Thursday, November 28, 2013

Sebab-sebab menyokong penyelarasan saraan Ahli Dewan Negeri, Timbalan Speaker, Speaker, EXCO dan Menteri Besar Selangor

Ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 pada 27 November 2013 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

1. Kampung Tunku berdiri menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 ini.

2. Memang menjadi pengetahuan umum bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat di Selangor menjadi semakin berat selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Ahli-ahli Dewan Negeri bukan sahaja perlu sentiasa turun padang untuk menyelesaikan masalah dan isu di kawasan masing-masing, tetapi juga perlu memainkan peranan yang aktif dalam Dewan Negeri Selangor.

3. Perbahasan di Dewan ini juga semakin rancak. Baru semalam, perbahasan Belanjawan 2014 di peringkat jawatankuasa selesai selepas hebat diperbahas oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor selama dua hari berturut-turut.

4. Dalam perbahasan selama dua hari ini, para ADN telah mengambil bahagian dengan begitu aktif dalam perbahasan. Pada kebiasaanya, para ADN akan aktif membahas sesuatu belanjawan di peringkat dasar sahaja, tetapi kini kami bukan sahaja aktif di peringkat dasar tetapi juga sama aktif di peringkat jawatankuasa juga.

5. Ini menunjukkan bahawa dalam kesibukan para ADN menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing, mereka juga tidak melalaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk membahas setiap satu butiran dalam Belanjawan 2014 ini.

6. Malahan YAB Menteri Besar juga tidak kurang hebatnya semalam apabila beliau bangun dan duduk tidak kurang daripada 100 kali semalam bermula daripada sessi soal-jawab sehingga ke penangguhan Dewan untuk menjawab setiap soalan dan isu yang dibangkitkan oleh ADN.

7. Oleh itu, saya ingin menyentuh dengan lebih banyak terhadap kenaikan saran yang melibatkan Menteri Besar, EXCO, Speaker dan Timbalan Speaker kerana saraan untuk mereka telah dikekalkan pada paras yang amat rendah untuk satu tempoh yang sangat panjang.

8. Justeru itu, sudah sampai masanya untuk menaikkan saraan mereka seperti apa yang dicadangkan oleh Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) ini.

9. Bagi Tan Sri Khalid Ibrahim khususnya, beliau akan menerima gaji pokok sebanyak lebih kurang RM39,000 selaku Menteri Besar Selangor. Gaji ini adalah berbaloi kerana sumbangannya kepada pembangunan kerajaan negeri Selangor adalah begitu besar. Contoh yang begitu baik ialah kejayaan beliau mengutip balik hutang Syarikat Talam terhadap kerajaan Selangor sebanyak RM3.92 bilion beberapa tahun yang lalu.

10. Dewan Yang Mulia ini juga akan membahas tujuh buah Penyata yang dihasilkan oleh Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor di bulan Julai.

11. Dalam masa tidak sampai enam bulan, Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan ini telah kerap bermesyuarat dan menghasilkan penyata-penyata ini berikutan siasatan yang dijalankan terhadap pihak Eksekutif.

12. Siapa yang menganggotai Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan ini? Sudah tentu para ADN itu sendiri. Ini juga merupakan satu bukti yang jelas bahawa wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam PRU-13 sememangnya mereka yang benar-benar bertugas untuk rakyat.

13. Penyelarasan saraan ADN dan anggota pentadbiran ini juga harus dilihat secara menyeluruh, di mana elaun untuk Ketua Pembangkang juga bertambah dan kenaikan saraan ini adalah untuk memastikan ADN dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan hati yang tenang tanpa terlalu memikirkan “sumber-sumber pendapatan” yang lain seperti apa yang berlaku semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

14. Penyelarasan saraan ini akan menjamin ADN sentiasa focus kepada tugasnya dan tidak perlu risau tentang penyaraan kehidupan dan ahli-ahli keluarganya walaupun selepas bersara.

15. Pernah ada seorang ADUN MCA yang menderita akibat diserang penyakit strok dari negeri Perak selepas bersara terpaksa merayu kepada kerajaan negeri Perak kerana pinjaman perumahannya akan ditolak daripada pencennya dan ini menjadikan pencennya tidak mencukupi untuk menampung kos perubatannya. Selain itu saya juga meminta saraan dan elaun untuk Ahli Majlis di PBT dan Ketua Kampung diselaraskan memandangkan mereka juga merupakan sebahagaian daripada pasukan perkhidmatan ADN di peringkat akar umbi.

Memansuhkan jawatan Pembantu EXCO

16. Sejajar dengan kenaikan saraan ini, saya juga ingin mencadangkan kepada pihak Eksekutif untuk mempertimbangkan semula sama ada perlunya jawatan “Pembantu EXCO”.

17. Ini adalah kerana jawatan ini bercanggahan dengan prinsip pengasingan kuasa. Kedua, selepas penyelarasan saraan ini, para ADN sudah pasti perlu bekerja lebih keras untuk memantau perjalanan kerajaan negeri. Maka ini sudah pasti akan bercanggahan dengan fungsi dan peranannya ini sekiranya ADN dilantik menjadi sebahagian daripada Eksekutif melalui jawatan Pembantu EXCO ini.

18. Justeru itu, Kampung Tunku memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula jawatan ini.

Sekian, terima kasih.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku
Post a Comment