Wednesday, November 27, 2013

Ucapan Perbahasan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2014 oleh ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku Lau Weng San pada 27 November 2013 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam

P.01 Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan – RM 309,419,660.00
Rumah Ibadat Selain Islam – RM 3,000,000.00
Pembangunan Kampung – RM 14,500,010.00 (Termasuk Kampung Baru – RM 5,000,000.00)
Pembangunan Pendidikan – RM 26,000,000.00

1. Kerajaan Selangor telah mengetengahkan semangat “Go Rural” di mana pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar akan diberi perhatian khusus oleh kerajaan Selangor. Sejajar dengan semangat ini, maka saya berasa peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan di atas harus ditambah di mana penambahan ini harus digunakan di kawasan luar bandar.

2. Sebahagian peruntukan harus diguna untuk memperbaiki dan menaiktaraf Dewan Orang Ramai di kawasan kampung. Kerajaan boleh meminta maklum balas daripada JKKK dan Penghulu dan merumuskan perbelanjaan yang diperlukan.

Infrastruktur Asas Pihak Berkuasa Tempatan – RM 2,000,000.00

3. Salah satu usaha untuk merangsang ekonomi negara adalah dengan merangsangkan aktiviti perniagaan di peringkat akar umbi seperti penjaja dan peniaga kecil-kecilan. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Selangor harus memberi penekanan kepada semua gerai makanan, medan selera, pasar-pasar awam yang dimiliki dan diselenggara oleh PBT.

Pengurusan Sisa Pepejal Pulau Ketam – RM 408,000.00

4. Boleh pertimbangkan penggunaan sistem “waste to energy”. Pulau Ketam mempunyai populasi sebanyak 10,000 orang. Sama seperti kampong-kampung bagan yang lain, masalah sisa pepejal merupakan masalah besar kepada penduduk di Pulau Ketam di mana ini telah menjejaskan imej Pulau Ketam sebagai sebuah destinasi pelancongan di Selangor. 5. Pada masa yang sama, Pulau Ketam perlu bergantung kepada bekalan elektrik dari tanah besar, oleh itu sistem “waste to energy” ini merupakan sesuatu yang boleh dilaksanakan sebagai satu projek perintis atau “pilot project”.

P.12 Jabatan Kerja Raya – RM 121,000,000.00

6. Masalah kesesakan trafik dan kerosakan jalan di sekitar Pelabuhan Klang semakin runcing sehingga menyebabkan kerugian RM432 juta setahun mesti diberi perhatian serious dan tindakan segera perlu diambil.

7. Ini berikutan laporan media pada 23 November 2013 tentang rintihan Persatuan Haulier Malaysia tentang masalah kesesakan lalu lintas dan kerosakan jalan di sekitar Pelabuhan Klang yang semakin meruncing sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM36 juta sebulan atau lebih kurang RM432 juta setahun.

8. Persatuan Haulier Malaysia telah membawa perhatian media terhadap tentang keadaan jalan raya dan kesesakan lalulintas yang sangat teruk disebabkan kerja-kerja pembinaan di Jalan Kem. Disebabkan kekurangan kordinasi dan perbincangan dengan para pengusaha haulier, produktiviti merosot 20 peratus sejak Oktober 2013, manakala kos diesel meningkat 20 peratus.

9. Secara puratanya, perolehan keseluruhan syarikat pengangkutan meliputi 5,000 orang pemandu lori adalah sebanyak RM225 juta sebulan, tetapi bulan lalu telah merosot sebanyak RM36 juta disebabkan masalah berkenaan.

10. Disebabkan projek pembinaan tersebut mengambil masa setahun untuk disiapkan, maka syarikat pengangkutan dijangka mengalami kerugian hampir mencecah RM432 juta setahun jika tiada sebarang tindakan diambil.

11. Sememangnya ini akan menjejaskan kegiatan ekonomi bukan sahaja di Pelabuhan Klang tetapi di seluruh Lembah Klang.

12. Keadaan jalan yang teruk dan lalulintas yang sesak di sekitar Pelabuhan Klang memang selalu dikritik orang ramai berikutan jalan-jalan yang diurus Jabatan Kerja Raya (JKR) ini kurang diselenggara selama ini sehingga Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Kerajaan Negeri terpaksa menggunakan dananya yang terhad untuk membaikpulih jalan-jalan yang rosak.

13. Walaupun projek penyelenggaraan jalan tersebut amat diperlukan tetapi ianya memerlukan perancangan yang lebih rapi dan teratur untuk meminimakan kerugian dan kacau ganggu yang mungkin terhadap terhadap pengguna-pengguna jalan raya.

P.13 Jabatan Pengairan dan Saliran – RM 45,000,000.00

14. Pihak Eksekutif memperuntukkan RM21 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pengurusan banjir bagi tahun 2014. Peruntukan ini sebenarnya telah merosot daripada RM27 juta untuk tahun 2013. Saya meminta supaya alasan diberi terhadap pengurangan ini

15. Saya ingin mengulangi seruan daripada BBC agar peruntukan sekurang-kurangnya RM100 juta diberi kepada JPS untuk menangani masalah banjir ini wajar dinaikkan dan masalah produktiviti yang dihadapi oleh JPS bukan sahaja perlu dipandang serious tetapi diselesaikan secepat mungkin dengan apa cara sekalipun yang boleh mempercepatkan produktiviti JPS.

P.16 Jabatan Perancangan Bandar dan Desa – RM 2,500,000.00

16. Pembangunan semula bandar berdasarkan konsep TOD – Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah membelanjakan lebih daripada RM200,000 hanya untuk mengadakan satu forum tentang TOD. Pembayar cukai ingin bertanya apa yang telah diperlajari oleh Kerajaan Negeri dan PBT melalui forum ini dan apakah pelan tindakan yang akan dijalankan untuk melaksanakan TOD bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan warga kota?

17. Berkenaan dengan perancangan lalulintas di Selangor, pihak Eksekutif mengumumkan bahawa Majlis Pengangkutan Awam Selangor atau Selangor Public Transport Council telahpun ditubuhkan. Soalan seperti di bawah timbul dan Kampung Tunku meminta kerajaan memberi jawapannya semasa membuat penggulungan nanti: a. Siapa yang menganggotai Majlis Pengangkutan Awam Selangor? b. Berapa kali Majlis ini sudah bermesyuarat? c. Apakah rasionalnya untuk Majlis ini menjalankan kaji selidik di kawasan SUK dan bukannya tempat-tempat yang lain? d. Apakah rancangan dan pelan tindakan Majlis ini pada masa depan?

18. Kekurangan Tanah Perkuburan Di Selangor – Kerajaan Selangor perlu menyelesaikan dengan cepat dan efektif masalah kekurangan tanah kubur di Selangor. Negeri Selangor merupakan negeri yang mengalami kadar penambahan penduduk tertinggi di Malaysia. Susulan dengan itu, keperluan rakyat Selangor terhadap tanah kubur juga antara yang tertinggi di Malaysia.

19. Masalah kekurangan tanah kubur di Selangor menjadi semakin tenat disebabkan dasar kerajaan negeri lalu yang tidak tegas dalam melindungi tanah-tanah rizab kubur dan menambah caruman tanah kubur.

20. Dalam satu pertemuan dengan penduduk-penduduk Petaling Jaya pada 5 Jun 2012, YAB Menteri Besar telah memberitahu bahawa caruman kepada Tabung Amanah Tanah Kubur perlu dinaikkan supaya kerajaan mempunyai wang yang mencukupi untuk mengambil tanah-tanah yang bersesuaian sebagai tanah kubur.

21. Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) telah mengatakan bahawa keadaan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah antara yang paling kritikal.

22. Kawasan Petaling Jaya sudah tiada lagi tanah kubur yang mencukupi dan beliau juga membangkitkan dua cara penyelesaian iaitu tapak kubur setempat dan tapak kubur bersepadu untuk menyelesaikan masalah ini.

23. Sehubungan itu, saya ingin bertanya apakah perkembangan terkini projek tanah perkuburan bersepadu? Dijangka bila lagi tanah perkuburan ini boleh diguna? Sementara itu, apakah strategi yang diguna untuk mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan ini?

24. Kampung Tunku memohon supaya perkara-perkara yang dibangkitkan di sini akan dijawab oleh pihak Eksekutif.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

Post a Comment