Saturday, August 09, 2008

Mengapa tidak boleh duduk diam-diam berbincang?

Saya berasa amat terkejut dan sedih dengan perkataan-perkataan yang dikeluarkan daripada mereka yang mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Majlis Peguam Malaysia pada pagi ini yang membantah sebuah forum awam berkenaan pemelukan Islam anjuran Majlis Peguam.

Antara perkataan dan sepanduk yang ditunjukkan ialah "Hancur Bar Council", "Hidup Islam", "Batalkan Forum", "Jangan cabar Islam”, "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam", "Awas Persatuan Peguam, jangan bermain api" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Lebih mengecewakan dan mengaibkan lagi ialah laungan “babi”, “pengkhianat” dan “Balik China” juga kedengaran daripada kalangan peserta demonstrasi tersebut seperti yang dilaporkan oleh media elektronik.

Laporan Malaysiakini versi Bahasa Inggeris turut melaporkan seorang lelaki Melayu yang meneriak “I represent Umno. Stop this forum” “Don’t insult Islam” dan “You! Chinese, Indians, go to hell!”

Cara demonstrasi ini ditangani telah menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan semua rakyat Malaysia yang berfikiran wajar.

Perkataan dan sepanduk yang dibawa mereka seolah-olah menunjukkan rakyat bukan Islam sedang dan ingin mencabar Islam, di mana ini adalah tidak benar sama sekali.

Saya berasa kecewa apabila dua orang Ahli Parlimen daripada komponen parti Pakatan Rakyat (PR) iaitu Zulkifli bin Noordin (PKR – Kulim Bandar Baharu) dan Salahuddin Ayob (PAS – Kubang Kerian) mengetuai rombongan demonstrasi yang dilaporkan. Pada pendapat saya, kedua-dua mereka perlu ditegur atas tindakan mereka ini kerana demonstrasi ini telah dicemari bukan sahaja ekstremis Islam, malahan ekstremis perkauman UMNO!

Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama harus memahami kepelbagaian dalam masyarakat kita dan sama-sama bertukar fikiran untuk mencari jalan penyelesaian dengan aman, bukan melalui keganasan, perkataan-perkataan kesat atau cara-cara yang tidak bertamadun dan tidak Islam.

Saya memuji sikap Muslimat seperti Dr Mehrun Siraj dan Latheefa Koya, yang kebetulannya kaum wanita (mungkin kerana topik perbincangan ini turut melibatkan kebajikan wanita bukan Islam). Sikap mereka yang berani dan lantang menegur mereka yang tidak sopan, tidak bertamadun dan membelakangi ajaran Islam perlu dicontohi oleh mereka yang melabelkan mereka sebagai pejuang Islam.

Dialog, musyawarah, rundingan, mesyuarat atau apa bentuk perbincangan merupakan cara manusia menyelesaikan konflik secara aman dan bertamadun. Ini khususnya penting dalam sesebuah Negara majmuk seperti Malaysia. Bayangkan, jikalau kita tidak berbincang apabila kita menghadapi satu masalah atau konflik, bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah ini?

Lagipun, masalah berkenaan dengan pemelukan Islam telah mendapati perhatian daripada masyarakat Muslim dan bukan Muslim di Malaysia kebelakangan ini. Mengapakah kita semua tidak dapat duduk diam-diam dan berbincang bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah ini? Mengapakah kita perlu menutup peluang untuk bertukar fikiran?

1 comment:

raja said...

menyesal dgn mengundi calon calon racist dari PKR danPAS. arang yang di cuci dgn air mawar tetap juga arang .racist bigoot stil alive after political tsunami.MALAYSIA PATUT JADI NEGARA KOMUNIS KERANA TIDAK MEMBENARKAN RAKYAT BERSUARA!!!!!!