Sunday, November 03, 2013

ADUN Kampung Tunku Menemani Anak-anak Yatim Meraikan Hari Perayaan Di Kidzania

PETALING JAYA 3 November 2013: ADUN Kampung Tunku Lau Weng San hari ini menemani sekumpulan 17 orang anak yatim daripada Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Mata Air Kehidupan dari Bukit Sentosa, Rawang untuk meraikan Hari Deepavali sambil beriang-ria di Kidzania, Mutiara Damansara hari ini.

Program ini dianjurkan oleh sekumpulan 19 orang sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini melalui kutipan derma daripada orang ramai.

Menurut wakil kepada kumpulan ini, Cik Tang Kae Sue, program ini merupakan inisiatif kumpulan ini untuk membawa perubahan kepada anak-anak yatim ini melalui pendedahan mereka kepada dunia kerjaya melalui permainan “role play” di Kidzania.

“Ini adalah untuk membantu mereka memikirkan masa depan mereka dengan memberi satu gambaran tentang kerjaya yang mereka berminat nanti.”

Beliau juga mengatakan bahawa mereka hanya memilih rumah-rumah kebajikan yang terletak jauh dari bandar-bandar besar dan tidak menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan sebelum ini untuk terlibat dalam projek ini.

Kumpulan ini percaya mereka boleh membawa perubahan kepada masyarakat melalui konsep L.E.A.D.E.R.S. iaitu konsep “Love, Excellence, Accountability, Do Not Give Up, Enthuasism, Risk Taking and Support”.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San juga member sumbangan kemasyarakatan sebanyak RM2,500 kepada rumah kebajikan. Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri Selangor melalui kolej INPENS telah menawarkan banyak kursus-kursus vokasional yang diiktiraf oleh kerajaan kepada pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang ini.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Mata Air Kehidupan boleh menghubungi Pengetuanya Encik Abel Benjamin melalui nombor telefon 03-60571837, 016-2971093 atau melalui emel mataairkehidupan@ymail.com. Alamat rumah kebajikan ini ialah No. 59, Jalan Daisi 7, BS2, Bukit Sentosa, 48300 Rawang.

No comments: