Sunday, October 22, 2006

Zakaria yang perlu disingkir kerana salahlakunya paling serious

Majlis Mesyuarat Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor yang dipengerusi oleh Menteri Besar Selangor, YAB Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo telah memutuskan bahawa daripada tiga orang ahli keluarga Zakaria Md Deros, salah seorang mesti disingkirkan daripada senarai Ahli-ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang akan dilantik kelak.

Laporan media oleh akhbar Nanyang Siang Pao juga melaporkan sumber maklumat tertentu yang mengatakan bahawa kemungkinan Zakaria disingkirkan daripada senarai nama ini adalah amat rendah kerana beliau masih merupakan ADUN Pelabuhan Klang dan Pengerusi UMNO Bahagian Klang. Dengan itu, dijangkakan anak Zakaria, Zainuri yang terpaksa disingkirkan.

Sebenarnya, daripada ketiga-tiga orang ini, Zakaria merupakan calon yang harus disingkirkan terlebih dahulu disebabkan oleh tindakan salahlaku beliau yang paling serious.


Sebagai seorang ADUN merangkap bekas Ahli Majlis Perbandaran Klang, salahlaku Zakaria adalah cukup serious dan dapat diringkaskan dalam senarai di bawah:

Pertama, Zakaria tidak memperolehi Kebenaran Merancang daripada MPK sebelum memulakan kerja pembinaan untuk rumah mewahnya yang memakan belanja sehingga berpuluh-puluh juta di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang. Zakaria juga tidak menghiraukan notis amaran daripada MPK sehingga beliau sehingga perlu membayar kompaun maksimum sebanyak RM24,000.

Kedua, Rumah Satay kepunyaan Zakaria tidak mendapat Permit Menduduki Sementera (TOL) daripada Pejabat Tanah dan Daerah Klang. Pembinaan rumah satay itu juga tidak mendapat Kebenaran Merancang dan Lesen Perniagaan MPK.

Ketiga, Zakaria begitu ghairah dengan kedudukannya sebagai Ahli Majlis MPJ sehingga beliau boleh berhutang cukai pintu dengan MPK yang melebihi RM45,000. Hutang cukai pintu ini termasuk cukai pintu rumah kediaman Zakaria sekarang, bangunan UMNO Cawangan Kampung Idaman (yang mana Zakaria merupakan Pengerusi Cawangan berkenaan) serta bangunan UMNO Bahagian Pelabuhan Klang. Biarpun Zakaria telah menjelaskan hutang cukai pintu ini tempoh hari, tetapi beliau masih belum menjelaskan kompaun maksimumnya sebanyak RM24,000.

Keempat, kemunculan Pusat Penjaja haram di kawasan DUN Pelabuhan Klang di Taman Teluk Gedong Indah dan Pusat Penjaja ni dipercayai telah beroperasi selama beberapa bulan tanpa TOL. MPK setakat sekarang masih belum mengambil apa-apa tindakan terhadap tuan punya Pusat Penjaja ini, yang disyaki ialah Zakaria sendiri.

Jikalau UMNO memutuskan untuk mengekalkan Zakaria, sama ada keputusan ini datang daripada PM atau MB, ini hanya akan menunjukkan bahawa pihak atasan UMNO sudah kehilangan arah dalam perkara ini. Mereka tidak tahu membezakan antara betul dengan salah sehingga mereka yang jelas melakukan salahlaku yang serious masih daat dikekalkan sebagai Ahli Majlis.

Apa yang kami ingin pertanyakan ialah, jika tidak kerana kekayaan dan kekuasaan Zakaria di Klang disebabkan beliau memegang dua jawatan besar (ADUN Pelabuhan Klang dan Ahli Majlis MPK), mungkinkah Zakaria begitu angguh sehingga beliau tidak perlu menghirau dan menghormati undang-undang?

Jikalau Zakaria dikekalkan, adakah kerajaan akan memberi jaminan bahawa perkara sedemikian tidak akan berulang lagi?

Jikalau Zakaria dikekalkan, adakah ini juga bermakna bahawa sistem penyemakan dan pemantauan calon Ahli Majlis yang diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri selama ini telah gagal berfungsi kerana dalam kes ini, Zakaria yang jelas bermasalah masih dapat dilantik menjadi Ahli Majlis, asalkan dia dapt mencari seorang pengganti, iaitu samada anaknya sendiri atau menantunya, untuk menanggung segala kesilapan dan kesalahannya?

DAP Selangor bersama-sama dengan saudara-saudari DAP Klang, penduduk-penduduk Klang yang cintakan integriti serta saudara-saudari seperjuangan daripada parti yang lain akan terus berusaha untuk mendesak supaya Zakaria digugurkan daripada senarai nama itu.

No comments: