Sunday, November 03, 2013

Kolej INPENS member peluang kepada pelajar-pelajar miskin untuk menerima pendidikan vokasional

Kerajaan Negeri Selangor melalui Kolej Antarabangsa INPENS (Industri Perindustrian Negeri Selangor) bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar dari keluarga miskin untuk menerima pendidikan teknikal dan vokasional dengan bayaran yuran yang lebih rendah.

Disebabkan keperluan industri yang semakin meningkat terhadap tenaga kerja yang mahir dalam bidang vokasional, INPENS ditubuhkan pada tahun 1993 sebagai satu institusi untuk melengkapkan pendidikan formal negara.

Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sekumpulan 19 orang sukarelawan yang menolong menganjurkan program "Wow Day! @Kidzania Kuala Lumpur" di mana mereka telah membawa sejumlah 17 orang kanak-kanak dan remaja dari Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Mata Air Kehidupan dari Bukit Sentosa, Rawang untuk melawat ke Kidzania pada cuti Deepavali ini.

Melalui 19 orang sukarelawan ini, saya telah dimaklumkan bahawa anak-anak yang kurang bernasib baik ini mempunyai peluang yang cerah untuk mengecapi kerjaya yang lebih menjamin sekiranya mereka diberi pilihan untuk menerima pendidikan vokasional.

Selain daripada melanjutkan pelajaran ke IPT-IPT, iaitu melalui cara formal, pelajar-pelajar yang tidak mempunyai keputusan SPM yang cemerlang tetapi berminat dalam bidang vokasional sebenarnya boleh melanjutkan pelajaran mereka di Kolej INPENS.

Pada tahun 2011 sahaja, Kerajaan Negeri Selangor telah menyumbang RM1,532,700 juta bagi menampung yuran kemasukan 234 orang pelajar-pelajar baru ke Kolej Inpens. Sumbangan ini merupakan pembiayaan sepenuhnya untuk yuran akademik dan hostel termasuk wang saku.

Sumbangan ini telah diberi kepada 101 pelajar Melayu, 100 orang pelajar India dan 33 orang pelajar Cina untuk mengikuti kursus-kursus vokasional dalam bidang automotif mekanik, pendawaian letrik, penghawa dingin, komputer, kecantikan dan dandanan rambut untuk tempoh 1 hingga 3 tahun. Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga memberi bantuan kepada anak-anak pekerja ladang untuk meneruskan pendidikan vokasional mereka di INPENS.

Dengan memberikan peluang belajar dalam bidang vokasional pelajar-pelajar ini akan mempunyai kemahiran khas bagi memudahkan mereka untuk mendapat peluang pekerjaan apabila telah menamatkan kursus yang diambil. Majikan-majikan sekarang ini memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran vokasional dan ini dapat menjaminkan pendapatan yang lebih baik kepada pelajar-pelajar.

Dengan mendapat pekerjaan yang stabil dengan pendapatan yang lebih baik akan dapat membantu taraf kewangan keluarga yang kebanyakannya dari anak-anak pekerja ladang dan berpendapatan rendah. Dengan ini objektif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan taraf kemiskinan rakyat Selangor akan dicapai.

Kebaikan-kebaikan yang lain termasuk:
• Kolej Antarabangsa INPENS tidak mengenakan apa-apa kuota perkauman;
• Yuran pengajiannya jauh lebih murah daripada kolej-kolej swasta yang menawarkan kursus yang sama; 
• Semua kursus vokasionalnya diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia dan pelajar-pelajar yang cemerlang akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Contohnya kursus Wireman INPENS dijalankan sejajar dengan Akta dan Peraturan Bekalan Elektrik) dan sijilnya dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Pelajar-pelajar yang berjaya akan dianugerah Sijil Pendawai Elektrik Fasa Tunggal dengan Endorsan Pengujian (PW2); dan
• Kolej INPENS mempunyai hubungan kerjasama dengan beberapa syarikat besar seperti Proton, Perodua, Toyota dan Institute of The Motor Industry (M) United Kingdom.

Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang INPENS di http://www.inpens.edu.my di mana borang permohona juga boleh dimuat-turun daripada laman sesawang tersebut. Pusat Khidmat ADUN Kampung Tunku akan membantu sesiapa yang berminat.

Lau Weng San

Post a Comment