Monday, January 19, 2009

Syarikat telekomunikasi degil

KUALA LUMPUR: “Mereka masih degil,” kata Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Lau Weng San yang berang dengan sikap berlengah syarikat pemilik menara pemancar telekomunikasi di Jalan SS 3/49, Taman Subang di sini, yang belum menghantar pelan pembinaan menara baru di kawasan itu walaupun sepatutnya berbuat demikian dua minggu lalu.

Katanya, syarikat terbabit juga tidak memaklumkan mengenai sebab kelewatan menghantar pelan berkenaan sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai komitmen mereka untuk membina menara baru seperti yang dipersetujui, baru-baru ini.

“Saya pun tak tahu apa masalah mereka, tapi nampaknya syarikat itu seperti tidak bersungguh-sungguh berhubung hal ini. Dalam perbincangan bulan lalu, mereka bersetuju kemukakan pelan menara baru sebelum 5 Januari, tapi sehingga kini belum menghantarnya.

“MBPJ tidak akan berkompromi mengenai perkara ini dan sekiranya mereka gagal menyiapkan menara baru seperti dijanjikan Mac nanti, kami tidak teragak-agak untuk menghentikan operasi mereka di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro 20 Disember lalu, melaporkan mengenai tempoh dua minggu diberikan kepada syarikat pemilik menara pemancar telekomunikasi di Jalan SS 3/49, Taman Subang, Kelana Jaya di sini untuk menghantar pelan pembinaan menara baru kepada Konsortium Jaringan Selangor (KJS) sebelum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk kelulusan permit.

Lokasi menara baru juga ditetapkan mesti mempunyai ketinggian dan berkedudukan 30 meter dari kediaman penduduk selain perlu disiapkan Mac tahun ini.

Keputusan muktamad itu diputuskan dalam mesyuarat sejam setengah antara MBPJ, KJS, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), syarikat telekomunikasi terbabit dan wakil penduduk di sini, sehari sebelum itu.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Subang, Musa Abdullah, ketika dihubungi berkata, dia kesal dengan kelewatan syarikat terbabit menangani perkara berkenaan.

No comments: