Wednesday, November 20, 2013

Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2014 Peringkat Dasar pada 20 November 2013 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Meneruskan Kecemerlangan Melalui Pemantauan Yang Ketat Oleh Dewan Negeri Selangor

Selamat Sejahtera Diucapkan Kepada Semua,

Pertama sekali, Kampung Tunku ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Tuan Speaker kerana membenarkan Kampung Tunku untuk mengambil bahagian dalam perbahasan ini.

Sesi Dewan Negeri Selangor kali ini memang menjadi tumpuan orang ramai dan media kerana ia merupakan sidang DUN yang melibatkan Belanjawan buat kali pertama selepas Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) sehingga terdapat pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan ketegangan antara BBC dengan pihak Eksekutif tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan Belanjawan 2014 ini.

Kemuncak tindakan tidak bertanggungjawab ini ialah wujudnya sepucuk surat layang yang diedarkan kepada media minggu lepas, kononnya Kampung Tunku menandatangani surat berkenaan yang mengecam pihak Eksekutif tentang Belanjawan 2014 ini. Malangnya, ketika peristiwa ini berlaku, isi kandungan Belanjawan 2014 masih di bawah embargo di mana Kampung Tunku tidak dapat memberi apa-apa komen pada masa itu. Justeru itu, Kampung Tunku ingin menegaskan di sini bahawa BBC tidak pernah menghantar surat layang berkenaan. Pada pertengahan bulan September semasa Dialog Belanjawan tahun 2014 diadakan, BBC telah berjumpa dengan pihak Eksekutif dan memohon untuk diadakan beberapa perbincangan untuk memantapkan Belanjawan tahun 2014 . BBC kemudian telah mengemukakan satu memorandum yang mengandungi semua hasrat ahli-ahli Backbencher (BBC) di mana pihak Eksekutif telah memberi respons positif terhadapnya.

Dua mesyuarat telah diadakan sepanjang proses ini. Sepintas lalu, walaupun bukan semua cadangan BBC diterap dalam Belanjawan 2014, tetapi beberapa cadangan utama telahpun dimasuk dalamnya dan diberi perhatian sewajarnya. Kami akan sentiasa memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor. Akan tetapi, BBC juga mengambil pendirian bahawa kami bukan rubber stamp dan perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya untuk memantau pihak Eksekutif.

Begitulah tajuk ucapan perbahasan Kampung Tunku iaitu “Meneruskan Kecemerlangan Melalui Pemantauan Yang Ketat Oleh Dewan Negeri Selangor”. Kecemerlangan boleh bermula dengan pihak Eksekutif melalui belanjawan yang cukup mantap, tetapi kecemerlangan hanya boleh disempurnakan jika Dewan Yang Mulia dapat memantau dengan ketat setiap perbelanjaan yang dicadangkan Eksekutif.

Peruntukan RM430 juta daripada rizab kerajaan untuk tujuan pembangunan

Kampung Tunku menyambut baik cadangan Eksekutif untuk menggunakan buat kali pertama RM430 juta daripada rizab kerajaan Selangor untuk membiayai enam inisiatif pembangunan. Memang benar simpanan rizab sesebuah kerajaan tidak boleh diguna sewenang-wenangnya kerana kerajaan perlu memastikan wang ini dapat digunakan semasa waktu kecemasan. Kampung Tunku bimbang ada orang yang salah anggap BBC ini tidak berhemah dalam cadangan kami kerana BBC cuma berharap rizab ini boleh diterjemah kepada sesuatu yang boleh dinikmati rakyat jelata.

Dengan menolak RM430 juta daripada jumlah rizab sebanyak RM2713 juta, Kerajaan Selangor masih mempunyai RM2273 juta dalam rizab dan ini cukup untuk membiayai operasi Kerajaan Selangor lebih daripada setahun. Dengan ini, adalah tidak keterlaluan sekiranya Kampung Tunku mencadangkan agar beberapa cadangan saya yang akan saya bangkitkan nanti diberi peruntukan tambahan sama ada daripada Akaun Wang Yang Disatukan atau daripada rizab Kerajaan Negeri.

Tinjauan ekonomi Selangor

Berbeza dengan ucapan Menteri Besar yang menjangkakan ekonomi global akan meraih momentum pada tempoh separuh kedua tahun 2013 dan keseluruhan 2014, Kampung Tunku berpendapat bahawa ekonomi sedunia masih berada dalam keadaan yang terumbang-ambing berdasarkan beberapa statistik yang kurang memberangsangkan daripada badan-badan kewangan seperti International Monetary Fund (IMC) dan Bank Dunia.

Oleh itu, dasar dan strategi Belanjawan Kerajaan Selangor tahun 2014 harus memberi penekanan kepada kebajikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Salah satu usaha untuk merangsang ekonomi negara adalah dengan merangsangkan aktiviti perniagaan di peringkat akar umbi seperti penjaja, penjual nasi lemak, peniaga kecil-kecilan dan sebagainya. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Selangor harus memberi penekanan kepada semua gerai makanan, medan selera, pasar-pasar awam yang dimiliki dan diselenggara oleh PBT. Bukan sahaja infrastruktur dan kemudahan di tempat-tempat ini perlu dinaiktaraf, malahan kerajaan juga harus memikirkan apakah caranya untuk menarik lebih ramai pelanggan ke tempat-tempat ini.

Ekonomi Selangor amat bergantung kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan di mana sektor pembuatan merupakan sektor kedua terbesar yang menyumbang kepada KDNK Selangor. Sektor pembuatan harus diberi suntikan jiwa baru supaya ianya dapat memberi sumbangan yang lebih besar kepada pembangunan ekonomi Selangor.

Justeru itu, profil pelaburan di negeri Selangor perlu berubah. Corak pelaburan yang berasaskan buruh atau labour intensive sudah tidak sesuai lagi. Sebaliknya, sektor pembuatan yang mempunyai nilai tambah tinggi dan melibatkan penggunaan teknologi dan kepakaran yang tinggi harus diberi penekanan.

Pihak Eksekutif harus mengambil ikhtibar bahawa negeri Johor dan Sarawak telah mendahului Selangor dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, maka perubahan profil pelaburan di Selangor amat diperlukan untuk memastikan negeri Selangor terus menjadi pilihan pertama para pelabur.

Sektor pembuatan bernilai tambah tinggi yang dimaksudkan di sini melibatkan tiga teknologi di bawah di mana Kampung Tunku berpendapat ianya amat sesuai untuk dibangunkan di Selangor. Ketiga-tiga teknologi ini ialah:
  1. Industri automobil yang berasakan teknologi hijau seperti pembuatan kereta hybrid, fuel cell, NGV dan sebagainya;
  2. Industri berasaskan tenaga solar, biodiesel dan
  3. Industri teknologi maklumat.

Pihak Eksekutif bercita-cita untuk menjadikan Bukit Beruntung sebagai sebuah bandar automobil berikutan terdirinya beberapa syarikat pembuat kereta dan kemasukan IKS-IKS yang berkaitan di kawasan tersebut. Oleh itu, untuk mempertingkatkan profil pelaburan Selangor melalui sektor automobil, pihak Eksekutif harus mempunyai rancangan jangka panjang untuk menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke Bukit Beruntung.

Selangor juga pernah menerima pelaburan daripada syarikat Q-cell. Pada masa yang sama, bahan api seperti biodiesel telah mula dipasarkan di Malaysia untuk mengurangkan carbon footprint. Oleh itu, Selangor berpotensi besar untuk membangunkan teknologi boleh diperbaharui, khususnya biodiesel yang diperbuat daripada minyak masak terpakai. Selangor memang tidak asing lagi dengan industri teknologi maklumat kerana terletaknya Cyberjaya di negeri Selangor. Apa yang malang ialah pembangunan industri ini seolah-olah terbantut sejak lebih daripada sepuluh tahun yang lalu. Kampung Tunku percaya pihak Eksekutif tidak harus mensia-siakan peluang yang sedia ada ini dan memikirkan sesuatu untuk menghidupkan Cyberjaya ini.

Kerajaan Selangor tidak boleh selalu bergantung kepada usaha dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan semata-mata dalam menarik pelaburan ke dalam negeri kerana insentif-insentif yang bakal diberi oleh Kerajaan Persekutuan kepada mana-mana pelabur baik untuk melabur di mana-mana negeri di Malaysia adalah sama sahaja.

Sekiranya Selangor hendak menonjolkan imejnya sebagai destinasi pelaburan, maka pihak Eksekutif perlu melibatgandakan usaha yang sedia ada. Sebab utama ketiga-tiga sektor ini disebut kerana negeri Selangor sudahpun mempunyai asas yang kukuh dalam ketiga-tiga bidang ini. Apa yang diperlukan daripada Kerajaan Selangor ialah dasar-dasar yang menyeluruh untuk membantu para pelabur melabur semula dalam ketiga-tiga sektor ini.

Jawatankuasa Bertindak Bebas vs Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan

Kampung Tunku menyambut baik beberapa penambahbaikan dalam pengurusan prestasi kewangan kerajaan negeri. Dasar seperti menetapkan agar akaun pengurusan kerajaan dibentangkan kepada Menteri Besar setiap empat bulan wajar diteruskan.

Kampung Tunku juga menyambut baik cadangan Eksekutif untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bernama Jawatankuasa Bertindak Bebas yang akan menjalankan fungsi-fungsinya seperti yang diterangkan dalam ucapan Menteri Besar.

Walaupun begitu, pihak Eksekutif tidak harus lupa bahawa semua peruntukan Kerajaan Selangor mesti mendapat kelulusan Dewan Negeri Selangor. Oleh itu, adalah amat penting supaya kerja-kerja pemantauan ini bukan sahaja dilakukan oleh golongan profesional yang bakal menganggotai Jawatankuasa Bertindak Bebas ini, malahan Dewan Negeri Selangor juga perlu diletakkan di kedudukan yang betul untuk memantau operasi syarikat-syarikat GLC.

Maka Kampung Tunku ingin mendesak Kerajaan Selangor supaya segera menubuhkan satu lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Pemantauan Belanjawan Kerajaan yang akan memantau semua aspek pentadbiran yang berkaitan dengan kegunaan Belanjawan. Sebab utama cadangan ini diutarakan adalah kerana kepincangan beberapa jabatan kerajaan untuk mengoptimumkan peruntukan tahun 2013. Walaupun kita akan memasuki ke bulan yang terakhir tahun 2013 tidak lama lagi tetapi difahamkan kegunaan peruntukan tahun 2013 dalam beberapa kepala Belanjawan masih belum melebihi 80%.

Hakikatnya ialah pegawai-pegawai akan melakukan apa yang digelar sebagai “Christmas Shopping”. Jika tidak, peruntukan untuk jabatan-jabatan ini pada tahun 2014 akan dikurangkan dan akhirnya rakyat yang akan menerima padahnya. Untuk mengelakkan ini berulang setiap tahun, Jawatankuasa Pilihan Khas Pemantauan Belanjawan Kerajaan perlu ditubuhkan pada masa yang terdekat.

Fenomena yang sama juga berlaku di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan saya juga mengutarakan cadangan yang sama di Dewan Yang Mulia ini, agar Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan juga ditubuhkan di setiap PBT.

Masalah banjir dan prestasi JPS

Pihak Eksekutif memperuntukkan RM21 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pengurusan banjir bagi tahun 2014. Peruntukan ini sebenarnya telah merosot daripada RM27 juta untuk tahun 2013.

Kampung Tunku tidak faham tentang pengurangan ini lebih-lebih lagi JPS memang memerlukan peruntukan yang lebih banyak untuk menangani masalah banjir yang semakin berlaku kebelakangan ini walaupun diakui keberkesanan JPS seringkali menjadi tanda soal di kalangan rakyat. Kesan pengurangan peruntukan ini akhirnya akan dirasai oleh rakyat jelata.

Justeru itu, saya memohon agar kerajaan memperuntukkan Belanjawan Tambahan pada masa depan untuk memberi peruntukan tambahan kepada JPS untuk menangani masalah banjir dengan syarat JPS mesti membuktikan kemampuannya untuk menangani masalah banjir terlebih dahulu.

Keselamatan awam dan polis bantuan

Kampung Tunku sempat menghadiri persidangan Commonwealth Parliamentary Association di Afrika Selatan dan sempat melawat ke beberapa kawasan komersial di Capetown untuk memahami cara peniaga-peniaga di sana menjaga keselamatan kawasan perniagaan mereka. Peniaga-peniaga di Cape Town bergading bahu menubuhkan sebuah persatuan perniagaan dan melalui persatuan itu, mereka mengupah pegawai-pegawai keselamatan untuk meronda di kawasan mereka.

Daripada pengalaman para peniaga di Cape Town, Kampung Tunku berpendapat cadangan untuk menubuhkan polis bantuan di bawah PBT sekarang boleh diubah, lebih-lebih lagi PBT di Selangor menghadapi kesukaran untuk menubuhkan pasukan polis bantuan atas sebab-sebab politik.

PBT boleh menggalakkan para peniaga menubuhkan persatuan perniagaan (Business Association) masing-masing. Melalui persatuan perniagaan ini, para peniaga boleh memohon kebenaran daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menubuhkan pasukan polis bantuan secara berasingan dan seterusnya menjalankan kerja-kerja rondaan di sesuatu kawasan perniagaan. Diharap pihak Eksekutif memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan ini.

Program Tuisyen Rakyat Selangor dan Biasiswa Menteri Besar

Program Tuisyen Rakyat Selangor atau PTRS merupakan program bagus dan harus menawarkan lebih banyak mata pelajaran selepas PRU13. Pada masa yang sama, peruntukan untuk program-program abstrak harus dikurangkan kerana keberkesanannya tidak dapat diukur dengan tepat dalam masa tertentu.

Kampung Tunku ingin mengingatkan pihak Eksekutif bahawa terdapat beberapa komitmen dalam hal pendidikan seperti apa yang termaktub dalam manifesto Pakatan Rakyat yang masih belum dimasukkan dalam Belanjawan kali ini. Antaranya termasuk peruntukan untuk SMJK dan sekolah-sekolah kebangsaan yang menghadapi kesuntukan dana serta penubuhan Biasiswa Menteri Besar. Kampung Tunku berharap kedua-dua perkara ini boleh diberi perhatian oleh Eksekutif dan dimasukkan ke dalam mana-mana Belanjawan Tambahan pada tahun 2014.

Bus komuniti dan masa depan pengangkutan awam di Lembah Klang

Pihak Eksekutif mengumumkan bahawa Majlis Pengangkutan Awam Selangor atau Selangor Public Transport Council telahpun ditubuhkan dan telah menyiapkan kajian pertama tentang corak penggunaan pengangkutan awam ke tempat kerja di kalangan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Apa yang mengecewakan ialah kekurangan maklumat tentang Majlis Pengangkutan Awam Selangor. Yang ada ialah jawapan yang diberi pihak Eksekutif terhadap satu soalan mulut bahawa penubuhannya adalah tertakluk kepada PEMANDU dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mendapatkan maklum balas secara terus daripada pihak-pihak berkenaan iaitu syarikat-syarikat pengangkutan seperti Prasarana, Rapid KL, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil kerajaan negeri Selangor, dan penasihat dasar.

Juga difahamkan bahawa Majlis ini akan mengumpulkan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk, menentukan tempat yang bermasalah dari segi kesesakan jalan, dan akhirnya menyimpulkan cadangan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut untuk dipanjangkan kepada SPAD. Majlis ini majlis pada tahap bawah, iaitu “on the ground”, berlainan dengan SPAD yang akan membuat dasar pada tahap Kerajaan Persekutuan.

Soalan seperti di bawah timbul dan Kampung Tunku meminta kerajaan memberi jawapannya semasa membuat penggulungan nanti. 
  • Siapa yang menganggotai Majlis Pengangkutan Awam Selangor?
  • Berapa kali Majlis ini sudah bermesyuarat?
  • Apakah rasionalnya untuk Majlis ini menjalankan kaji selidik di kawasan SUK dan bukannya tempat-tempat yang lain?
  • Apakah rancangan dan pelan tindakan Majlis ini pada masa depan?

Produk-produk Pelancongan

Pihak Eksekutif melalui Tourism Selangor boleh mempertimbangkan cadangan mewujudkan perkhidmatan bas “Hop-On-Hop-Off” untuk para pelancong dengan kerjasama daripada beberapa PBT.

Lebih-lebih lagi pihak Eksekutif hanya memperuntukkan RM5.2 juta untuk pembangunan sektor pelancongan di Selangor. Peruntukan ini tidak banyak maka ianya harus digunakan di tempat yang betul dan mampu menjana pulangan yang terbanyak kepada kerajaan.

Perkhidmatan bas “Hop-On-Hop-Off” boleh membangunkan destinasi-destinasi pelancongan di Selangor dengan menyumbangkan bilangan pelancong yang tetap. Walaupun begitu, kajian menyeluruh harus dijalankan dan satu projek perintis boleh dimulakan di tempat-tempat yang mempunyai banyak tempat bersejarah seperti Klang.

Kampung Baru dan Kampung Bagan di Selangor semakin dikaitkan dengan industri pelancongan saban hari. Kampung Baru mempunyai sejarah lebih daripada 60 tahun manakala sesetengah Kampung Bagan mempunyai sejarah lebih daripada 100 tahun. PIhak Eksekutif pernah mengadakan satu siri pameran foto tentang kehidupan di Kampung Baru beberapa tahun yang lalu. Sememangnya bahan-bahan pameran ini merupakan dokumen bersejarah yang sangat penting dan berharga untuk tatapan orang ramai khususnya generasi-generasi akan datang, malahan ianya merupakan sebahagian daripada sejarah moden negeri Selangor.

Selain itu, bahan-bahan artifak seperti pisau penoreh getah, dulang bijih timah, basikal lama, lampu kerosen, lampu suluh lama dan sebagainya boleh dikumpul dan dipamerkan dalam sebuah museum. Sekiranya museum ini boleh ditubuhkan, ianya akan menjadi museum kampung baru / kampung bagan yang pertama di Malaysia dan berpotensi menjadi satu lagi produk pelancongan.

Jawatankuasa Penambahbaikan Pentadbiran, Agensi Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri vs Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS)

Adakah penubuhan jawatankuasa ini akan bertindih dengan peranan yang dimainkan oleh JP-ABAS? Adakah anak-anak syarikat kerajaan negeri tidak lagi dipantau JP-ABAS memandangkan mereka sekarang perlu answerable kepada jawatankuasa ini?

Pindaan Terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959

Dengan majoriti dua pertiga di Dewan Yang Mulia, maka sudah tiba masanya untuk Pakatan Rakyat meminda beberapa perkara di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dipinda pada masa dahulu untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN).

Usaha ini adalah penting untuk memulihkan semangat asal Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor kembali ke keadaan asalnya pada tahun 1959. Antara bab-bab yang harus diberi perhatian ialah “Bab 3 - Eksekutif” dan “Bab 5 - Badan Perundangan”. Selain itu, Dewan harus juga mengambil kesempatan untuk menambahbaik mana-mana peruntukan yang lain di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor demi menjadinya lebih lengkap dan menyeluruh.

Pembaharuan-pembaharuan DUN

Ucapan Perbahasan Kampung Tunku lazimnya tidak lengkap jika tidak menyentuh tentang Dewan Negeri Selangor. Kampung Tunku sempat mengambil bahagian dalam satu bengkel berkenaan dengan Parliamentary Openness atau Keterbukaan Parlimen semasa bersidang di Commonwealth Parliamentary Conference di Afrika Selatan.

Bengkel ini telah membentangkan 44 buah cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh Dewan Negeri Selangor supaya Dewan Yang Mulia ini menjadi sebuah Dewan bertaraf dunia.

Selain daripada siaran langsung sidang DUN melalui internet, laman web DUN perlu ditukar untuk menjadikan lebih ringkas, interaktif dan berinformasi. Laman web DUN yang baru mesti mengandungi semua maklumat tentang Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor, peraturan-peraturan tetap, penyata, statut dan dokumen-dokumen berkaitan yang lain di mana ianya mestilah mudah dicari, diguna dan senang dimuat-turun. Program ADUN Muda juga perlu disemarakkan dan belia di bawah umur 35 tahun pun harus diberi peluang untuk menyertai program ini.

Enakmen Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (Selesa) perlu diluluskan secepat mungkin supaya pengurusan Dewan Negeri Selangor dijalankan dengan cara yang bebas dan profesional tanpa dipengaruhi oleh perkhidmatan awam.

Ini sejajar dengan tajuk ucapan saya “Meneruskan Kecemerlangan Melalui Pemantauan Yang Ketat Oleh Dewan Negeri Selangor”. Diharap saranan-saranan ini dapat diberi pertimbangan sewajarnya. Maka Kampung Tunku mohon menyokong.

Sekian, terima kasih.

Lau Weng San

Post a Comment