Wednesday, June 11, 2008

Aduan sampah tidak dikutip di SS3

Saya telah menerima aduan daripada sekumpulan peniaga di sekitar kawasan perniagaan SS3, iaitu peniaga-peniaga yang berniaga di sekitar Jalan SS3/29, SS3/31, SS3/33, SS3/35 dan SS3/37.

Aduan ini adalah berkaitan dengan kekurangan kecekapan pengutipan sampah dan pembersihan longkang di sekitar kawasan perniagaan ini oleh Alam Flora dan kontraktor-kontraktornya.

Sebenarnya, saya telah menerima banyak aduan daripada para peniaga di sekitar ini dan saya telah cuba menyelesaikan masalah ini di peringkat saya, di mana saya dan pejabat saya telah menulis surat dan membuat aduan melalui telefon kepada Alam Flora tetapi talian bebas Alam Flora 1800 880 880 nyata tidak dapat berkesan untuk menyelesaikan masalah peniaga ini.

Antara aduan yang diterima oleh saya ialah pekerja-pekerja kontraktor Alam Flora mengambil “duit kopi” daripada para peniaga sebagai bayaran untuk mengutip sampah, khususnya sampah-sarap daripada restoran dan kedai kopi, jadual kutipan sampah yang tidak menentu menyebabkan bau busuk yang menjejaskan keceriaan alam sekitar serta longkang yang tidak dibersihkan selama beberapa tahun.

Masalah pertama adalah lebih serious di Jalan SS3/31 di mana pemilik restoran diminta membayar RM80 satu tong sebulan sebagai “duit kopi” sebelum pekerja-pekerja kontraktor yang kebanyakanya pekerja-pekerja asing sebelum mereka sanggup mengutip sampah ini. Peniaga mengadu bahawa ini adalah satu beban ekonomi yang besar kerana terdapat peniaga yang mempunyai lebih daripada satu tong.

Selain itu, penyewa-penyewa gerai di Warung Wawasan MBPJ juga tidak puas hati dengan jadual pengutipan sampah Alam Flora yang tidak menentu. Ada yang mengadu sampah hanya dikutip setiap dua hingga tiga hari. Peniaga-peniaga di sepanjang Jalan SS3/37 pula tidak puas hati dengan kontraktor Alam Flora yang tidak membersihkan longkang di hadapan kedai mereka yang penuh dengan air bertakung selama untuk beberapa tahun yang lepas.

Saya telah membuat aduan bagi pihak peniaga untuk sebulana yang lepas. Selain itu, saya turut mengajar dan meminta mereka untuk bersama-sama membuat aduan mereka. Malangnya, tiada sebarang tindakan diambil.

Saya telah menulis kepada Alam Flora untuk mendapatkan satu senarai kontraktor Alam Flora yang berkhidmat di kawasan DUN Kampung Tunku. Sebelum Alam Flora sempat menulis kepada saya, saya telah mendapat senarai itu daripada laman web Alam Flora sendiri di http://floracare.alamflora.com.my/.

Daripada laman web ini, saya mendapati bahawa kontraktor-kontraktor yang bertanggungjawab menjalankan tugas mereka di kawasan ini ialah Biopride Sdn. Bhd. dan Citywaste Disposal Sdn Bhd., di mana Citywaste Disposal hanya mengendalikan sampah sarap untuk Jalan SS3/31 manakala Biopride menguruskan sampah sarap di kebanyakkan kawasan SS3.

Saya juga telah membuat satu e-aduan semalam melalui perkhidmatan e-aduan yang disediakan di laman web tersebut.

Awal pagi ini, saya telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang pegawai Alam Flora bernama Encik Rizal 012-2887590. beliau telah menjelaskan kepada saya bahawa sampah-sarap daripada Warung Wawasan akan dikutip dan diuruskan oleh Alam Flora sendiri setiap pukul tujuh pagi. Biarpun begitu, Encik Rizal tidak bertanggungjawab terhadap pengutipan sampah-sarap dan sisa-sisa yang lain di kawasan lain.

Untuk sisa-sisa dan sampah sarap dari Warung Wawasan, Encik Rizal telah mengatakan bahawa sampah-sarap telah dikutip pada awal pagi ini. Saya berasa ini merupakan sikap yang patut ditunjuk oleh Alam Flora dan kontraktor-kontraktornya apabila mereka cekap bertindak terhadap sebarang aduan daripada pelanggan.

Saya akan menulis untuk membincangkan masalah ini di peringkat yang lebih tinggi melibatkan pengurusan tinggi Alam Flora di kawasan ini, khususnya kawasan yang terletak di bawah kedua-dua kontraktor ini, iaitu Biopride Sdn. Bhd. dan Citywaste Disposal Sdn Bhd.

Untuk makluman semua, MBPJ mempunyai rekod pembayaran bersih kepada Alam Flora dan MBPJ tiada sebarang tunggak bayaran terhadap perkhidmatan Alam Flora. Untuk itu, warga-warga MBPJ dan pembayar cukainya wajar menerima perkhidmatan berkualiti daripada Alam Flora yang terletak di bawah pengurusan Kementerian Kewangan Kerajaan Persekutuan.

Dalam sidang DUN yang lepas, saya pernah membangkitkan kualiti perkhidmatan Alam Flora yang rendah dan saya telah mencadangkan agar kontrak di antara Alam Flora dengan PBT-PBT di negeri Selangor dinilai kembali, khususnya untuk PBT-PBT yang telah menjelaskan bayaran mereka tepat masa kepada Alam Flora kerana sebagai pelanggan, PBT-PBT mempunyai hak untuk menuntut mutu perkhidmatan yang tinggi daripada Alam Flora.

Saya berharap pihak Alam Flora dapat membantu rakyat menyelesaikan masalah ini. Jikalau ianya masih tidak diselesaikan, maka saya tidak akan ragu untuk membangkitkan perkara ini di dalam sidang DUN yang akan datang dengan menamakan kontraktor-kontraktor dan pemilik-pemilik yang terlibat.

No comments: