[Ucapan semasa membahas Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor]
Walaupun kempen tanpa beg plastik telah dilancarkan oleh kerajaan negeri pada tahun lalu, tetapi masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian.
Penggunaan beg plastik masih popular di kalangan pembeli. Justeru itu, adalah perlu untuk kerajaan negeri memperluaskan kempen ini ke pasar-pasar yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Semasa program ini dilancarkan pada awal tahun 2010, kerajaan berkata satu kajian akan dijalankan selepas enam bulan kempen ini dilancarkan berdasarkan maklum balas daripada para peruncit.
Terdapat juga cadangan supaya para peniaga akan dikenakan syarat di mana mereka yang tidak mengambil bahagian dalam kempen ini tidak akan dapat memperbaharui lesen perniagaan mereka dengan PBT.
Saya berpendapat bahawa sebelum kita tergesa-gesa melaksanakan dasar ini, satu kajian teperinci perlu dilakukan tentang keberkesanan kempen ini, iaitu setakat mana kempen ini telah membantu mengurangkan penggunaan beg plastik di negeri Selangor. Jika tidak, kita tidak akan tahu sejauh mana kempen ini telah membantu kerajaan negeri mengurangkan penggunaan beg plastik.
Selain itu, perlunya ketelusan dalam pengurusan tabung yang disumbangkan oleh 20 sen setiap satu beg plastik yang dibayar para pembeli setiap hari Sabtu.
Sehingga sekarang, rakyat negeri Selangor tidak dimaklumkan tentang ke mana perginya wang 20 sen setiap satu beg plastik yang dibayar dan saya menggesa kerajaan negeri untuk membuat pengumuman dari semasa ke semasa tentang wang yang dibayar oleh para pembeli.
Secara keseluruhannya, kempen tanpa beg plastik merupakan satu dasar yang baik daripada kerajaan Selangor. Walaupun begitu, kelemahan-kelemahan yang terdedah semasa pelaksanaannya, seperti apa yang saya terangkan sebentar tadi, perlu diperbetulkan dengan segera.
Kerajaan juga harus menggalakkan penghasilan beg plastik yang boleh dibiodegradasi. Buat masa sekarang, beg-beg plastik yang mesra alam sekitar ini hanya diguna oleh pasaraya-pasaraya besar sahaja manakala peniaga-peniaga kecil masih menggunakan beg-beg plastik yang kurang mesra alam sekitar atau lebih teruk lagi, langsung tidak mesra alam sekitar.
Maka saya menggesa kerajaan untuk meninjau cara-cara yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan penggunaan beg-beg plastik yang mesra alam sekitar dan mengurangkan atau mengharamkan penggunaan beg-beg plastik yang langsung tidak mesra alam sekitar.
Kerajaan juga perlu lebih kreatif dan mencontohi kerajaan-kerajaan tempatan di luar negara. Apa yang boleh dicontohi ialah kerajaan tempatan mempelopori kempen ini dengan mengeluarkan beg-beg plastik mesra alam sekitar dan disyaratkan untuk digunakan oleh peniaga-peniaga di kawasan pentadbirannya. Beg-beg plastik ini juga boleh digunakan untuk membungkus sampah dan mana-mana beg sampah yang tidak dibungkus oleh beg plastik khas ini tidak akan dikutip. Saya percaya kos beg plastik mesra alam sekitar ini akan berkurang jikalau ianya dapat dihasilkan dan digunakan secara pukal di bawah kawalan PBT.
No comments:
Post a Comment