Tuesday, July 14, 2009

Tetapkan tanggungjawab CSR dengan garis panduan dan dasar yang jelas dan profesional

Ucapan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San semasa membahas Usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) pada 14 Julai 2009:

Laporan yang dikeluarkan oleh SELCAT perlulah diambil dan dipandang berat oleh semua pihak bagaimana urus tadbir korporat yang tidak mantap, tidak profesional dan tidak jujur boleh memudaratkan kewangan negeri.

Laporan ini juga telah mendedahkan kelemahan-kelemahan dari segi urus tadbir korporat oleh syarikat-syarikat GLC di Selangor di mana keuntungan syarikat-syarikat dibazirkan oleh pentadbiran kerajaan negeri yang lepas sewenang-wenangnya sehinagga wang yang sepatutnya digunakan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat negeri Selangor dibelanjakan untuk kepentingan dan keselesaan diri sendiri.

CSR ditakrifkan sebagai tindakan proaktif sesebuah korporat itu untuk menjaga kepentingan awam dengan menggalakkan pembangunan masyarakat, dan secara sukarela menghapuskan segala praktis yang akan merosakkan kepentingan awam. Ini adalah takrifan secara am tetapi pelaksanaan dan pendekatan yang digunakan oleh syarikat-syarikat GLC dalam kes berhubungan BALKIS jelas berbeza dan terpesong daripada takrifan am ini sehingga GLC-GLC ini digelar sebagai “mesin ATM” kepada BALKIS.

Jumlah besar sumbangan yang diberi oleh kerajaan negeri dan anak-anak syarikat kerajaan negeri ialah RM7.3juta dari tahun 2002 hingga 2007. Rata-rata anak-anak syarikat kerajaan negeri tidak mempunyai dasar yang jelas dalam melaksanakan tugas-tugas CSR.

Satu contoh yang baik ialah PNSB, di mana PNSB memperuntukkan secara tetap setiap tahun RM1juta kepada BALKIS. Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Datin Hajah Khairiyah bt Abu Hassan pernah mengaku bahawa PNSB tetap akan member sumbangan kepada BALKIS biarpun aktiviti-aktiviti BALKIS itu hanya menguntungkan sekumpulan individu sahaja. Malahan PNSB pernah memberi sumbangan RM100,000 secara tunai kepada BALKIS. Lawatan ke Disneyland turut dibiayai oleh PNSB dan ianya seolah-olah menjadi lawatan peribadi keluarga mantan Menteri Besar.

Juga difahamkan daripada laporan hansard sesi pendengaran awam bahawa mantan Menteri Besar ADUN Sungai Panjang tidak pernah berjumpa dan berbincang dengan pakar-pakar teknikal di Disneyland, pengurusan dan pembinaan Taman Tema Disneyland serta laporan-laporan kejuruteraan.

Laporan daripada SELCAT ini juga mendedahkan bagaimana agensi-agensi kerajaan boleh dimanipulasikan oleh golongan-golongan tertentu sehingga mereka tidak dapat berfungsi dengan adil, saksama dan tidak berbelah bagi.

Kampung Tunku terkilan dengan betapa cepat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Selangor boleh membenarkan pembubaran BALKIS dengan begitu cepat, iaitu dalam masa kurang daripada sebulan.

Pengajaran yang kita dapat memperolehi daripada insiden ini ialah: Kerajaan perlu menetapkan satu sistem pelaksanaan CSR dengan profesional dengan garis panduan dan dasar yang jelas.

CSR bukan hanya setakat memberi wang, tetapi turut membantu menaik taraf golongan yang daif dan fakir miskin supaya mereka boleh berdikari. Pendidikan merupakan satu langkah penting dalam melaksanakan tanggungjawab CSR.

Syarikat-syarikat luar negara masing-masing mempunyai cara-cara pelaksanaan CSR yang lebih mantap dan profesional. Contohnya Shell melaksanakan CSRnya yang lebih ditumpukan kepada kajian terhadap perubahan cuaca serta galakan terhadap pembelajaran dan pendidikan di dunia ketiga sebagai sasaran utama CSRnya di dunia ketiga. Pelaksanaan ini melibatkan penajaan program-program penyelidikan di universiti-universiti tertentu serta program-program biasiswa dalam bidang yang boleh membantu manusia mengatasi masalah-masalah alam sekitar.

Di negara-negara barat tertentu, CSR merupakan satu aktiviti korporat yang diwajibkan dan dipantau dengan profesional, khususnya untuk korporat-korporat besar seperti di Denmark. Syarikat-syarikat yang menjalankan CSR perlu melaporkan:
• dasar-dasar CSR sesebuah syarikat itu, termasuk garis panduan yang digunakan oleh sesebuah syarikat itu dalam melaksanakan CSRnya,
• bagaimana sesebuah korporat itu menterjemahkan dasar-dasar CSRnya ke dalam tindakan secara realiti, termasuk sebarang sistem atau prosidur yang digunapakai,
• Penilaian yang dilaksanakan oleh sesebuah syarikat itu terhadap pencapaian CSRnya dalam sesuatu tahun kewangan itu serta sasaran yang bakal dicapai pada masa-masa hadapan.

Oleh itu, saya mencadang kepada kerajaan untuk meneliti perkara ini secepat mungkin sebagai tambahan kepada cadangan dan saranan yang disyorkan dalam Penyata ini supaya GLC-GLC Kerajaan Selangor dapat melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab CSR mereka dengan lebih cekap dan mantap.

No comments: