[Ucapan oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San pada 16 Mac 2009 semasa membahas Rang Undang-undang Enakmen Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 2009 di DUN Shah Alam]
1. Saya berterima kasih kerana diberi peluang untuk turut mengambil bahagian dalam Rang Undang-undang Enakmen Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor .
2. Pertama sekali, saya berpendapat bahawa perkataan “Warisan” wajar diberi tafsirannya dalam senarai tafsiran enakmen ini untuk melengkapkan seberapa banyak yang boleh.
3. Biarpun Enakmen ini menyebut tentang Adat Melayu, tetapi enakmen ini juga meliputi perkara-perkara yang meliputi warisan seluruh warga negeri Selangor tanpa mengira keturunan etnik, budaya, bahasa dan agama. Dalam perkataan lain, warisan kebudayaan masyarakat Tionghua, India dan Orang Asli juga mempunyai tempat masing-masing di bawah enakmen ini.
4. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku di Selangor. Bayangkanlah, UMNO yang memperjuangkan Ketuanan Melayu tidak pernah mengemukakan rang undang-undang enakmen adat Melayu dan Warisan Selangor, cadangan-cadangan untuk memelihara adat resam dan warisan budaya masyarakat Melayu Selangor, tetapi hari ini pula Pakatan Rakyat sendiri yang tampil mengemukakan rang undang-undang enakmen ini untuk memelihara adat resam masyarakat Melayu Selangor, bahkan warisan budaya keturunan etnik yang lain.
5. Terdapat beberapa perkara yang wajar diteliti di sini. Saya mendapati penekanan kurang diberi terhadap makanan tradisi rakyat di Selangor ini. Pada pendapat saya, makanan juga merupakan salah satu warisan tradisi kita dan makanan sendiri memang dapat memberi makna tentang perlu dimasukkan, khususnya makanan yang mempunyai kaitan dengan warisan sejarah rakyat pelbagai kaum di Selangor, contohnya Bak Kut Teh (makanan masyarakat kaum buruh kasar Tionghua), tempe (makanan masyarakat Jawa yang merupakan kesukaan Yang Berhormat Sungai Panjang) dan sebagainya. Walaupun Bak Kut Teh bukan makanan halal, tetapi kini makanan ini sudah ada versi vegetariannya, maka saya berpendapat potensi untuk mekanan ini dijadikan makanan yang halal memang ada.
6. Penulis buku masakan, Norzailina Nordin, pernah berkata di Selangor, masyarakatnya banyak terpengaruh dengan gaya masakan orang Bugis.
7. Beliau berkata: “Antara kuih tradisi yang semakin hilang dalam masyarakatnya adalah kuih Bugis Mandi. Kuih ini mempunyai rupa dan rasa yang hampir sama dengan kuih Badak Berendam namun bebolanya lebih kecik menyerupai Buah Melaka." Pada dasarnya, kuih tradisional dulu mempunyai ciri yang hampir sama iaitu tepung pulut yang digiling sendiri, dikacau dengan campuran santan. Isinya kebanyakan kelapa parut yang dimasak dengan gula hangus kerana ketika dulu, gula merah sukar diperoleh."
8. Jadi makanan yang sebegini perlu diberi perhatian dan dipastikan resipinya dapat dipelihara untuk diwarisi turun-temurun.
9. Industri perfileman walaupun belum sampai 100 tahun sejarahnya tetapi ianya telah banyak memperkayakan warisan kebudayaan negara kita sama seperti orkerstra dan teater. Filem yang mencerminkan latar belakang, budaya, cara hidup rakyat di Selangor ini perlu dimasukkan. Kita tidak ketandusan pakar-pakar pembikin filem tempatan yang boleh membantu kita menbangunkan pemahaman adat resam dan warisan budaya kita seperti Yasmin Ahmad dan sebagainya. Kraftangan Orang Asli juga perlu dipelihara.
10. Di bawah enakmen ini, satu perbadanan yang dinamakan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor akan ditubuhkan. Perbadanan akan terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi, tidak lebih daripada enam orang ahli lain yang pada pendapat Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kepakaran tinggi dalam perkara yang berhubungan dengan adat Melayu dan warisan Negeri Selangor atau bidang lain yang berikatan, tidak lebih daripada tiga orang ahli yang lain, dan Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan yang akan dilantik dan berfungsi sebagai Setiausaha Perbadanan.
11. Saya menyarankan supaya enam orang ahli yang mempunyai kepakaran tinggi dan arif dalam perkara yang berhubungan dengan adat Melayu dan warisan Negeri Selangor dilantik daripada kalangan cendekiawan dan mewakili seluruh masyarakat majmuk negeri Selangor. Ini bermaksud cendekiawan yang arif dalam hal ehwal adat Melayu, warisan budaya Tionghua, India dan Orang Asli juga perlu dilantik dan diwakili dalam Perbadanan ini.
12. Kita tidak ingin lagi melihat jawatan-jawatan ini digunakan sebagai hadiah politik seperti apa yang berlaku semasa BN memerintah kerajaan negeri. Jawatan-jawatan ini harus diisi oleh mereka yang mempunyai kelayakan dan pencapaian yang tinggi dalam hal ehwal adat resam orang Melayu dan warisan budaya pelbagai masyarakat majmuk di Selangor, termasuk zaman pra-sejarah.
13. Zaman apabila BN menjadikan jawatan ini sebagai habuan politik sudah berlalu. Kini sudah sampai masanya untuk kita mengorak langkah baru untuk membawa pembaharuan atau reformasi dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan membawa masuk mereka yang arif dalam bidang itu untuk mengurus bidang itu juga untuk kerajaan negeri.
14. Malahan dalam pengambilan staf, pegawai dan pekhidmat lembaga, saya juga menyarankan supaya ianya juga perlulah mencerminkan komposisi pelbagai kaum di Selangor ini.
15. Seterusnya, saya juga ingin menyarankan kepada kerajaan agar pembinaan pusat-pusat warisan kebudayaan Melayu, Tionghua dan India seperti yang dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini dapat disegerakan dengan adanya enakmen ini. Saya difahamkan pusat-pusat warisan kebudayaan ini masih sedang berjalan dan kerajaan sedang mencari tiga lokasi yang paling sesuai untuk membina pusat-pusat kebudayaan ini.
16. Justeru itu, saya mencadangkan supaya kerajaan bertindak cepat untuk mengenalpasti mana-mana tiga bidang tanah yang bersesuaian dan mewartakannya sebagai tempat pembinaan pusat kebudayaan. Buat sementara waktu, saya difahamkan tapak untuk pembinaan Pusat Warisan Kebudayaan Tiong Hua Selangor telah dicadangkan di Char Tiel, Klang. Maka dengan adanya enakmen ini, saya berharap kerajaan dapat mempercepatkan proses pembinaannya.
17. Memandangkan Enakmen ini dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor merupakan enakmen dan perbadanan pertama yang diluluskan dan ditubuhkan di Selangor selepas Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor, maka prinsip-prinsip keadilan, keberupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan ini perlulah diterap dengan seberapa banyak yang boleh ke dalam pentadbiran enakmen dan perbadanan yang bakal ditubuhkan nanti.
18. Fasal 32 menyebut tentang surcaj di mana ini memberi kuasa kepada kerajan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana orang yang sedang dan pernah bekerja dengan perbadanan yang telah menyebabkan kerugian wang ringgit kepada perbadanan. Fasal ini akan memastikan mereka yang dipertanggungjawab untuk mengurus perbadanan ini untuk lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan perbadanan di mana mereka juga perlu bertanggungjawab ke atas tindakan mereka walaupun mereka sudah meninggalkan jawatan mereka di dalam perbadanan.
19. Saya di sini turut mencadangkan supaya semangat di sebalik fasal ini dimasukkan ke dalam mana-mana enakmen yang akan dikemukakan oleh kerajaan pada masa depan selari dengan prinsip pentadbiran beramanah.
20. Saya juga berpesan supaya pada masa depan semua enakmen baru yang akan dibawa ke Dewan Yang Mulia ini akan dibincangkan dengan semua ADUN dengan teliti sebelum dibawa ke Dewan Yang Mulia ini. Dengan itu, saya berharap kita akan dapat membentuk jawatankuasa-jawatankuasa pilihan yang lebih banyak pada masa hadapan untuk melaksanakan tugas ini.
No comments:
Post a Comment