Tuesday, July 14, 2009

Hukuman terhadap Khir Toyo dan empat ADUN BN sebagai amaran untuk tidak menghina dan memfitnah Dewan lagi

Ucapan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San semasa membahas Usul Penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor pada 14 Julai 2009 (1):

Saya berdiri di bawah Peraturan Tetap 76(5) ingin membawa satu usul yang berbunyi seperti berikut:
“Bahawasanya mengikut Perenggan (5) dalam Peraturan Tetap 76 bagi Dewan Undangan Negeri Selangor, Dewan yang bersidang pada hari ini membuat ketetapan supaya syor-syor dan hukuman yang terdapat dalam Penyata laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor yang dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bil. 19 Tahun 2009 diterima.”
Tujuan usul ini adalah untuk menerima laporan dan meluluskan hukuman yang telah dibuat dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan seperti di perenggan 23 dan 24, Penyata oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ke atas Y.B. Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo (ADUN Sungai Panjang), Y.B. Dato’ Marsum bin Paing (ADUN Dengkil), Y.B. Dato’ Hj. Warno bin Dogol (ADUN Sabak), Y.B. Tuan Mohd Isa bin Abu Kasim (ADUN Batang Kali) dan YB Dato’ Hj. Mohamed Idris bin Hj. Abu Bakar (ADUN Hulu Bernam) iaitu:
  1. Bagi pertuduhan pertama, Y.B. Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo dikenakan hukuman penggantungan daripada perkhidmatan Dewan selama satu (1) tahun dan dipotong semua elaun serta kemudahan bulanan selama satu (1) tahun.
  2. Bagi pertuduhan ke 2, ke 3 dan ke 4, Y.B. Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo dikenakan hukuman penggantungan daripada perkhidmatan Dewan selama satu (1) tahun dan dipotong semua elaun serta kemudahan bulanan selama satu (1) tahun.
  3. Jawatankuasa ini juga memutuskan bahawa keempat-empat hukuman yang dijatuhkan ke atas Y.B. Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo hendaklah dijalankan serentak.
Bagi Ahli-ahli Dewan Negeri yang lain, hukuman yang dikenakan adalah seperti berikut:-
  1. Bagi Y.B. Dato’ Hj. Warno bin Dogol (ADUN Sabak), penggantungan daripada perkhidmatan Dewan selama enam (6) bulan dan dipotong semua elaun serta kemudahan bulanan selama enam (6) bulan.
  2. Bagi Y.B. Tuan Mohd Isa bin Abu Kasim (ADUN Batang Kali), penggantungan daripada perkhidmatan Dewan selama enam (6) bulan dan dipotong semua elaun serta kemudahan bulanan selama enam (6) bulan.
  3. Bagi Y.B. Dato’ Marsum bin Paing (ADUN Dengkil), penggantungan daripada perkhidmatan Dewan selama enam (6) bulan dan dipotong semua elaun serta kemudahan bulanan selama enam (6) bulan.
  4. Bagi YB Dato’ Hj. Mohamed Idris bin Hj. Abu Bakar (ADUN Hulu Bernam), penggantungan daripada perkhidmatan Dewan selama enam (6) bulan dan dipotong semua elaun serta kemudahan bulanan selama enam (6) bulan.
Kampung Tunku ingin menegaskan bahawa hukuman yang dikena ke atas kelima-lima orang ADUN ini adalah berbeza dengan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas ADUN-ADUN dan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada masa yang lalu.

Saya telah meneliti Penyata Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor ini dan teleh mengetahui bahawa mesyuarat Jawatankuasa telah diadakan dan satu sesi pendengaran telah dipanggil untuk kelima-lima orang ADUN yang terlibat untuk datang membela diri sendiri.

Kesemua ADUN ini telah diwakili oleh tujuh orang peguam dan mereka telah mengemukakan bantahan. Kemudian kesemua ADUN yang terlibat itu mengambil keputusan untuk tidak membela diri.

Berbanding dengan apa yang berlaku ke atas wakil rakyat Pakatan Rakyat yang lalu, hukuman yang dikenakan ke atas mereka selalunya dilakukan dengan secara tergesa-gesa, di mana wakil rakyat yang dihukum itu selalunya tidak diberi peluang yang mencukupi untuk menghadirkan diri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan membela diri sendiri. Bagi kali ini, peluang yang seluas-luasnya telah diberi kepada mereka tetapi apa yang mengecewakan ialah kesemua ADUN ini memilih untuk tidak membela diri.

Malahan semasa pengundian dibuat, wakil induk BN di dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, YB Kuala Kubu Baru telah memilih untuk berkecuali semasa membuat keputusan dalam tujuh daripada lapan pertuduhan. Ini turut menunjukkan bahawa ADUN daripada BN sendiri pun tidak sanggup mengambil keputusan untuk menolak pertuduhan ini.

Hukuman-hukuman yang diluluskan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor ini adalah berpatutan. Seperti yang dipesan oleh Tuanku Sultan Selangor semasa majlis santapan ulang tahun ke-50 Dewan Negeri Selangor, martabat dan keutuhan Dewan Negeri Selangor perlulah dijunjung setiap masa. Setiap anggota Dewan perlulah menjalankan tugas masing-masing mengikut peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 dan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

(Akan bersambung esok...)

No comments: