Thursday, August 14, 2008

Syabas perjelas isu penebangan pokok di Taman Seaport

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Langkah menebang kesemua pokok di cerun bukit di kawasan tangki air Taman Seaport, SS3 di Petaling Jaya baru-baru ini adalah perlu demi keselamatan penduduk berdekatan.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, penebangan pokok-pokok di situ dilakukan kerana pihaknya mendapati struktur cerun berkenaan tidak kuat.

"Melalui siasatan yang dilakukan, kawasan tersebut didapati telah mengalami hakisan dan runtuhan serta kewujudan pokok-pokok besar di cerun itu akan mengundang bahaya kepada para penduduk terutamanya di Jalan SS 3/51.

"Jurutera perunding yang dilantik oleh Syabas mengesahkan bahawa terdapat keperluan yang mendesak untuk memperbaiki serta menguatkan keseluruhan cerun di kawasan tapak tersebut.

"Kaedah yang digunakan ialah soil nailing, menaik taraf sistem perparitan, memotong pokok di cerun serta menanam rumput bagi menutupi permukaan cerun tersebut," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai aduan penduduk yang tidak berpuas hati dengan tindakan Syabas memotong pokok di cerun bukit kawasan tangki air di Taman Seaport.

Penduduk mendakwa, tindakan Syabas itu telah menghapuskan kawasan hijau serta memusnahkan habitat beberapa jenis haiwan termasuk burung helang, tupai dan monyet.

Abdul Halem berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan menerusi dua pucuk surat bertarikh 13 April dan 26 Mei lalu.

Syabas juga, ujar beliau, telah mengadakan empat sesi perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan penduduk sepanjang pelaksanaan kerja pembaikan tersebut bagi menerangkan keadaan cerun serta kaedah pembaikan di kawasan itu.

Menurutnya, pada peringkat awal, Syabas memang bercadang untuk melakukan pemotongan pokok-pokok secara berpilih tetapi menukar keputusan itu selepas mendapat saranan daripada jurutera perunding.

"Setelah mengambil kira keselamatan penduduk dan juga saranan daripada jurutera perunding, penebangan keseluruhan pokok yang kebanyakannya berumur di antara 10 hingga 25 tahun di kawasan cerun berkenaan adalah perlu kerana didapati pokok-pokok itu telah reput dari dalam dan hanya menunggu cuaca lembap seperti hujan serta angin kuat bagi menumbangkannya.

"Pokok-pokok itu juga berisiko membahayakan keselamatan para penduduk di kawasan terlibat memandangkan jaraknya adalah kira-kira lima hingga 10 meter dari rumah-rumah penduduk," jelasnya.

Mengenai penebangan pokok-pokok di kawasan yang kurang curam, beliau berkata, Syabas berpendapat bahawa langkah mencegah adalah lebih baik sebelum berlaku runtuhan cerun dan pokok tumbang yang akan membahayakan struktur bekalan air serta penduduk setempat.

"Oleh demikian, cerun yang pada pandangan penduduk tidak bahaya juga telah diperkukuhkan untuk faedah jangka masa panjang," katanya.

Abdul Halem memaklumkan seluruh kawasan itu termasuk daun dan batang pokok telah dibersihkan dan pagar sementara telah dipasang.

Menurutnya, keseluruhan kawasan cerun yang telah diperkukuhkan itu akan ditanam semula dengan rumput bagi menghijaukan kembali kawasan itu setelah semua kerja-kerja selesai.

"Penanaman semula pokok di cerun itu tidak digalakkan kerana kedudukannya yang tidak sesuai dan tidak akan membantu mengukuhkan tebing kerana akarnya tidak boleh mencengkam kuat.

"Sekiranya kerja-kerja pembaikan tersebut tidak dilakukan dalam masa terdekat, risiko berlaku kejadian runtuhan adalah besar walaupun penduduk mendakwa tidak pernah berlaku runtuhan," katanya.

No comments: