Tuesday, July 10, 2012

Ucapan penangguhan tentang masalah kekurangan tanah perkuburan di Selangor

Saya selaku ADUN Kampung Tunku dengan ini menyampaikan satu pemberitahu untuk memohon kebenaran ucapan penangguhan mesyuarat akhir persidangan di bawah Peraturan Tetap 16(2) pada 10 Julai 2012, di mana isi kandungan ucapan adalah seperti yang berikut:
“Kerajaan Selangor perlu menyelesaikan dengan cepat dan efektif masalah kekurangan tanah kubur di Selangor.

"Negeri Selangor merupakan negeri yang mengalami kadar penambahan penduduk tertinggi di Malaysia. Susulan dengan itu, keperluan rakyat Selangor terhadap tanah kubur juga antara yang tertinggi di Malaysia.

“Masalah kekurangan tanah kubur di Selangor menjadi semakin tenat disebabkan dasar kerajaan negeri lalu yang tidak tegas dalam melindungi tanah-tanah rizab kubur dan menambah caruman tanah kubur.

“Dalam satu pertemuan dengan penduduk-penduduk Petaling Jaya pada 5 Jun 2012, YAB Menteri Besar telah memberitahu bahawa caruman kepada Tabung Amanah Tanah Kubur perlu dinaikkan supaya kerajaan mempunyai wang yang mencukupi untuk mengambil tanah-tanah yang bersesuaian sebagai tanah kubur.

“Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) telah mengatakan bahawa keadaan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah antara yang paling kritikal.

Kawasan Petaling Jaya sudah tiada lagi tanah kubur yang mencukupi dan beliau juga membangkitkan dua cara penyelesaian iaitu tapak kubur setempat dan tapak kubur bersepadu untuk menyelesaikan masalah ini.

“Justeru itu, kerajaan perlu memberi perhatian khas kepada masalah ini. Salah satu cara penyelesaian terhadap masalah kekurangan tanah kubur di Petaling Jaya ialah dengan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan cara pembakaran mayat (krematorium) kerana ini sangat menjimatkan kos dan tanah.

“Persatuan Perkuburan Cina Petaling Jaya (PJCCA) telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk mewartakan krematorium mereka di Kampung Tunku sebagai rizah tanah kubur. Mereka juga memohon sebidang tanah kecil di luar bangunan mereka untuk didirikan menara habuk mayat (ash tower) untuk menjimatkan tanah.

“Malangnya, permohonan mereka telah ditolak oleh JPBD atas alasan bahawa tanah mereka bukan tanah rizab kerajaan. Tambahan lagi, JPBD juga mengatakan bahawa sudah terdapat tanah krematorium di kawasan yang sama.

“Apabila Selangor amnya dam Petaling Jaya khasnya menghadapi kesuntukan tanah kubur, alasan-alasan JPBD ini memang tidak munasabah.

“Pada masa yang sama, Persatuan Perkuburan Cina Ulu Yam Lama telah menulis untuk memohon sebidang tanah kubur yang baru. Permohonan ini sudah mengambil masa yang lama sehingga terdapat mayat yang terpaksa dikebumi atas tanah persendirian!

“Justeru itu, sementara kerajaan Selangor membuat rancangan buat jangka panjang untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan juga perlu memastikan bahawa masalah-masalah yang dihadapi oleh mesyarakat di Petaling Jaya dan Ulu Yam Lama ini diselesaikan.”

No comments: