Friday, March 28, 2008

Wakil rakyat, MBPJ janji kerjasama erat

PETALING JAYA 27 Mac – Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kawasan Petaling Jaya berjanji akan melaksanakan tugas dengan telus dan bekerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata, kerjasama tersebut akan dilaksanakan melalui perkongsian maklumat serta mencari jalan penyelesaian secara bersama dalam mengatasi sebarang masalah.

Menurutnya, semua wakil rakyat akan mengambil langkah proaktif dalam mencari jalan penyelesaian kepada setiap aduan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk.

“Kami juga meminta pihak MBPJ memaklumkan kepada penduduk setiap tindakan yang mereka lakukan supaya mereka tahu aduan mereka didengar dan sedang dalam proses penyelesaian,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pertemuan tertutup sembilan wakil rakyat kawasan Petaling Jaya dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman di sini semalam.

Ahli Parlimen yang hadir ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Pua Kiam Wee (Petaling Jaya Utara) dan R. Sivarasa (Subang).

ADUN pula ialah Lee Poh Lin (Bukit Gasing), Lau Weng San (Kampung Tunku), Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan), Cheah Wing Yin (Damansara Utama) dan Dr. Mohd Nasir Hashim (Kota Damansara).

Sementara itu, Haniza berkata, wakil rakyat kawasan itu juga akan memastikan semua permohonan kontrak dan tender yang dihantar kepada MBPJ diproses mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Pemohon akan dimaklumkan mengenai prosedur itu, selain proses yang berlaku seperti perubahan, pembatalan dan penerimaan tender kerana mereka berhak untuk tahu,’’ jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Roslan menganggap pertemuan tersebut sebagai suatu usaha yang baik antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil rakyat demi kesejahteraan penduduk Petaling Jaya.

“Malalui pertemuan ini, kita akan dapat berbincang tentang pelbagai isu dan polisi yang bakal dilaksanakan bersama kerajaan baru,’’ katanya.

Menurutnya, dasar dan polisi yang dibincangkan dalam pertemuan itu belum diputuskan sepenuhnya kerana pihaknya masih menunggu pelantikan Ahli Majlis pada penghujung April depan.

Ditanya mengenai pelantikan Ahli Majlis baru MBPJ, beliau memberitahu, ia akan dilakukan melalui proses pilihan raya oleh penduduk mengikut zon yang telah ditentukan.

“Proses tersebut dijalankan bagi memberi peluang kepada wakil komuniti, pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional untuk mengisi jawatan itu,’’ ujarnya.

No comments: