpendapat sekiranya Laporan Suruhanjaya Diraja Terhadap Penambahbaikan Pasukan Polis dan Kes Ketuk-Ketampi hanya dijual pada harga RM100 dan RM50 masing-masing, maka tiada sebabnya Jabatan Alam Sekitar menjual harga laporan EIA dengan harga yang begitu mahal kerana ini akan menghindar orang ramai daripada membelinya untuk bacaan peribadi.

Terlalu Dekat Dengan Kawasan Kediaman dan Masalah Trafik

Laporan EIA menyatakan bahawa kawasan ini terletak di zon strategik Bukit Jalil –Seputeh yang merupakan kawasan perumahan yang terbesar di Kuala Lumpur, dengan sejumlah 79,323 rumah di kawasan ini pada tahun 2000. Apakah rasional DBKL untuk membina stesyen pemindahan ini di tengah-tengah sebuah kawasan kediaman yang begitu padat penduduk-penduduknya?

Walaupun kami faham bahawa stesen pemindahan sisa adalah berbeza dengan tapak timbus tanah seperti di Jinjang, tetapi kami berpendapat adalah lebih baik bagi kerajaan untuk membina stesen pemindahan sisa ini ke tempat terpencil supaya kesihatan dan kualiti kehidupan penduduk, dan juga nilai hartanah di sekitar kawasan Puchong tidak akan terjejas.

Kehadiran lori-lori Alam Flora dan lori-lori pengangkut sisa termampat yang merupakan kenderaan berat juga akan memburukkan keadaan jalan di Jalan Puchong sekaligus menyusahkan lagi pengguna jalan di Kawasan Puchong, khususnya penunggang-penunggang motosikal.

Walaupun dijangkakan bahawa jalan-jalan yang terlibat ini akan diperlebarkan pada masa depan tetapi kita tidak boleh mengambil jalan mudah (take for granted) kerana kawasan sekitar Puchong sedang berkembang pesat sebagai kawasan perumahan yang semakin ramai dan padat penduduk-penduduknya.

Tidak Termaktub Dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020

Stesen pemindahan sisa di Kg Bohol tidak disebut langsung dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020. Mukasurat 11-6 dan 11-7 dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 sebenarnya menyatakan bahawa stesen pemindahan sisa ini diletakkan di Taman Beringin Jinjang dan bukannya di Kg Bohol.

Perenggan 489, Bahagian 11.2.6 dalam Bab 11 menyatakan “……….. Stesen pemindahan yang baru disiapkan di Taman Beringin berfungsi untuk mengasingkan sisa buangan untuk dikitar semula dan memampatkan baki sisa sebelum diangkut ke tapak di Air Hitam untuk pelupusan dengan penimbusan.”

Ini bermaksud cadangan pembinaan stesen pemindahan sisa ini sebenarnya bukan berada dalam rancangan pembangunan DBKL, tetapi ia merupakan satu cadangan baru tanpa diketahui dan diperbincangkan dengan penduduk-penduduk persekitaran di Kuala Lumpur, khususnya bagi penduduk di Taman Kinrara, Bandar Kinrara dan Puchong. Ini adalah amat tidak adil bagi penduduk yang telah lama bermastautin di kawasan tersebut dan juga bagi penduduk yang baru membeli hartanah dan rumah di kawasan berdekatan dengan Kg Bohol.

Tiada perbincangan dengan negeri Selangor

DAP Selangor juga melafazkan perasaan tidak puas hati dengan mana projek ini ditangani dimana bukan sahaja penduduk-penduduk persekitaran tidak mengetahui tentang projek ini, malahan wakil-wakil rakyat setempat, pihak Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyatakan bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang projek ini

Bantahan Penduduk Setempat

Laporan EIA ini juga memaparkan interviu yang dijalankan ke atas sejumlah 487 penduduk sama ada mereka menerima pembinaan tapak pemindahan sisa ini. Bagaimanakah pandangan oleh 487 orang ini dapat membayangkan pendirian lebih kurang 100,000 orang penduduk setempat? Adalah menjadi satu kebiasaan untuk mana-mana interviu yang mana sampel minimum yang perlu dikumpul ialah 1000 orang untuk mengurangkan sebarang ralat yang mungkin tertimbul.

Biarpun begitu, daripada laporan EIA itu, dinyatakan bahawa sejumlah 226 orang penduduk atau 66.9% daripada jumlah penduduk telah menyatakan bantahan mereka terhadap projek itu. Pencadang projek ini, Cy-waste telah menyatakan bahawa orang ramai seringkali silap faham bahawa tapak ini ialah tapak timbus tanah atau tapak insinerator, dan mereka akan “mengupah syarikat PR professional untuk menyebarkan maklumat yang betul dan mendidik orang ramai terhadap kesan-kesan positif projek ini terhadap alam sekitar.”

Ini bukan gambaran yang diberi mengikut laporan akhbar The Star bertarikh 20 Januari 2006 apabila Cif Pengawai Eksekutif Cy-waste Sdn. Bhd. Daud Ahmad berkata bahawa “Kita telah mengadakan satu dialog dengan penduduk-penduduk setempat pada bulan Disember dan mereka mesti berpuas hati dengan jawapan-jawapan kami, yang mana ini sebabnya tiada sebarang bantahan setakat sekarang.”

Berkenaan dengan ini, pihak kami telah bertanya kepada Cy-waste pada permulaan perkara mengapakah penduduk-penduduk membantah projek ini lebih kurang satu bulan selepas dialog yang diadakan pada Disember 2005. Siapa yang sebenarnya Cy-waste telah berdialog dan bagaiaman pula dialog ini diadakan? Adakah reaksi penduduk yang bercanggahan ini telah menjejaskan kredibiliti Cy-waste?

Reaksi daripada penduduk di persekitaran projek ini haruslah diambil berat oleh pihak Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan tempatan kerana mereka merupakan pembayar cukai kepada kerajaan tempatan.

Cadangan-cadangan

DAP Selangor meminta Jabatan Alam Sekitar untuk memanjangkan tarikh akhir untuk orang ramai mengemukakan bantahan ini supaya penduduk-penduduk di sekitar Puchong juga mempunyai hak dan tempoh masa yang sama untuk membaca, mamahami laporan ini, dan seterusnya menulis surat bantahan kepada Jabatan Alam Sekitar.

DAP Selangor menyeru pihak Jabatan Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menggantung projek ini sehingga pihak berkuasa tempatan di Negeri Selangor, Kerajaan Selangor, DAP Selangor dan penduduk di Kinrara, Puchong (Selangor) diberi penjelasan yang mendalam terhadap projek ini.

Selain itu, pihak kami juga mendesak supaya laporan ini juga disediakan di tempat yang sering dikunjungi penduduk-penduduk Puchong seperti IOI Mall dan Pasaraya Besar Tesco Puchong, serta mengurangkan harga jualan laporan EIA.

DAP Selangor juga menyeru Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan tempatan di Kuala Lumpur dan Negeri Selangor boleh bekerjasama untuk membangunkan perindustrian kitar-semula sampah-sarap dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pengurangan serta pengasingan sampah-sarap dan pemeliharaan alam sekitar, seperti apa yang berlaku di negara-negara maju.

Sekiranya stesen pemindahan sisa ini perlu didirikan, kami bercadang ia didirikan di kawasan yang jauh dari tempat kediaman orang ramai. Kawasan Kg Bohol dan Puchong yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi memang tidak sesuai bagi stesen pemindahan sisa yang berkemungkinan besar akan mencemarkan alam sekitar di persekitarannya.

Kami juga meminta pihak DBKL untuk mengadakan satu sessi penjelasan awam berkenaan dengan kesesuaian tapak ini dijadikan tapak pemindahan sisa pepejal.

LAU WENG SAN
Setiausaha Publisiti
DAP Selangor

No comments: