[Ucapan semasa membahas Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor]
Perkara pertama yang saya ingin bangkitkan di sini ialah masalah sosial yang dihadapi oleh golongan minoriti di Selangor – masyarakat India.
Masalah sosial seperti kadar pengangguran tinggi di kalangan pemuda-pemudi India, taraf pendidikan yang rendah serta pendapatan isirumah yang rendah dan masalah-masalah lain yang dihadapi oleh masyarakat India sehingga sekarang masih belum dapat diselesaikan.
Pada tahun lalu, mesyarakat Selangor dikejutkan dengan percubaan membunuh diri oleh kakak mendiang R. Surendran yang ditembak mati polis di Taman Klang Utama, sekaligus mendedahkan masalah sosial India di Selangor yang memerlukan perhatian khas Kerajaan Negeri.
R. Surendran bersama-sama dengan lima orang suspek jenayah berketurunan India mati ditembak polis di Taman Klang Utama. Polis mendakwa kelima-lima mereka yang berusia 17 hingga 30 tahun adalah anggota geng 'PCO Boy', yang terlibat dalam beberapa kejadian rompakan.
Kakak kepada mendiang R. Surendran cuba membunuh diri dengan minum racun atas kesedihan yang amat sangat selepas kehilangan adiknya yang mati ditembak polis. Wanita berkenaan dikatakan turut memberi minum racun itu kepada empat orang anaknya.
Kejadian ini sekali lagi menunjukkan betapa seriousnya masalah sosial yang melanda masyarakat India di Selangor. Kerajaan harus melihat masalah ini sebagai masalah yang kita hadapi dan tidak melihat ia sebagai masyarakat orang India sahaja. Ini sama juga dengan masalah sosial yang sedang dihadapi dengan pemuda-pemudi Melayu yang terjerumus dengan gejala Mat Rempit dan Mat Minah.
Masalah-masalah sosial ini akan terus mengugat ketenteraman dan kestabilan sosial negeri Selangor. Jikalau ianya dibiarkan berpanjangan, ianya akan memberi impak jangka panjang terhadap prestasi ekonomi Selangor.
Justeru itu, Kerajaan Negeri perlu melakukan sesuatu untuk membangunkan masyarakat ini dengan memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran sosial.
Selain daripada peruntukan untuk membantu SJKT, peruntukan kepada kuil dan institusi-institusi kebudayaan India, satu pendekatan yang lebih efisyen diperlukan agar dapat menghasilkan satu lonjatan kuantum (quantum leap) dalam menaik-taraf kehidupan masyarakat ini.
Pendidikan merupakan satu aspek penting dalam membina modal insan yang berkualiti tinggi. Saya menggesa kerajaan supaya mempercepatkan proses pemberian tanah kepada SJKT di Selangor untuk membina sekolah mereka. Selain itu, kerajaan turut boleh membuat pewartaan kepada SJKT-SJKT yang ada di Selangor supaya sekolah-sekolah ini tidak terus hilang apabila estet atau ladang dibersihkan untuk pembangunan.
Kerajaan tidak harus lupa fakta bahawa lebih setengah daripada pekerja-pekerja ladang dan estet di negeri Selangor terdiri daripada warga asing. Mungkin pada masa dahulu mereka ini kebanyakkannya terdiri daripada warga India tetapi ianya sudah berubah dalam masa sepuluh tahun yang lalu.
Kini pekerja-pekerja ini telah berhijrah ke kawasan bandar. Saya masih ingat terdapat seorang penduduk India di flat Impian Baiduri, DUN Taman Medan yang datang ke pejabat saya untuk bantuan kebajikan. Saya dapat mengenal beliau kerana beliau sering datang ke pejabat saya. Walaupun beliau merupakan penduduk di Impian Baiduri, tetapi beliau berasal dari Ijok dan merupakan pengundi di DUN Ijok, iaitu kawasan YAB Menteri Besar sendiri. Beliau menghadapi masalah untuk menghantar anaknya ke sekolah kerana beliau menganggur sedangkan anaknya amat cemerlang dari segi akademik.
Saya pasti kepincangan sedemikian rupa juga berlaku kepada urban poor yang lain dan saya menggesa kerajaan untuk mengkaji keberkesanan Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang.
Saya sempat membaca tentang beberapa program yang telah dilaksanakan di bawah tabung ini seperti
1. Bantuan Biasiswa (One-Off) kepada anak pekerja ladang
2. Program Kemahiran Teknikal di Kolej INSPENS
3. Program Kelas Tambahan Sekolah Tamil di Ladang Negeri Selangor
4. Program-program peningkatan pembelajaran untk anak-anak pekerja ladang
5. Program usahasama dengan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang membantu meningkatkan pembelajaran anak-anak pekerja ladang.
6. Bantuan kewangan untuk Sekolah-Sekolah Tamil di Ladang
7. Subsidi Tambang Bas Sekolah
8. Program penyerahan sumbangan/ hadiah kecemerlangan UPSR untuk anak-anak pekerja ladang.
Pada pendapat saya program-program di bawah Tabung ini perlu dirancakkan dan disemarakkan supaya rakyat mengetahui tentang program-program yang dijalankan ini. Selain itu saya menggesa kerajaan untuk memberi nama baru kepada tabung ini memandangkan kebanyakkan golongan bawahan masyarakat India sudah berhijrah ke kawasan bandar, maka saya melihat adalah perlu untuk kerajaan menukarbentuk Tabung ini supaya kebajikan golongan yang saya maksudkan ini terbela.
Saya turut meminta Jawatankuasa Membanteras Masalah Sosial yang didirikan di bahawa portfolio pembangunan insan untuk menilai kembali keberkesanan program-program yang dirancang dengan membekalkan secara bertulis kepada Dewan Yang Mulia ini senarai program yang telah dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah sosial di kalangan masyarakat India.
Masalah kemiskinan bandar
Saya juga meminta kerajaan untuk meninjau cadangan sama ada mungkin kita menyerap golongan ibu tunggal dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan untuk berkhidmat dengan PBT secara kontrak sebagai pembersih bangunan, jalan dan longkang yang diuruskan/dimiliki oleh PBT.
Daripada membayar wang berjuta-juta ringgit kepada Alam Flora yang seringkali dikritik, mengapa PBT tidak mengambil golongan ini dengan membayar gaji terus-menerus kepada mereka tanpa melalui kontraktor? Ini akan mengurangkan kebergantungan PBT kepada Alam Flora, mengurangkan perbelanjaan PBT dan sekaligus meningkatkan taraf hidup golongan ibu tunggal dan kelas bawahan.
No comments:
Post a Comment