Tuesday, July 10, 2012

BN Tetap Tidak Berubah Dengan Sikap Tamat Halobanya


[Ucapan ADUN DAP bagi kawasan Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2012 pada 9 Julai 2012 di Shah Alam]

Kampung Tunku mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pentadbiran negeri Selangor kerana mencatat kedudukan Kumpulan Wang Yang Disatukan yang tertinggi dalam sejarah Selangor di mana sehingga 30 Jun 2012, jumlah wang yang ada dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan berada pada paras RM2.1 bilion.

Perbekalan Tambahan yang perlu diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor kali ini berjumlah RM120.9 juta iaitu 7.5 peratus daripada perbekalan yang diluluskan pada tahun 2012, iaitu RM1.6 bilion.

Sepintas lalu, sebahagian besar daripada peruntukan ini dibelanjakan untuk membiayai kenaikan dan pelarasan emolumen berdasarkan Penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) di mana perbekalan sebanyak RM51.7 juta telah dibelanja untuk tujuan ini.

Sekiranya perbelanjaan ini tidak diperlukan, maka peruntukan tambahan yang perlu diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor hanya RM40.7 juta sahaja. Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai sumber-sumber kewangan yang kukuh. Ini ditambah dengan pentadbiran kerajaan yang bersih dan beramanah, maka penjawat awam di Selangor tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri mampu membayar kenaikan gaji dan emolumen sungguhpun keputusan ini dibuat oleh kerajaan persekutuan.

Selangor tidak seperti sesetengah negeri yang masih ditadbir Barisan Nasional (BN) di mana kerajaan-kerajaan negeri ini perlu meminjam daripada kerajaan persekutuan untuk membayar gaji kakitangan.

Kampung Tunku tidak ingin melihat perkara ini dijadikan isu permainan politik oleh BN di mana mereka menuduh zaman Pakatan Rakyat juga membentangkan perbekalan tambahan. Perbezaan yang paling ketara ialah kerajaan Pakatan Rakyat hanya membentangkan perbekalan tambahan jikalau adanya kenaikan pendapatan.

Bagi kerajaan persekutuan di bawah BN pula, mereka terpaksa menjual aset kerajaan, menswastakan entiti-entiti kerajaan malahan meminjam dari luar negara dengan mengeluarkan pelbagai jenis bon untuk membiayai perjalanan harian kerajaan. Alangkah sedihnya negara kita ditadbir oleh kerajaan persekutuan yang tempang dan bobrok sedemikian rupa. Dalam Bahasa Mandarin, ini disifatkan sebagai “打肿脸皮充胖子”, iaitu seseorang ini berlagak-lagak sebagai orang kaya dengan cara yang tidak realistik seolah-olah seseorang ini hendak menjadi gemuk dengan melebamkan mukanya.

Untuk empat tahun yang lalu, bukan sahaja rekod BN sebagai pembangkang di negeri Selangor menghampakan, malahan pemimpin-pemimpin BN terus terlibat dalam pelbagai skandal, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Marilah kita mengimbas kembali apa yang telah berlaku untuk empat tahun yang lalu.

Wang RM10 juta Balkis Lesap

Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) yang ditubuhkan semasa zaman Barisan Nasional telah dibubarkan tiga hari selepas PRU-12. Berikutan pembubaran ini, wang tunai sebanyak RM10 juta milik Balkis juga dipindahkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat persekutuan.

Perbuatan ini telah disoal siasat secara terbuka oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Amanah dan Ketelusan (Selcat) dan dibongkarkan lagi pelbagai penyalahgunaan wang kerajaan oleh Balkis semasa zaman BN.

Antaranya termasuk perbelanjaan sebanyak RM1.2 juta untuk membiayai lawatan-lawatan Balkis ke Disneyland Amerika Syarikat, Hong Kong dan Korea Selatan.

Pengerusi Balkis pada masa itu, iaitu Zaharah Kecik yang juga merupakan isteri Khir Toyo enggan hadir ke sessi pendengaran Selcat. Laporan polis telah dibuat terhadapnya kerana melanggar Enakmen Penghinaan Dewan Negeri Selangor tetapi polis masih belum mengambil apa-apa tindakan terhadapnya.

Banglo mewah Khir Toyo di Seksyen 7 Shah Alam

Kalau mantan ADUN Pelabuhan Klang Zakaria Mat Derus terkenal seantero dunia kerana “Istana Zakaria”, mantan Menteri Besar Selangor Khir Toyo nampaknya juga tidak ingin ketinggalan dengan “Istana Khir Toyo” di Seksyen 7, Shah Alam.

Khir Toyo dituduh menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar pada masa itu untuk mendapatkan dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd melalui pengaranya, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada tahun 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Persoalannya ialah bagaimana Khir Toyo mampu membeli rumah bernilai jutaan malah puluhan juta ini kalau tidak menyalahguna kedudukannya sebagai Menteri Besar pada masa itu?

Menteri samseng Noh Omar

Orang yang dikata-katakan sebagai calon Menteri Besar UMNO di Selangor ini juga merupakan Menteri yang terkenal dengan kuku besinya.

Antara mangsanya termasuk ADUN Sekinchan Ng Suee Lim yang ditumbuk di bahagian perut, kepala dan tangan oleh sekumpulan 30 orang pengganas di Kampung Sawah Sempadan pada tahun 2010. Antara yang menumbuk termasuk Setiausaha Politik Noh Omar, Shafiee Asmawi di mana gambar fotonya telah diserah kepada polis untuk siasatan.

Belum cukup dengan itu, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Lee Kee Hiong dan sekumpulan hadirin turut dikasari oleh kuncu-kuncu Noh Omar dalam satu majlis perasmian sekolah SJKC di daerah Hulu Langat oleh Noh Omar pada tahun 2012. Apakah kuasa yang ada pada Noh Omar sehingga beliau boleh memukul dan mengasari orang tanpa disekat polis?

Satim – peneraju semangat Sapu Malaysia

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor Satim Diman juga tidak ketinggalan sebagai individu yang pandai mengaut keuntungan mudah dengan menjual tanah kerajaan.

Tanah di Selangor Science Park 2 tersebut diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi pembangunan pendidikan sains, sebelum dijual kepada Nikmat Inai Sdn Bhd dengan harga RM5.6 juta pada tahun 2006 di mana Satim sendiri merupakan ahli lembaga pengarah dan pemegang saham terbesar dalam syarikat itu. Tanah ini kemudian dijual kepada PKNS dengan harga RM19.2 juta.

Inilah semangat Sapu Malaysia, Salam Sapu Satu Malaysia!

Peruntukan banjir tergendala akibat angkara Tee Kim Poh

Pemimpin-pemimpin BN lebih berminat dengan permainan politik daripada menyelesaikan masalah rakyat.

Rakyat Klang dibelenggu dengan masalah banjir sejak dahulu lagi. Mantan ADUN MCA Pandamaran Tee Kim Poh pernah memohon peruntukan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan persekutuan untuk projek mitigasi banjir semasa zaman BN.

Walaupun begitu, beliau menulis kepada kerajaan persekutuan untuk membatalkan permohonan ini selepas PR menjadi kerajaan Selangor. Jika regim Najib benar-benar memperjuangkan prinsip “Rakyat Didahulukan”, maka ini tidak seharusnya berlaku.

Janji tidak dikota – Jambatan Ketiga Klang

Barisan Nasional telah menabur janji kepada rakyat di Klang bahawa mereka akan membina jambatan ketiga di Klang untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Klang.

Malangnya, empat tahun sudah berlalu, janji masih janji dan masih belum dikota. Apakah UMNO dan Barisan Nasional tidak malukah apabila mereka memasang billboard dengan perkataan “Janji Ditepati” sedangkan jambatan yang mereka janjikan masih belum dibina?

Isu “round-tripping” hutang syarikat Talam kepada kerajaan Selangor

Semalam berlangsungnya debat antara Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng dengan Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek. Malangnya, perkara ini juga ditimbulkan dalam perbahasan. Isunya adalah sangat jelas, ianya langsung tidak ada kena-mengena dengan kaedah “round-tripping” ataupun cerita dongeng RM1 bilion untuk membayar Talam.

Isunya hanya satu, iaitu MCA dan Barisan Nasional, dalam segala ketandusan ideanya untuk menawan hati pengundi-pengundi Tionghua demi survival-nya, mereka terpaksa mencari sesuatu untuk mengucar-kacirkan kerajaan. Mereka ingat mereka dapat durian runtuh, mana tahu durian itu tidak berisi (以为执到死鸡,点知只鸡系发瘟鸡).

Kerajaan mendapati syarikat Talam berhutang kepada kerajaan pada tahun 2009 dan setelah berbincang dengan syarikat berkenaan, nilainya yang disahkan ialah RM392 juta, Talam perlu membayar balik wang berkenaan dalam pelbagai bentuk seperti tunai, aset, tanah dan sebagainya. Tiba-tiba MCA berkata kerajaan belanja RM1 billion untuk bail-out Talam. Angka ini kemudian terus bertukar-tukar sehingga kami keliru apakah angka yang sebenarnya? Kemudian konsep “round-tripping” ini disalah tafsir dan menjadi “double counting”.

Apa yang pelek lagi, terdapat ADUN dari MCA yang tidak berhenti-henti mengeluarkan kenyataan akhbar mengkritik kerajaan negeri dalam hal ini sedangkan mereka bisu belaka apabila perkara ini berlaku pada tahun 2009.

Perbekalan untuk pembangunan modal insan perlu ditambah

Kampung Tunku tertarik dengan tindakan kerajaan untuk memberi perbekalan tambahan kepada pembangunan modal insan di mana perbekalan sebanyak RM8.2 juta telah dibelanja untuk tujuan rekupan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor dan sejumlah RM10 juta lagi diperuntukan untuk menambahbaik infrastruktur Universiti Selangor (Unisel). Selain itu, sebanyak RM2 juta diperuntukan untuk membantu sekolah-sekolah SJKT, SJKC dan SAR untuk tujuan pembangunan.

Maka dengan itu, cita-cita murni yang tersirat di dalam perbekalan tambahan ini perlu disokong. Rata-ratanya ianya juga selaras dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat yang memberi banyak penekanan kepada pembangunan modal insan.

Justeru itu, adalah menjadi saranan saya kepada kerajaan Selangor, iaitu memandangkan terdapat peningkatan dalam prestasi kewangan, maka apa salahnya untuk kerajaan menambahkan peruntukan untuk pembangunan modal insan?

Kerajaan juga harus memberi tumpuan yang lebih kepada kursus-kursus vokasional. Inpens International College yang dimiliki kerajaan Selangor mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan pendidikan vokasional.

Sejarah telah membuktikan bahawa negara-negara yang mencapai kemahiran teknologi yang tinggi juga mempunyai system pendidikan vokasional yang kukuh. Ambil contoh negara Jepun di mana pelajar-pelajar sekolah menengah akan melalui latihan vokasional selama dua tahun sebelum diserap ke dalam system pendidikan tinggi.

Untuk negara Jerman, pendidikan vokasional juga telah diserap dalam pendidikan utama mereka dan dikendalikan oleh kerajaan, korporat dan kesatuan sekerja.

Dengan itu, Kampung Tunku mohon menyokong.

Lau Weng San

No comments: