Thursday, November 21, 2013

LESEN PERNIAGAAN TERHADAP KLIA, LCCT, KLIA2 DAN PEMILIK-PEMILIK KONSESI TOL LEBUH RAYA

Saya telah bertanya satu soalan lisan terhadap barisan Eksekutif pagi tadi tentang isu lesen perniagaan dan cukai taksiran oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) terhadap kedai-kedai yang beroperasi di KLIA, KLIA2 dan LCCT serta pemililk-pemilik konsesi tol.

Soalan saya adalah seperti di bawah:

TAJUK : LESEN PERNIAGAAN TERHADAP KLIA, LCCT, KLIA2 DAN PEMILIK-PEMILIK KONSESI TOL LEBUH RAYA

30. Bertanya kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar:
a) Adakah kerajaan akan mengenakan cukai pintu dan lesen perniagaan terhadap premis perniagaan dan tred yang dijalankan di KLIA, LCCT, KLIA2 dan pemilik-pemilik konsesi tol lebuh raya?
b) Jika ya, mengapakah ini tidak dilakukan pada masa dahulu dan hanya dilakukan pada masa sekarang?
c) Dijangka berapa banyak yang dapat dikutip oleh setiap PBT jikalau ini dilaksanakan? Sila beri angka mengikut PBT.

Berikut ialah jawapan daripada EXCO:

"a) Pihak MPSepang telah melesenkan premis-premis bagi aktiviti perniagaan dan tred bermula pada tahun 1998. Walau bagaimanapun, pihak MPSepang tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi konsesi tol lebuh raya.

Pihak Majlis telah mengenakan cukai taksiran ke atas semua bangunan – bangunan di dalam kawasan 10km x 10km KLIA Sepang iaitu sebanyak 28 unit.

Bagi bangunan – bangunan milik Kerajaan Persekutuan juga turut dikenakan caruman membantu kadar (CMK). Jumlah CMK yang di sumbang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM511,896.67 untuk 7 unit bangunan.

Manakala, 4 unit bangunan – bangunan milik pemegang konsesi lebuh raya juga telah dikenakan cukai bagi taksiran. Jumlah keseluruhan kenaan cukai bagi KLIA dan pemegang konsesi lebuh raya adalah sebanyak RM11,278,823.01 setahun.

b) Cukai pintu dan lesen perniagaan telah dikuatkuasakan oleh MPSepang di KLIA, LCCT, KLIA2 sejak bangunan – bangunan ini siap dibina dan mendapat CFO mengikut peraturan/ undang – undang sedia ada. Cukai taksiran dan lesen perniagaan telah mula dikenakan di KLIA sejak 1998 dan seterusnya berperingkat – peringkat mengikut tarikh bangunan – bangunan ini siap dan operasi perniagaan dimulakan.

c) Pihak Majlis telah mengenakan cukai taksiran kepada pemegang konsesi lapangan terbang di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan Low Cost Carrier Terminal (LCCT) iaitu Malaysia Airport Berhad bermula tahun 2001. Senarai pegangan bercukai adalah seperti di Lampiran A.

Pihak Majlis juga telah mengenakan cukai taksiran terhadap konsesi Tol seperti SKVE HOLDINGS untuk lebuh raya SKVE,MAJU EXPRESSWAY untuk Lebuh raya MEX, PROJEK LEBUHRAYA USAHASAMA BERHAD untuk lebuh raya ELITE dan Lebuh raya Utara Selatan. Senarai pegangan bercukai adalah seperti di Lampiran B.

Bagi KLIA2 yang dijangkakan beroperasi pada bulan Mei 2014 pihak Majlis mengunjurkan pendapatan hasil cukai sebanyak RM 2 juta setahun."

Saya telah bertanya apakah sebabnya MPSp tidak mengenakan bayaran lesen perniagaan terhadap pemilik-pemilik konsesi tol di kawasan pentadbirannya sedangkan PBT-PBT yang lain di Selangor seperti Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mula melesenkan pemilik-pemilik konsesi tol di kawasan pentadbiran masing-masing mulai 1 Januari 2014.

Jawapan yang diberi ialah Undang-undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred dan Perniagaan MPSp tidak memasukkan pemilik-pemilik konsesi tol dalam skop perlesenan dan ini boleh dilakukan apabila UUK ini diseragamkan di seluruh Selangor pada tahun depan.

Post a Comment