[Ucapan semasa membahas Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor]
Pembangunan modal insan di Selangor harus mengambil kira penarikan balik golongan cendekiawan untuk berkhidmat di Malaysia amnya dan Selangor khasnya.
Untuk tahun 2011, kerajaan telah memperuntukkan RM7.8 juta untuk 390 program, latihan dan kursus di bawah Jawatankuasa Tetap pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.
Perkara pertama yang saya ingin sentuh ialah koleksi buku di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) perlu diperbanyakkan dan dipelbagaikan. Koleksi buku berbahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin masih berada dalam peratusan yang sangat rendah dan PPAS perlu menggiatkan usahanya untuk menambahkan koleksi bukunya dalam bahasa-bahasa lain. Saya mencadangkan PPAS untuk mengadakan program anjuran bersama dengan NGO, JKKK dan lain-lain.
Saya turut berasa gembira dengan beberapa perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara UNISEL dengan beberapa universiti-universiti terkemuka di dunia.
Namun begitu, kerjasama ini tidak harus setakat menandatangani perjanjian persefahman dan perlanjutan pengajian mahasiswa-mahasiswi UNISEL ke universiti-universiti ini yang memang terkenal dengan ilmu teknikalnya, malahan UNISEL harus bersaing dengan unversiti-unversiti terkemuka ini dan membandingkan diri dengan mereka.
Saya berharap UNISEL dapat mengambil bahagian dalam kajian-kajian yang dijalankan oleh badan-badan akademik antarabangsa supaya UNISEL dapat mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada padanya agar UNISEL dapat berkembang menjadi sebuah universiti teknikal yang berprestij di persada antarabangsa.
Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mengambil langkah proaktif bersama-sama dengan kerajaan persekutuan untuk menarik balik profesional warga Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk kembali berkhidmat di Malaysia dan Selangor khasnya.
Untuk rakyat Malaysia/anak Selangor yang telah berhijrah ke luar negara, kita tidak harus berputus asa kerana saya percaya kita masih boleh menggunakan jaringan network yang ada pada mereka untuk menarik pelaburan ke Malaysia dan Selangor khasnya.
Cadangan saya ini sebenarnya diambil daripada negara jiran Singapura yang telah mengadakan satu jaringan antara sektor swasta dan awam di Singapura dengan rakyat Singapura yang telah berhijrah ke luar negara. Malahan satu laman web http://www.majulahconnection.com/ telah diadakan untuk memainkan peranan ini. Justeru itu, saya menggesa Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan dan jawatankuasa Tetap Pelaburan untuk mengkaji cadangan ini.
No comments:
Post a Comment