Monday, March 16, 2009

SPRM tidak boleh memilih bulu

{Ucapan oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San pada 16 Mac 2009 semasa membahas Usul di bawah Peraturan Tetap 27(3) oleh Yang Berhormat Meru di DUN Shah Alam]

1. Saya turut berdiri untuk menyokong usul ini.

2. SPRM perlu menyiasat semua kes rasuah dengan adil dan saksama tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

3. Setelah ditubuhkan pada 1 Januari 2009, SPRM pernah bekerja keras di pertengahan bulan Januari untuk membanteras kegiatan rasuah, seolah-olah telah membuka mata orang ramai bahawa SPRM kali ini memang bukan main-main.

4. Walaupun begitu, prestasi SPRM ini tidak dapat berkekalan. Biarpun SPRM telah berjaya mengheret beberapa ekor “ikan bilis” ke muka pengadilan, tetapi SPRM masih belum berjaya mengheret “ikan yu” ke muka pengadilan, khususnya mereka yang daripada kalangan UMNO sendiri.

5. SPRM telah kelihatan bertindak berat sebelah apabila SPRM menghentikan kerja siasatan terhadap laporan rasuah buat sementara waktu semasa kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu supaya tindakan siasatan ini tidak akan mempengaruhi pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Inipun SPRM telah awal-awal menjanjikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa mereka tidak akan bersambil lewa dengan kegiatan rasuah lagi.

6. Malahan, pada 14 Januari 2009, SPRM sepatutnya mendakwa seorang bekas ADUN Semenyih Barisan Nasional di Selangor, Datuk Ahmad Kuris Mohd Nor yang juga merupakan bekas Ketua Bahagian UMNO Hulu Langat ke Mahkamah Sesyen Ampang atas empat tuduhan rasuah yang berasingan dan melibatkan sejumlah wang sebanyak RM400,000.

7. Tetapi SPRM tiba-tiba menukar tarikh pendakwaan terhadap bekas ADUN tersebut supaya ianya tidak akan menjejaskan prestasi BN di pilihanraya kecil tersebut. Jikalau SPRM betul-betul bebas, mengapakah SPRM perlu menukar tarikh pendakwaan tersebut? Jikalau SPRM betul-betul bebas, SPRM tidak sepatutnya bertindak menjaga kepentingan UMNO dengan melewatkan proses pendakwaan tersebut.

8. Contoh yang kedua, apabila ADUN Bota Dato’ Nasarudin Hashim keluar dari UMNO dan menyertai PKR, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM akan menyiasat sama ada berlakunya unsur politik wang atau tidak. Saya menerima hakikat ini. Walaupun begitu, apabila Dato’ Nasarudin Hashim bertindak keluar daripada PKR dan menyertai semula UMNO, SPRM tiba-tiba membisu! Jikalau SPRM betul-betul bebas, mengapakah SPRM tidak pula menyiasat menyiasat sama ada berlakunya unsur politik wang atau tidak apabila Dato’ Nasarudin Hashim kembali kepada UMNO?

9. Satu lagi contoh, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dalam satu laporan akhbar Bernama pernah menyatakan pada 4 Mac 2009 bahawa SPRM telah menyelesaikan siasatannya terhadap tuduhan-tuduhan politik wang di dalam UMNO dan mendapati tiada kes rasuah ditemui.

10. Tiba-tiba pula pada minggu lalu, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Norza Zakaria, orang kuat kepada YB Khairy Jamaluddin, pesaing Yang Berhormat Sungai Panjang dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO, diheret ke mahkamah di Termerloh atas tuduhan rasuah. Tidak cukup dengan itu, Menteri Pelancongan dan Ahli Parlimen Tenggerang Azalina Othman turut disiasat dan setiausaha politiknya pernah ditahan oleh SPRM untuk sisatan lanjutan. Semasa setiausahanya ditahan beliau didapati mempunyai wang tunai RM70,000 dengannya.

11. Sudah sampai masanya untuk SPRM bertindak dengan adil, men yiasat semua pertuduhan-pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa secara serious dan bebas berdasarkan merit bagi memenuhi tanggungjawab mereka tanpa memilih kes-kes tertentu semata-mata, seperti yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat dari Meru.

12. Seruan daripada Meru adalah tepat pada masanya. Saya merujuk kepada satu petikan Bahasa Inggeri daripada The Star Focus bertarikh 8 Mac 2009 oleh Shahanaaz Habib bertajuk “Crunch time for vote buyers”:

A PUTERI Umno candidate who was going to Kedah to meet some delegates was confused when she received a text message asking “Sek Kebangsaan atau Sek Inggeris?”

After asking around, she found out that Sek Kebangsaan – or SK for short – means salam kosong, which literally translates to “empty handshake” meaning no money, while Sek Inggeris – or SI – stands for salam isi or “handshake with contents” meaning there is money.

Later she learnt that delegates were also using other discreet terms like satu tiang for RM100, dua tiang for RM200 and tiang seri (seribu) for RM1,000 to demand for cash in exchange for votes.

“I also spoke to an MB and he was disgusted that delegates asked him to go for a drink and when he did, they asked for cash if he wanted their votes,” she said.

Other candidates too have spoken about how some delegates refuse to meet them at a local coffeeshop or mamak restaurant but want to be taken instead to an expensive hotel coffee house.

Money politics is not new in Umno elections as it has been around for at least two decades. But what members are saying is it keeps getting worse.

13. Selain itu, dari segi struktur, terdapat sekurang-kurangnya dua kelemahan dalam struktur SPRM sekarang.

14. Pertama, akta yang baru sekarang tidak memperuntukkan hak kepada pegawai SPRM untuk memanggil sesiapapun untuk menjelaskan kekayaan atau cara hidup seseorang yang tidak setimpal dengan pendapatannya.

15. Memang bukan satu kesalahan untuk penjawat awam menjadi kaya tetapi jika mereka tidak diwajibkan untuk menjelaskan perubahan cara hidup ini kepada SPRM, ataupun SPRM tidak ada kuasa untuk memanggil penjawat-penjawat awam ini untuk membuat penjelasan, maka struktur SPRM masih lagi dianggap sebagai tidak lengkap.

16. Yang kedua, SPRM masih kekurangan penyiasat-penyiasat yang berkemampuan dan berkaliber untuk menjalankan siasatan, khususnya penyiasat-penyiasat yang mempunyai latar belakang profesional atau pernah menerima latihan profesional. Malahan untuk ICAC Hong Kong, kesemua penyiasat mereka diambil daripada golongan profesional, sekaligus menjadikan ICAC satu agensi pencegah rasuah yang mempunyai keupayaan dan kemampuan yang tinggi.

17. Adalah baik jika Dato’ Seri Khir Toyo, Ketua Pembangkang DUN Selangor menjawab setiap satu tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

18. Menyorok kelemahan diri dengan menggunakan alasan kononnya BPR telah menjalankan siasatan sepenuh-penuhnya dan mengambil fail-fail daripada pejabatnya serta menjalankan soal siasat selama sepuluh jam tidak akan membersihkan dirinya sendiri daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

19. Saya tidak ingin mengulangi semua tuduhan yang dikemparkan kepadanya tetapi sekurang-kurangnya beliau harus mempunyai keberanian untuk memperjelaskan satu-persatu tuduhan tuduhan di bawah. Tuduhan-tuduhan ini pernah dibangkitkan oleh YB Tuan Speaker semasa beliau menjadi Ketua Pembangkang di DUN Selangor. Ianya telah disingkatkan dan berbunyi seperti berikut:

20. “(a) YB Sungai Panjang telah melalui Jabatan Kerja Raya Selangor, menganugerahkan pembinaan jalan Cross Ban 4, dari Taliair 4, Sekinchan hingga Parit 4, Sungai Haji Dorani, Sungai Panjang di mana panjang jalan adalah 20.5 km dan menelan kos RM92.5 juta kepada Meram Holding Sdn Bhd, sebuah kontraktor bermasalah, yang mana tiga projek terakhirnya tidak dapat disiapkan seperti yang dijadualkan, dan akhirnya terpaksa projek-projek itu diletakkan di bawah kontraktor penyelamat. Dalam perojek Sungai Panjang ini, setujuterima tender ditandatangani oleh Menteri Besar sendiri.

21. (b) Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 20.12.2000 yang dipengerusikan oleh YB Sungai Panjang telah meluluskan permohonan tanah 400 ekar tanah Bukit Cerakah, Shah Alam kepada 4 syarikat iaitu Kayar Kekal (M) Sdn Bhd, Tirai Gemilang Sdn Bhd, Usahasewa Sdn Bhd dan Samasys Sdn Bhd dengan setiap syarikat mendapat 100 ekar. Yang aneh sekali dalam tuduhan ini ialah seorang yang bernama Samsuri Rahmat adalah pengarah kepada keempat-empat syarikat tersebut sementara 3 orang lagi yang bernama Bahari Mohd Atan, Rahmat Jamhari dan Amran Abut Bakar masing-masing adalah pengarah kepada 2 daripada 4 syarikat tersebut. Dan keempat-empat syarikat tersebut mempunyai alamat daftar dan perniagaan yang sama iaitu No 8, Tingkat 1, Jalan PS1/2, Bandar Pinggiran Subang, Seksyen 1, Shah Alam, 40150 Selangor. Semua perkara ini sudah tentu lebih daripada kebetulan semata-mata.

22. (c) Meysuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 4.7.2001 telah meluluskan permohonan tanah sejumlah 200 ekar di Mukim 12, Daerah Kuala Langat kepada 4 syarikat yang mendapat 50 ekar masing-masing. Syarikat-syarikat tersebut adalah Kualiti Anggun Sdn Bhd (Pengarah: Sa'imah bt Husaini, Ahmad Azmir Yusoff, 20 tahun), Awal Sentosa Sdn Bhd (Pengarah: Saharrudin Sulaiman, Noor Ashikin bt Mohd, 22 tahun), Semaian Bintang Sdn Bhd (Pengarah: Rafie'e Kamal, Mardhiah bt Mohamad, 20 tahun) dan Nadi Jitu Sdn Bhd (Pengarah: Rohayati Kassim, Azril Yusri Md Yusup, 20 tahun). Daripada 8 pengarah, 4 mereka adalah berumur di antara 20 hingga 22 tahun.

23. Yang lebih aneh dalam perkara ini ialah Ahmad Azmir Mohd Yusoff (20 tahun), Noor Ashikin Mohammad dan Mardhiah Mohamad (22 tahun) dilantik sebagai pengarah pada hari yang sama, iaitu 28 Mei 2001, dan tidak sampai pun 50 hari selepas itu, iaitu pada 4 Julai 2001, mereka bertiga mendapat tanah seluas 50 ekar di Kuala Langat. Manakala Azril Yusri Yusup (20 tahun) dilantik pengarah pada 15 Feb 2001. Dan keempat-empat syarikat mereka, iaitu Nadi Jitu, Kualiti Anggun, Semaian Bintang dan Awal Sentosa mempunyai alamat daftar yang sama, di No 20-M, Lorong Gopeng, Klang, Selangor.”

24. Apakah jawapan YB Sungai Panjang terhadap semua pertuduhan ini? Adakah SPRM telah menjalankan siasatan semula terhadap kes-kes ini? Jikalau YB Sungai Panjang ada jawapannya, maka beranikanlah diri, datang ke Dewan Yang Mulia ini untuk berdepan dengan kita semua dan perjelaskan satu persatu. Kalau perlu hendak membersihkan namanya, maka buatlah satu usul untuk membuat penerangan dan penjelasan terhadap kesemua tuduhan ini. Sudah pasti Dewan Yang Mulia ini sudah pasti akan mempunyai ruang yang mencukupi untuk Yang Berhormat membuat penjelasan. Bukankah ini lebih daripada membuat kenyataan di luar Dewan Yang Mulia dengan para wartawan?

1 comment:

Abuarif said...

Apa yang saudara catatan semua benar.Kami/sesiapa yang pernah jadi pegawai kerajaan selalu menerima arahan seperti "jangan ambil/tangguhkan tindakan sehingga selepas pilihanraya.

Istilah 'without fear and favor' hanyalah penyedap telinga.

Sepatut pegawai macam ni diambil tindakan kerana "ketidakcekapan dan berpehak kepada pehak tertentu dalam menjalankan tugas.Betulkan ini semua sementara saudara YB (Yang Berkhidmat)mempunyai peluang.