Thursday, November 09, 2006

Jikalau kerajaan Selangor bersedia untuk meluluskan 5000 kilang haram dan Istana Zakaria, bagaimana pula dengan kuil-kuil Hindu yang haram?

Jikalau Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengatakan bahawa beliau terpaksa mengambilkira pelbagai aspek termasuk kepentingan kaum, agama dan ekonomi sebelum mengambil tindakan merobohkan mana-mana banguan yang tidak dihantar pelan pembangunan/pengubahsuaian untuk kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), adakah MB sendiri sudi meluluskan kuil-kuil Hindu yang tidak mempunyai Lesen Menduduki Sementara (LMS) sebagai bangunan yang sah?

Ini merupakan satu persoalan yang ditimbulkan apabila MB mengatakan bahawa beliau perlu “bertimbang rasa dan sensitif terhadap perasaan” rakyat berbilang kaum di Selangor.

Apa yang MB sendiri mungkin tidak tahu ialah keadaan sebenar sebenarnya bertentangan dengan apa yang disarankan oleh MB.

Ini adalah kerana kuil-kuil Hindu di Malaysia, termasuklah kuil-kuil yang dibina di Selangor dirobohkan dengan kadar yang cukup dahsyat.

Sehingga keadaan ini tidak diperbetulkan seperti yang disarankan oleh MB sendiri, rakyat Selangor masih berhak untuk menuntut supaya bukan sahaja Rumah Satay kepunyaan Datuk Zakaria Mat Deros dirobohkan, bahkan Istana mewahnya yang berharga berpuluh-puluh juta ringgit juga perlu dirobohkan atas sebab yang sama, iaitu bersalah kerana tidak mendapat kebenaran merancang daripada PBT.

Jikalau Kerajaan Negeri Selangor sudi meluluskan hampir 5000 unit kilang haram di Selangor sebagai kilang yang sah, mengapakah kerajaan negeri pula tidak cuba menghalalkan kuil-kuil Hindu yang kebanyakkannya dibina di dalam ladang dan estet serta tidak mempunyai LMS yang sah?

Adakah keputusan MB ini akan dijadikan salah satu dasar kerajaan Negeri Selangor?

Seboleh-bolehnya Kerajaan Negeri harus menghulurkan bantuan kepada kuil-kuil ini dan bukannnya mengarahkan PBT untuk terus meroboh mana-mana kuil yang menduduki di atas tanah kerajaan.

MB juga menyatakan bahawa sesebuah bangunan itu akan diroboh sekiranya didapati bangunan itu tidak selamat, mengganggu keselamatan awam atau trafik setempat. Jikalau kita mengikut logik MB ini, kita akan mendapati lebih banyak sebab untuk merobohkan Istana Mahligai itu kerana mahligainya yang mempunyai empat tingkat melibatkan kerja-kerja pilling yang banyak.

Memandangkan ianya amat berdekatan dengan rumah awam, maka saya sendiri mengesyaki sama ada satu akses impak alam sekitar (Environmental Impact Assessment Report, atau EIA Report) telah disediakan oleh pihak Zakaria untuk kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan. Jikalau laporan EIA tidak dijalankan, sesuatu projek ini masih lagi dipercayai mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga kepada penghuni-penghuni persekitaran. Menteri Besar harus memberi penjelasan yang lebih mendalam berkenaan dengan dakwaan ini.
Post a Comment