Dipetik daripada laman web Sinar Harian
SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi maklum balas kedudukan terkini dakwaan salah laku pegawai kanan kerajaan negeri.
Ketua DPPNS, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, salah laku tersebut berkaitan pemberian kontrak oleh Pejabat Kewangan Negeri kepada kontraktor pilihan mereka bagi kerja membina dan membaiki longkang untuk Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Menurutnya, desakan tersebut susulan memorandum yang dihantar kepada Abdul Khalid dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Khim semasa sidang dewan lalu untuk siasatan dan tindakan sewajarnya.
“Memandangkan belum ada tindakan yang diambil pihak berwajib, maka sekali lagi DPPNS mendesak agar pejabat Menteri Besar memberi maklum balas mengenai kedudukan terkini perkara tersebut.
“Perkara ini telah ditimbulkan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San dalam perbahasan Bajet kali ini,” katanya.
Hasbullah berkata, DPPNS amat prihatin tentang hal berkaitan dengan amanah, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan Kerajaan Negeri terutamanya melibatkan kewangan dan pengurusan projek pembangunan melibatkan agensi Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, DPPNS juga sentiasa mengikuti perkembangan dalam hal-hal sedemikian dan mengambil tindakan yang wajar setakat yang difikirkan munasabah.
No comments:
Post a Comment